Skip to main content

Singapura

Pindaan AMLA bukan bertujuan mudahkan perceraian, sebaliknya kurangkan beban pasangan: Zaqy Mohamad

Anggaran Waktu Membaca:
Pindaan AMLA bukan bertujuan mudahkan perceraian, sebaliknya kurangkan beban pasangan: Zaqy Mohamad

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad di Parlimen pada 3 Nov.

Diterbitkan : 03 Nov 2026 06:29PM Dikemas Kini : 03 Nov 2026 08:04PM
AMLA amendments not intended to make divorce easier, but to reduce burden on couples: Zaqy Mohamad
  • On Nov 3, Zaqy Mohamad presented the AMLA amendment in Singapore’s Parliament, stressing that it was not intended to encourage divorce or change its basic requirements.
  • Couples who agree to divorce through talak tafwidh can avoid the appointment of a hakam, while sufficient official evidence can replace the sworn testimony of two witnesses in a fasakh application.
  • The amendment allows couples who divorced overseas to manage financial matters and child care at the Shariah Court, subject to residency requirements, the court’s permission and confirmation of the divorce.
  • The Shariah Court will be given clear authority to decide on a child’s relocation overseas, with the child’s welfare, education, stability and relationship with both parents as the main considerations.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pindaan kepada Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA) bukan bertujuan menggalakkan perceraian atau melonggarkan syarat untuk pasangan Islam bercerai.

Sebaliknya, pindaan itu bertujuan mengurangkan prosedur yang tidak diperlukan, di samping memperkukuh perlindungan terhadap keluarga, khususnya kanak-kanak.

Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Zaqy Mohamad menegaskan demikian semasa membentangkan Rang Undang-Undang Pentadbiran Hukum Islam (Pindaan) bagi bacaan kali kedua di Parlimen pada Selasa (3 Nov).

"Kami akan terus menyokong usaha menyelamatkan perkahwinan sedaya mungkin. Apa yang kami lakukan adalah menggugurkan prosedur yang tidak diperlukan, di samping memperkukuh perlindungan terhadap keluarga, khususnya kanak-kanak," kata Encik Zaqy.

Menerusi pindaan itu, pasangan Islam yang sudah bersetuju untuk bercerai melalui talak tafwidh dan mencapai persetujuan dalam semua perkara berkaitan boleh menyelesaikan proses perceraian sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

Talak tafwidh merujuk kepada perceraian apabila suami menyerahkan hak kepada isteri untuk melafazkan talak.

Mengikut prosedur sedia ada, pasangan yang mahu bercerai melalui kaedah tersebut perlu melantik hakam atau pendamai terlebih dahulu, meskipun kedua-dua pihak sudah bersetuju untuk berpisah.

Keperluan itu melibatkan perintah mahkamah, sesi tambahan bersama hakam dan kemungkinan prosiding ditangguhkan.

Pindaan AMLA akan menggugurkan keperluan tersebut bagi pasangan yang bersetuju bercerai melalui talak tafwidh.

"Kita tidak mahu proses undang-undang menambahkan lagi beban mereka. Yang mereka perlukan ialah sokongan dan bimbingan, bukan tekanan tambahan," tegas Encik Zaqy.

Satu lagi perubahan membolehkan Mahkamah Syariah mengecualikan keperluan keterangan bersumpah daripada dua saksi bagi permohonan fasakh, sekiranya terdapat bukti lain yang mencukupi seperti dokumen rasmi.
Encik Zaqy bagaimanapun menegaskan bahawa syarat asas untuk mendapatkan perceraian tetap tidak berubah.

"Mahkamah masih perlu memastikan bahawa alasan perceraian dapat dibuktikan dan sah di sisi hukum Islam," jelasnya.

SATU MAHKAMAH BAGI URUSAN PERCERAIAN LUAR NEGARA

Pindaan AMLA juga akan membolehkan pasangan Islam yang bercerai di luar negara menyelesaikan urusan kewangan dan penjagaan anak di Mahkamah Syariah.

Pasangan lazimnya perlu berurusan dengan mahkamah berbeza untuk menyelesaikan perkara berkaitan perceraian mereka.

Sebagai contoh, mereka perlu ke Mahkamah Keadilan Keluarga untuk mendapatkan perintah berkaitan pembahagian harta sepencarian dan penjagaan anak.

Bagi tuntutan nafkah iddah dan mutaah pula, pasangan perlu mengemukakannya di Mahkamah Syariah.

"Proses itu mengambil masa, melibatkan kos dan menambahkan tekanan kepada keluarga yang sudah pun melalui saat-saat sukar," kata Encik Zaqy.
Dengan pindaan yang diusulkan, pasangan yang memenuhi syarat boleh menyelesaikan urusan kewangan dan penjagaan anak di Mahkamah Syariah tanpa perlu melalui prosiding berasingan di mahkamah lain.

Namun, perubahan ini hanya terpakai jika salah seorang pasangan menetap secara tetap di Singapura atau sudah tinggal di negara ini selama sekurang-kurangnya tiga tahun sebelum membuat permohonan.

"Langkah perlindungan sedia ada akan dikekalkan, khususnya bagi memastikan perceraian yang dilakukan di luar negara adalah sah," jelas Encik Zaqy.

"Pasangan perlu mendapatkan kebenaran Mahkamah Syariah terlebih dahulu. Mahkamah juga akan menilai sama ada Singapura merupakan tempat paling sesuai untuk mendengar kes tersebut."

MENGUTAMAKAN KEBAJIKAN ANAK

Berhubung kebajikan anak dalam kes perceraian pula, pindaan AMLA memperkukuh perlindungan terhadap mereka, khususnya apabila ibu bapa tidak mencapai persetujuan mengenai penjagaan anak.

Antara perubahan yang diusulkan ialah memberi Mahkamah Syariah kuasa yang dinyatakan secara jelas dalam undang-undang untuk membenarkan atau menghalang seorang anak daripada berpindah ke luar negara.

Ini termasuk keadaan apabila seorang ibu atau bapa mahu berpindah ke luar negara bersama anak mereka tetapi mendapat bantahan daripada bekas pasangan.

Dalam membuat keputusan, mahkamah akan mengambil kira bagaimana tindakan membawa anak berpindah ke luar negara boleh menjejas pendidikan, kestabilan hidup dan hubungan mereka dengan kedua-dua ibu bapa.

"Keputusan sedemikian bukan sekadar menentukan tempat tinggal anak, tetapi juga boleh menjejas pendidikan, kestabilan hidup dan hubungan mereka dengan kedua-dua ibu bapa," kata Encik Zaqy.

Pindaan itu juga akan menjelaskan dalam AMLA bahawa kebajikan anak mesti menjadi pertimbangan paling utama Mahkamah Syariah dalam membuat keputusan yang melibatkan mereka.

Prinsip tersebut sebenarnya sudah menjadi amalan Mahkamah Syariah dan selaras dengan ajaran Islam.

"Meskipun ikatan suami isteri mungkin terputus, tanggungjawab sebagai ibu dan bapa tetap berterusan," tegas Encik Zaqy.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita