Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan Raya Presiden SG akan datang: Apa yang anda harus tahu

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Presiden Halimah Yacob pada Isnin (29 Mei) mengumumkan tidak akan bertanding bagi penggal kedua, sekali gus tidak mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Presiden yang bakal berlangsung dalam beberapa bulan. 

Pilihan Raya Presiden tahun ini dibuka kepada calon semua kaum, berbanding pilihan raya pada 2017 yang dikhaskan untuk calon Melayu kerana Singapura sudah lama tidak mempunyai ketua negara Melayu.

Berikut ini apa yang kita tahu setakat ini: 

BILAKAH PILIHAN RAYA AKAN DIADAKAN? 

Pilihan Raya Presiden akan datang perlu diadakan sebelum 13 September, tarikh terakhir penggal jawatan Puan Halimah. 

Ia boleh diadakan seawal tiga bulan sebelum itu - pada 13 Jun. 

Prosesnya bermula apabila Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengeluarkan Writ Pilihan Raya - dokumen awam yang menandakan permulaan pilihan raya. 

Setelah dikeluarkan, Jabatan Pilihan Raya (ELD) akan mengumumkan tarikh, waktu dan tempat di mana Hari Penamaan calon berlangsung. 

Calon yang ingin bertanding dalam pilihan raya itu dikehendaki membuat permohonan dengan Jawatankuasa Pilihan Raya Presiden (PEC) untuk mendapatkan sijil kelayakan dan menyerahkan pengisytiharan tergolong dalam masyarakat kepada Jawatankuasa Masyarakat (CC). 

Pengisytiharan itu untuk menentukan tarikh pilihan raya khas seterusnya. 

SIAPA YANG LAYAK JADI CALON? 

Calon harus berusia sekurang-kurangnya 45 tahun, harus membuktikan kepada PEC bahawa mereka "berintegriti, mempunyai watak dan reputasi yang baik" dan juga memenuhi syarat-syarat sektor awam atau privet yang relevan. 

Untuk memenuhi syarat sektor awam, calon preisden harus memegang jawatan - sekurang-kurangnya selama tiga tahun - sebagai menteri, hakim besar, Speaker Parlimen, peguam negara atau setiausaha tetap antara lain. 

Ketua eksekutif lembaga-lembaga berkanun atau syarikat milik pemerintah seperti Temasek juga layak mengambil bahagian. 

Sementara itu, calon sektor privet harus sudah menyandang jawatan sebagai ketua eksekutif sebuah syarikat yang mempunyai ekuiti pemegang saham sekurang-kurangnya S$500 juta selama sekurang-kurangnya tiga tahun dan mencatat keuntungan selepas cukai sepanjang tempoh itu. 

Pada Hari Penamaan, calon dikehendaki menyerahkan kertas dan sijil pencalonan kepada pegawai pilihan raya di pusat penamaan antara pukul 11.00 pagi hingga 12.00 petang. 

Pegawai Pilihan Raya dilantik oleh Perdana Menteri untuk mengawal selia pilihan raya agar adil dan berjalan dengan lancar. 

Jika hanya seorang calon berjaya dinamakan, Pegawai Pilihan Raya akan mengumumkan bahawa individu berkenaan merupakan presiden dipilih. 

Sekiranya ada lebih daripada seorang calon, pilihan raya harus dijalankan. 

Tempoh berkempen bermula pada Hari Penamaan, sebaik sahaja selepas prosiding penamaan berakhir. Ia akan berakhir pada pemulaan "Hari Bertenang" - iaitu sehari sebelum Hari Mengundi. 

Ketika tempoh itu, calon dilarang berkempen untuk memberi  pengundi masa merenungkan isu-isu yang diketengahkan sebelum mengundi. 

BAGAIMANA UNTUK MENGUNDI? 

Rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas wajib mengundi. Jika nama anda dikeluarkan daripada Daftar Pengundi kerana tidak mengundi dalam pilihan raya sebelumnya, anda boleh membuat permohonan menerusi laman web ELD agar nama anda disenaraikan semula. 

Nama anda tidak boleh disenaraikan semula selepas Writ Pilihan Raya dikeluarkan. 

Anda akan menerima kad undian melalui pos di alamat berdaftar anda, dua hingga tiga hari bekerja selepas Hari Penamaan Calon. 

Pada Hari Mengundi, anda harus membawa kad undian dan NRIC anda ke stesen mengundi yang sudah ditetpkan antara pukul 8.00 pagi hingga 8.00 malam. 

Apabila undian ditutup, kotak undi akan bawa ke pusat mengira undi. 

Pegawai Pilihan Raya kemudian akan mengumumkan keputusannya selepas kertas undi selesai dikira. 

PENGUNDI LUAR NEGARA DAN DI RUMAH JAGAAN

Pilihan raya akan datang turut menampilkan aturan baru susuli pindaan undang-undang pilihan raya Singapura yang diluluskan di Parlimen pada Mac. 

Sebagai sebahagian daripada projek perintis melibatkan sekitar 25 hingga 30 rumah jagaan, stesen mengundi disediakan di premis berkenaan dan pasukan undi bergerak mungkin dikerahkan untuk membawa kertas dan kotak mengundi kepada pengundi yang terlantar di katil mereka. 

Sementara itu, rakyat Singapura yang tinggal di luar negara boleh mengundi melalui pos bagi pilihan raya akan datang. 

Rakyat Singapura yang sudah mendaftar untuk mengundi melalui pos boleh log masuk ke laman web ELD sehari selepas Hari Penamaan Calon untuk mencetak kertas undi mereka dan memulangkan sampul surat jika berlaku pilihan raya. 

Sampul surat yang mengandungi kertas undi serta kotak-kotak mengandungi kertas undi di stesen mengundi luar negara akan dihantar ke Singapura untuk dikira selepas Hari Mengundi. 

Sampul surat dan kotak berkenaan harus diserahkan kepada Pegawai Pilihan Raya di Singapura selewat-lewatnya 10 hari selepas Hari Mengundi. 

Sekiranya jumlah pengundi luar negara tidak "memberi kesan" kepada keputusan pilihan raya, Pegawai Pilihan Raya akan mengisytiharkan calon yang menerima jumlah undi tertinggi menang pilihan raya itu, menurut ELD. 

Namun, sekiranya jumlah undi luar negara memberi kesan, Pegawai Pilihan Raya akan mengumumkan jumlah undi bagi setiap calon di Singapura dan menunda pengisytiharan calon yang dipilih, sehingga kertas undi dari luar negara dikira.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan