Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilihan pakai pelitup di sekolah: Perasaan ibu bapa bercampur baur jelang musim peperiksaan

Anggaran Waktu Membaca:
Pilihan pakai pelitup di sekolah: Perasaan ibu bapa bercampur baur jelang musim peperiksaan

(Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

SINGAPURA: Ibu bapa dan para guru sebahagian besarnya terbuka kepada perubahan peraturan seterusnya berhubung COVID-19 di mana orang ramai boleh memilih untuk tidak memakai pelitup di sekolah.

Bagi mereka, ia akan menjadi satu kelegaan kerana memakai pelitup menjejas perkembangan sosial kanak-kanak.

Sungguhpun demikian, ada sesetengah pihak yang bimbang sekiranya kanak-kanak jatuh sakit semasa tempoh peperiksaan yang akan datang apabila mereka tidak lagi memakai pelitup.

Para pakar penyakit berjangkit memberitahu Mediacorp bahawa risiko kanak-kanak menghidap penyakit serius jika dijangkiti COVID-19 adalah kecil.

Para guru dan ibu bapa boleh mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi anak mereka apabila peraturan itu dilonggarkan kelak.
'BUKAN MASA YANG SESUAI'

Bagi salah seorang ibu bapa, Cik Irene Yeo, 42 tahun, beliau merasakan bahawa masa untuk melakukan perubahan pada peraturan tersebut 'bukanlah yang terbaik' kerana anak perempuannya bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) dalam MASA beberapa minggu lagi. Beliau bimbang kes jangkitan COVID-19 akan kembali meningkat jika lebih ramai orang tidak memakai pelitup.

Encik Edwin Lee, 50 tahun mengatakan bahawa dengan menanggalkan pelitup ia akan membantu anak perempuannya yang berumur 11 tahun dan anak lelakinya yang berusia 15 tahun dapat melihat papan putih dengan lebih baik tanpa cermin mata mereka menjadi kabus dan menjejas penglihatan mereka.

Salah seorang guru sekolah menengah yang diwawancara oleh Mediacorp mengatakan bahawa beliau gembira kerana akan ada pilihan untuk tidak memakai pelitup di sekolah tidak lama lagi tetapi dia prihatin tentang masa untuk berbuat demikian.

"Saya bimbang kerana mungkin lebih ramai pelajar akan dijangkiti COVID-19".

"Peperiksaan bakal menjelang tidak lama lagi dan ia akan menjejas gred mereka (sekiranya mereka jatuh sakit) dan sama ada mereka boleh melangkah ke peringkat seterusnya."

Menurut seorang guru sekolah rendah, dengan tidak memakai pelitup ia akan membantu para murid untuk melantunkan suara mereka di dalam kelas semasa menjawab soalan. Ini akan meningkatkan penyertaan dan pelibatan murid dalam bilik darjah.

"Kita juga boleh melihat wajah mereka dan mengenali mereka serta berinteraksi lebih baik dengan mereka," tambah beliau.

SUSAH NAK BACA EMOSI, EKSPRESI WAJAH

Cik Jasmine Hoo bagaimanapun tidak begitu khuatir jika anak-anak beliau dijangkiti semula COVID-19. Sebaliknya penghantar makanan berusia 41 tahun itu lebih bimbang tentang kemahiran sosial anaknya.

Anak lelakinya kini berusia enam tahun dan sedang mengikuti kelas K2. Anak-anaknya yang lain berusia 15 tahun dan 10 tahun.

"Apabila Perdana Menteri mengatakan bahawa kanak-kanak perlu melihat riak wajah orang lain, saya bersetuju dengannya kerana saya merasakan kanak-kanak yang lebih kecil tidak melihat riak wajah orang lain dan memahami antara satu sama lain dengan baik," kata Cik Hoo.

Seorang guru prasekolah yang tidak mahu dikenali juga mengatakan bahawa dengan tidak memakai pelitup ia akan dapat membantunya mengajar fonetik kepada para muridnya dengan lebih baik lagi kerana mereka dapat melihat pergerakan mulutnya dan meniru cara dia bercakap.

KANAK-KANAK SAKIT PATUT DUDUK DI RUMAH

Para pakar penyakit berjangkit memberitahu Mediacorp bahawa tidak memakai pelitup di sekolah mungkin baik tetapi ada cara untuk mengurangkan penularan jangkitan.

Profesor Dale Fisher yang juga adalah profesor perubatan di Sekolah Perubatan Yong Loo Lin NUS berkata: "Walaupun pelitup penting bagi membendung penularan, ia juga ada kesan sampingannya. Riak wajah dan komunikasi bukan lisan jaga sangat penting dalam interaksi sosial.

Dr Asok Kurup, pakar penyakit berjangkit di Hospital Mount Elizabeth, menekankan bahawa terdapat risiko kecil kanak-kanak akan mengalami penyakit serius apabila dijangkiti COVID-19 kerana sebahagian besar daripada mereka sudahpun divaksin.

Setakat 31 Julai lalu, 76 peratus kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 11 tahun dan 97 peratus kanak-kanak dan remaja yang berusia antara 12 hingga 19 tahun sudahpun divaksin sepenuhnya.
Sumber : Today/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan