Pindaan AMLA: SCIS bebas tentukan kurikulum dan dasar akademik, MUIS pastikan dana masyarakat tidak terjejas: Zaqy Mohamad
- Zaqy Mohamad menjelaskan SCIS akan mengekalkan kebebasan akademik, sementara pindaan AMLA memberi menteri pengawasan pentadbiran dan kewangan serta MUIS tanggungjawab mengawasi pendidikan agama.
- Beliau memberi jaminan pembiayaan kolej tidak akan menjejaskan masjid, madrasah, pendidikan agama dan keluarga berpendapatan rendah; zakat mesti memenuhi syarat asnaf, manakala MBMF terus menyokong masjid, pendidikan agama dan MENDAKI.
- Menjawab AP Saktiandi Supaat dan Sharael Taha, Zaqy berkata pengajian dan penyelidikan SCIS boleh diperluas berperingkat selepas asas kukuh serta program ijazah sarjana muda berkualiti dibangunkan.
- Pindaan AMLA tidak mengubah syarat asas perceraian Islam tetapi menghapuskan prosedur tidak perlu; bagi fasakh, mahkamah boleh menilai laporan dan dokumen sebagai bukti tanpa dua saksi, sambil memastikan syarat agama dipenuhi serta membimbing pemohon.
SINGAPURA: Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) akan mengekalkan kebebasan akademiknya, termasuk dalam menentukan dasar akademik, pembangunan kurikulum dan hal ehwal pelajar.
Demikian ditegaskan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Zaqy Mohamad semasa menjawab soalan di Parlimen pada Rabu (4 Nov) oleh beberapa Anggota Parlimen (AP) berkaitan kebebasan akademik SCIS.
Menurutnya, pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) memberi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam pengawasan terhadap beberapa perkara pentadbiran dan kewangan SCIS.
Antaranya termasuk rangka kerja kebertanggungjawaban dan jaminan mutu kolej, akses kepada rekod kewangannya, pelantikan anggota Lembaga Pentadbir serta kelulusan bagi keputusan penting seperti pindaan kepada perlembagaan SCIS.
<<BACA: Pindaan AMLA perkukuh tadbir urus SCIS, tawar ijazah Pengajian Islam >>
Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) pula akan mengawasi pendidikan agama, sejajar dengan tanggungjawabnya di bawah AMLA untuk melindungi kepentingan agama masyarakat Islam.
DANA MASYARAKAT TIDAK TERJEJAS
Dalam pada itu, Encik Zaqy memberi jaminan bahawa pembiayaan SCIS tidak akan mengorbankan keperluan masyarakat Islam, termasuk sokongan kepada masjid, madrasah, pendidikan agama dan keluarga berpendapatan rendah.
Menurutnya, MUIS akan terus mengimbangi sokongan kepada SCIS serta keperluan lain, dan tidak akan menggunakan sumber masyarakat secara tidak seimbang untuk kolej tersebut.
"Seperti contoh, zakat digunakan untuk SCIS perlu memenuhi syarat asnaf, sama ada untuk menyokong pendidikan agama mahupun pelajar yang layak," kata Encik Zaqy.
Dana Pembangunan Masjid dan MENDAKI (MBMF) juga akan terus menyokong masjid-masjid, pendidikan agama serta MENDAKI, tambahnya.
PENGAJIAN SCIS BOLEH DIPERLUAS SECARA BERPERINGKAT
AP Bishan-Toa Payoh Saktiandi Supaat dan AP Pasir Ris-Changi, Sharael Taha turut bertanya sama ada SCIS akan menawarkan lebih banyak bidang pengkhususan dalam pengajian Islam dan sains sosial.
Menjawab pertanyaan itu, Encik Zaqy berkata pihaknya berkongsi aspirasi tersebut dan berharap dapat memperluas keupayaan akademik serta penyelidikan SCIS secara berperingkat.
"SCIS hanya berada pada peringkat permulaan. Kita perlu membina asas yang kukuh sebelum memperluas bidang pengajiannya.
Keutamaan kita buat masa ini adalah untuk membangunkan program ijazah sarjana muda yang mantap bagi melahirkan graduan berkualiti tinggi," katanya.
BUKTI ALTERNATIF BAGI PERMOHONAN FASAKH
Encik Zaqy menegaskan bahawa pindaan AMLA tidak bertujuan untuk mengubah syarat asas perceraian menurut hukum Islam.
Sebaliknya, pindaan tersebut bertujuan menghapuskan langkah prosedur yang tidak diperlukan, sebaik sahaja syarat undang-undang dan agama telah dipenuhi.
Bagi permohonan fasakh, Mahkamah Syariah boleh mengambil kira bukti seperti laporan polis, Perintah Perlindungan Peribadi (PPO), laporan perubatan dan diagnosis, serta dokumen bank dan transaksi kewangan.
Bukti sedemikian boleh membantu mahkamah menentukan sama ada alasan begi fasakh telah dipenuhi tanpa memerlukan dua saksi.
Namun, Mahkamah Syariah perlu berpuas hati bahawa syarat dan keperluan ditetapkan di bawah undang-undang Islam bagi setiap kes dipenuhi.
Pemohon juga akan diberikan panduan jelas tentang jenis bukti yang diperlukan untuk membantu mereka sepanjang proses perceraian.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.