Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan Raya Presiden SG 2023: Ng Kok Song mengaku kalah kepada Tharman susuli 'keputusan jelas' dalam kiraan undi sampel

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Calon Presiden Ng Kok Song telah mengaku kalah kepada pesaingnya Tharman Shanmugaratnam, setelah keputusan kiraan undi sampel diumumkan Jabatan Pilihan Raya (ELD). Ia menunjukkan Encik Tharman memperolehi 70 peratus undi yang dikira.

Encik Ng memberitahu wartawan pada Jumaat malam(1 Sep) bahawa dalam panggilan telefonnya dengan Encik Tharman setelah keputusan kiraan undi sampel diumumkan sekitar 10.40 malam, beliau sudah mengucapkan tahniah kepada mantan Menteri Kanan itu atas "kemenangannya yang hebat".

Kiraan undi sampel itu menunjukkan Encik Ng telah menerima 16 peratus undi setakat ini.

"Saya memutuskan untuk mengaku kalah kepada Tharman kerana saya tidak mahu membiarkan anda semua berada di sini sehingga lewat malam," tambahnya. "Setahu saya, tiada perlunya untuk menunggu beberapa jam lagi bagi keputusan muktamad itu. Keputusannya jelas."

Menurut Encik Ng apabila Encik Tharman pertama kali mengumumkan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan Presiden, Encik Tharman telah berkata bahawa beliau ingin bertanding agar apabila dipilih kelak, beliau mempunyai mandat rakyat Singapura.

"Saya amat gembira bagi pihaknya kerana beliau memperolehi mandat dari rakyat Singapura," jelas Encik Ng.

"Apabila saya tampil untuk bersaing bagi jawatan Presiden, saya berkata bahawa matlamat nombor satu saya adalah untuk memastikan rakyat Singapura mendapat hak mereka untuk mengundi bagi Pilihan Raya Presiden ini. Saya rasa saya telah mencapai matlamat itu kerana Pilihan Raya Presiden diadakan hari ini."

Encik Ng, 75 tahun, kemudian mengucapkan terima kasih kepada rakyat Singapura yang telah mengundinya, penyokong beliau dan penyetuju yang menyokong pencalonannya.

Beliau juga menyampaikan penghargaan kepada kakitangan kempennya, termasuk penasihat, pegawai keselamatan, "wira media sosial(nya) yang muda", pemandu kereta dan keluarganya serta haiwan peliharaan - anjingnya Cotton dan kucing Max "kerana menenangkan dan selalu berada di sisinya".

Beliau menggulung ucapannya dengan menyampaikan penghargaan yang mendalam kepada tunangnya, Sybil, yang telah "mengorbankan kehidupan peribadinya untuk bekerja dengan(nya) dan berada d sisi(nya).
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan