Skip to main content

Singapura

Pilihan Raya Umum sudah semakin hampir?

Pejabat Perdana Menteri mengumumkan hari ini (4 Sep) bahawa Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi Pilihan Raya (EBRC) sudah dibentuk. Ini menjadi petanda jelas bahawa Pilihan Raya Umum (GE) akan diadakan dalam beberapa bulan mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 04 Sep 2019 06:03PM Dikemas Kini : 05 Sep 2019 05:45AM

SINGAPURA: Pejabat Perdana Menteri mengumumkan hari ini (4 Sep) bahawa Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi Pilihan Raya (EBRC) sudah dibentuk.

Pembentukan EBRC dan laporan-laporan susulannya adalah proses-proses penting yang perlu dimuktamadkan sebelum Pilihan Raya Umum diadakan. 

Pilihan raya harus diadakan selewat-lewatnya April 2021.

Pada 2010, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Wong Kan Seng berkata EBRC mengambil masa sekitar dua hingga empat bulan untuk menyiapkan semakannya.

Berdasarkan lima GE sebelumnya, tempoh antara penubuhan EBRC dengan Hari Mengundi adalah antara dua hingga tujuh bulan.

Pada Pilihan Raya Umum 2015, Perdana Menteri Lee Hsien Loong memberitahu Parlimen pada Julai bahawa EBRC sudah dibentuk dua bulan sebelumnya. Ini bermakna, ia mengambil sekitar empat bulan dari masa jawatankuasa berkenaan ditubuhkan sehinggalah pilihan raya pada September 2015.

Bagi GE 2011 pula, tempoh antara pembentukan EBRC pada Oktober 2010 hingga masa pengundian pada Mei 2011 mengambil masa sekitar tujuh bulan. Jawatankuasa tersebut mengeluarkan laporannya pada Februari 2011.

Pada 2006, tempoh masa antara pembentukan EBRC dan GE adalah sekitar enam bulan, manakala pada 2001, jarak masanya adalah antara dua dengan empat bulan, kerana tarikh penubuhan jawatankuasa berkenaan tidak jelas waktu itu. Jarak antara tempoh penubuhan EBRC dengan GE 1997 adalah sekitar tiga bulan.

EBRC dilantik oleh Perdana Menteri yang menetapkan garis panduan atau bidang tugas jawatankuasa. Peranannya adalah untuk menyemak dan menggariskan semula sempadan kawasan undi pilihan raya, serta membentangkan saranan bagi jumlah Anggota Parlimen, calon perseorangan dan Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC).

Pada 2016, PM Lee berkata di Parlimen bahawa GE selanjutnya akan menyaksikan secara purata GRC lebih kecil dan lebih banyak Kawasan Undi Perseorangan bagi "mencapai keseimbangan tepat". GRC lebih kecil, katanya, membolehkan hubungan menjadi lebih erat antara para AP dengan penduduk. Kawasan Undi Perseorangan pula langsung memberi seorang AP tanggungjawab bagi semua yang berlaku dalam kawasan undinya. Kawasan Undi Perseorangan juga lebih mudah untuk ditandingi.

Kini terdapat 16 GRC dan 13 SMC menyusuli semakan EBRC pada tahun 2015. Dua daripada GRC itu masing-masing mempunyai enam Anggota Parlimen AP, manakala lapan yang lain mempunyai lima AP. Baki enam GRC masing-masing mempunyai empat AP.

Selepas penubuhannya, EBRC kemudian akan membentangkan saranan-saranannya kepada Perdana Menteri, yang mana selepas itu, writ pilihan raya akan dikeluarkan, lazimnya beberapa hari selepas laporan diserahkan. Parlimen akan dibubarkan dalam beberapa hari atau minggu mendatang menyusuli writ tersebut.

Pilihan raya harus diadakan dalam tempoh tiga bulan selepas tarikh pembubaran Parlimen.  

Sumber : Today/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita