Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan Raya Presiden SG 2023: Sekitar 85% pengundi sudah buat pilihan mereka, kata ELD

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan Raya Presiden SG 2023: Sekitar 85% pengundi sudah buat pilihan mereka, kata ELD

(Gambar: CNA/Eileen Chew)

Diterbitkan : 01 Sep 2023 01:51PM Dikemas Kini : 02 Sep 2023 01:08AM
SINGAPURA: Pengundian sedang berlangsung dalam Pilihan Raya Presiden pada Jumaat (1 Sep) bagi memilih Presiden ke-9 negara.

Tiga orang calon yang bertanding ialah mantan Ketua Pelaburan GIC, Ng Kok Song, mantan Menteri Kanan, Tharman Shanmugaratnam dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income, Tan Kin Lian.

Sehingga 5.00 petang, sekitar 85 peratus atau 2,302,996 pengundi yang layak sudah membuat pilihan mereka, menurut
Jabatan Pilihan Raya (ELD).

Tambahnya, mereka yang belum lagi keluar mengundi dinasihati peruntukkan masa yang cukup untuk berbuat demikian sebelum masa mengundi ditutup pada 8.00 malam.

Pengundian yang bermula pada 8.00 pagi berjalan lancar meskipun berlaku sedikit kegenjotan pada awalnya.

ELD dalam satu kenyataan pada pagi Jumaat  menasihatkan pengundi untuk ke pusat mengundi pada lewat petang apabila barisan beratur biasanya lebih pendek.

Ini selepas berlaku gangguan pada sistem e-pendaftaran dan barisan yang panjang di beberapa pusat mengundi. namun, keadaan mula reda pada sekitar 10.00 pagi.

Lebih daripada 2.7 juta warga Singapura dijangkakan mengundi dan pusat mengundi akan dibuka sehingga pukul 8.00 malam, dan jumlah undi akan dikira selepas itu.

LEBIH 4,000 RAKYAT S'PURA MENGUNDI DI PUSAT MENGUNDI KHAS

Lebih 4,000 rakyat Singapura mengundi di pusat mengundi khas di beberapa rumah jagaan hari ini.

Ia adalah satu inisiatif baharu bagi memudahkan para warga emas mengundi.

(Gambar: MCI)
Inisiatif itu melibatkan 31 daripada 83 rumah jagaan di merata negara.

Para penghuni rumah jagaan Society for the Aged Sick (SAS) di Hougang tidak perlu pergi jauh untuk mengundi.

Dewan serbagunanya diubah menjadi sebuah pusat.

Empat penghuni boleh melaksanakan tanggungjawab mereka pada pada satu-satu masa sehingga waktu pengundian tamat pada jam 8 malam.

Seramai 12 kakitangan dikerah untuk membantu para penghuni terutama yang berkerusi roda untuk mengundi.

Rumah Jagaan Society for the Aged Sick itu merupakan antara 31 rumah jagaan yang menyediakan aturan undian khas. Di bawah aturan itu, para pegawai akan membawa kotak undi dan kertas undi dari katil ke katil supaya penghuni yang tidak boleh bergerak juga boleh mengundi.

"Oleh kerana kini undian dilaksanakan di sini, mereka dapat jimatkan masa dan tenaga kerana tidak perlu keluar untuk mengundi. Mereka juga tidak perlu risau tentang cuaca hujan," kata Ketua Pegawai Operasi Cik Kate Koh.

Menurutnya lagi, pihaknya telah mengerahkan seramai 12 kakitangan bagi membantu para pegawai Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Jumaat(1 Sep).

Dalam pada itu, beliau menekankan bahawa para kakitangan rumah jagaan tersebut tidak dibenarkan membantu memangkah kertas undi para penghuni atau mempengaruhi mereka.

Katanya, para kakitangan perlu beredar sebelum si penghuni itu memangkah kertas undi.

Antara penghuni pertama yang mengundi ialah Cik Lee Dan Li, 75 tahun, yang sudah tinggal di SAS sekitar lima tahun.
Menurutnya, proses mengundi hanya mengambil kira-kira lima minit.

"Lebih mudah. Ia amat senang dan cepat. Di luar mesti beratur," kata Cik Lee Dan Li.

Walau bagaimanapun, lebih 40 rumah jagaan tidak menjadi sebahagian daripada projek perintis itu.

Kira-kira 8,000 penghuni mereka masih perlu bergantung kepada anggota keluarga atau menaiki pengangkutan yang disediakan khas untuk membawa mereka ke pusat-pusat mengundi.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) telah menyediakan pelbagai kemudahan seperti kawasan turun khas, kemudahan akses bebas halangan, kerusi roda serta barisan beratur yang diutamakan bagi semua warga emas para pengundi yang memerlukan bantuan.

Sebilangan warga emas yang ditemui berkata proses mengundi mereka lancar dan teratur.

"Berjalan dengan lancar. Tidak ada barisan panjang semasa kita tunggu. Kerana apa saya datang siang lebih awal, bagusnya kita pun ada hal, hendak pergi pasar, petang mahu keluar," kata Cik Khadijah Masdi.

Seorang lagi pengundi, Cik Nur Amaliyah turut meluahkan pendapat yang serupa.

Cik Nur Amaliyah berkata: "Cepat sebab saya membawa pakcik saya untuk mendapat barisan beratur yang diutamakan. Tidak sampai lima minit kita di dalam."
 
Sumber : BERITA Mediacorp/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan