Skip to main content

Singapura

Pilihan tambahan untuk menua dalam masyarakat dengan berkongsi apartmen

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Dec 2025 09:12PM Dikemas Kini : 28 Dec 2025 12:27AM
SINGAPURA: Warga emas di Singapura kini mempunyai pilihan tambahan untuk menua dengan sihat dalam masyarakat di sekeliling.

Ini dengan berkongsi apartmen bersama penduduk warga emas yang lain, sambil disokong oleh sekumpulan penjaga yang tinggal bersama mereka.

Kementerian Kesihatan memberi lampu hijau kepada model penjagaan baharu tersebut, untuk warga emas yang lebih suka hidup dalam masyarakat berbanding penjagaan institusi.

Di bawah model Khidmat Penjagaan Warga Emas Yang Tinggal Bersama, para penjaga akan menyediakan bantuan yang serupa dengan apa yang diterima warga emas di rumah.

Mereka mesti mempunyai pengalaman dalam penjagaan, atau lulus kursus latihan wajib yang ditetapkan.

Jagaan perubatan dan khidmat jururawat tidak termasuk dalam skop sokongan bantuan.

Para pengendali juga dijangka memberikan kemas kini status kepada waris terdekat penghuni mereka secara berkala, supaya anggota keluarga mereka kekal terlibat dalam penjagaan mereka.

Kementerian Kesihatan (MOH) akan memimpin usaha untuk memacu proses integrasi ke hadapan, termasuk memperkenalkan sistem IT baharu untuk menyelaraskan penjagaan.

Ia juga akan membentangkan Rang Undang-Undang Maklumat Kesihatan di parlimen pada bulan depan, membolehkan perkongsian data pesakit merentasi pelbagai tahap penjagaan.

Menurut Menteri Kesihatan Ong Ye Kung, cabaran terbesar adalah untuk memastikan peralihan yang lancar.

"Keadaan kesihatan warga emas, sebagai contoh. Alahan ubat mereka, ubat-ubatan yang mereka sedang ambil. Ini mesti diketahui oleh penyedia penjagaan baharu sebelum warga emas itu tiba. Jika tidak, penjagaan akan terjejas. Jadi perkara ini, kita mesti berusaha dengan sebaik mungkin agar tidak terlepas pandang," kata Encik Ong.
Sumber : CNA/AA/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita