Pindaan AMLA: Prosiding mahkamah, pernikahan, perceraian kini boleh secara online
(Gambar: ROMM/Facebook/Masagos Zulkifli)
SINGAPURA: Pindaan terhadap Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) diluluskan Parlimen hari ini (14 Feb) demi memastikan proses perkhidmatan institusi Islam seperti Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang Islam (ROMM) dan Mahkamah Syariah dikemas kini dan dipertingkat.
Antara lain Mahkamah Syariah dan ROMM kini boleh melaksanakan prosiding perbicaraan mahkamah serta pernikahan secara proses digital atau online. Proses perceraian juga boleh dilakukan seara online - tanpa hadir secara fizikal di Mahkamah.
Rang tersebut turut disokong parti pembangkang.
PASANGAN KINI BOLEH BERNIKAH SECARA ONLINE, DIGITAL
Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli berkata pilihan digital untuk pernikahan sudahpun menjalani fasa ujiannya sejak Mei 2020.
Sejak itu, Encik Masagos mendedahkan bahawa hampir 100 pasangan Melayu/Islam atau 1 peratus daripada jumlah pernikahan Melayu/Islam dijalankan secara maya.
"Pilihan digital membolehkan pasangan untuk meneruskan majlis akad nikah secara digital walaupun saksi mereka dijangkiti COVID-19 dan tidak dapat menghadiri akad nikah secara fizikal. Ia juga dapat mengurangkan masalah seperti menangguhkan pernikahan yang akan menambah kos dan masa," ujar Encik Masagos.
Empat Anggota Parlimen (AP) bangkit membahaskan pindaan tersebut.
Semasa ditanya AP Saktiandi Supaat, sama ada ketiadaan secara fizikal Kadi, wali dan saksi akan mengurangkan tahap kesungguhan dan tanggungjawab berat yang sentiasa dikaitkan dengan perkahwinan, ini jawapan Encik Masagos:
"Semasa pernikahan secara maya, kadi akan tetap menjalankan tugas yang sama seperti yang dilakukan semasa akad nikah secara fizikal.
"Misalnya, mengesahkan identiti dan kebenaran pasangan untuk bernikah, memberikan khutbah pendek serta memberi restu kepada pasangan. Bezanya adalah ia diadakan secara maya. Kadi akan terus menekankan kesucian perkahwinan dan tanggungjawab pasangan antara satu sama lain."
Menurut Encik Masagos lagi, bagi pernikahan melibatkan pasangan bawah umur, sebelum permohonan dibuat sama ada untuk membenarkan pernikahan online bagi mereka, semua pihak termasuk ibu bapa mesti menghadiri satu sesi secara fizikal dengan seorang Kadi.
Kadi berkenaan akan menilai sama ada pasangan berkenaan sedia untuk bernikah, dengan sokongan ibu bapa mereka.
BAGAIMANA KALAU PIHAK PENGANTIN LELAKI ATAU PEREMPUAN BUKAN DI S'PURA?
Buat masa ini, satu syarat bagi perkahwinan secara online adalah kedua-dua pihak dalam perkahwinan itu serta saksi dan wali wanita yang akan dikahwini mestilah secara berada di Singapura fizikal.
Membahaskan mengenai pernikahan secara online, Encik Saktiandi bertanya sama ada perkahwinan online boleh dimanfaatkan juga bagi pasangan di mana pihak pengantin lelaki atau perempuan tidak berada di Singapura.
"Adakah Pendaftar Perkahwinan Islam mempunyai keupayaan untuk mengetepikan keperluan ini dalam keadaan luar biasa? Sebagai contoh, apabila wabak COVID-19 meletus di seluruh dunia, terdapat warga Singapura yang tersendat di luar negara dan tidak dapat pulang untuk satu tempoh," tanya Encik Saktiandi.
Menjawab pertanyaan tersebut Encik Masagos berkata meskipun saranan tersebut ada kebaikannya, ia perlu dikaji dengan teliti.
"Di bawah Seksyen 95(3) AMLA, Kadi mesti berpuas hati bahawa tiada halangan yang sah di sisi undang-undang Islam atau AMLA terhadap perkahwinan yang dimaksudkan. Jika Kadi tidak dapat memastikan sama ada pihak yang berada di luar Singapura mempunyai kapasiti undang-undang untuk melangsungkan perkahwinan itu, syarat-syarat di bawah seksyen ini tidak akan dipenuhi."
Menurut Encik Masagos, keperluan tersebut juga sama untuk penggunaan teknologi perhubungan bagi majlis pernikahan Muslim di bawah Akta Langkah-Langkah Sementara badi Pernikahan dan Pendaftaran Perkahwinan 2020 di mana semua pihak perlu berada di Singapura.
MENEGAKKAN DAN MEMASTIKAN KEADILAN
Pendigitalan bagi proses-proses kendalian Mahkamah Syariah atau ROMM tidak akan menjejas keadilan prosiding Mahkamah mahupun integriti akad nikah, jelas Encik Masagos.
Beliau juga berkata bahawa Mahkamah Syariah dan ROMM akan memastikan bahawa amalan agama dan adat masih dipenuhi, dengan keadilan ditegakkan.
"Mahkamah Syariah dan ROMM telah mendakapi amalan terbaik dan membangunkan pelbagai perlindungan untuk melindungi kewajaran, kesungguhan, integriti dan keteraturan prosiding digital," ujar Encik Masagos.
Dalam pada itu, AP GRC Ang Mo Kio, Nadia Ahmad Samdin membahaskan bahawa sama ada sudah terdapat rancangan untuk membangunkan sebuah pusat khas sebagai ruang untuk menjalankan perbicaraan mahkamah yang diadakan secara online.
Cik Nadiah berkata bahawa buat masa ini, keputusan untuk menyediakan ruang sebegitu dibuat berdasarkan budi bicara para peguam.
Namun, tidak semua orang yang mampu untuk mendapatkan perwakilan dan mungkin juga ada faktor tertentu yang tidak membenarkan pihak tersebut menggunakan ruang itu katanya lagi.
Menjawab pertanyaan tersebut, Encik Masagos berkata bahawa melindungi golongan lemah seperti kes-kes penderaan rumah tangga dan memastikan bahawa mereka dapat membuat hujah kes mereka dengan adil dan bebas daripada ugutan adalah perlu.
Encik Masagos menambah bahawa Mahkamah Syariah akan terus mendakapi model alternatif untuk menjalankan prosiding hanya jika ia sesuai dan mudah untuk dijalankan.
CADANGAN BERKAITAN PERKAHWINAN DAN PERCERAIAN
Encik Masagos mendedahkan lebih separuh daripada perceraian yang didaftarkan dalam tempoh lima tahun yang lalu diselesaikan secara baik dalam semua isu yang berkaitan dengan permohonan cerai.
Bagi terus membantu pasangan menuju ke arah penyelesaian terhadap perceraian dengan baik, Encik Masagos akur adalah perlu untuk memperbaiki proses perundangan mengenai perkahwinan dan perceraian.
Menurut Encik Masagos, terdapat pelbagai peluang untuk pasangan yang berhasrat untuk bercerai untuk cuba menyelesaikan masalah.
Pertama, menurut beliau, mereka perlu menghadiri Program Kaunseling Perkahwinan serta menghadiri sesi pengantaraan di mana mereka boleh meneroka pilihan untuk membaiki hubungan meskipun permohonan untuk perceraian sudahpun dibuat.
"Pasangan juga boleh menghadiri kaunseling atau kegiatan sokongan keluarga mahupun program di mana mereka boleh menerima sokongan daripada pakar kaunselor atau kerja sosial," ujar Encik Masagos.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.