Pilihan kekal membujang semakin diterima belia SG: Tinjauan IPS
Gambar: Mediacorp
SINGAPURA: Satu tinjauan terkini mendapati, lebih 80 peratus rakyat Singapura berusia antara 21 hingga 34 tahun bersetuju, adalah suatu perkara biasa dan lebih diterima, sekiranya seseorang itu memilih untuk kekal membujang.
Tinjauan Institut Pengajian Dasar (IPS) juga mendapati, antara sebab-sebab utama rakyat Singapura tidak berkahwin adalah mereka tidak bertemu dengan pasangan yang sesuai dan mereka ingin kekal bujang.
Malah, sehingga 70 peratus responden pula setuju, tiada keperluan untuk berkahwin dan melahirkan anak.
Semua ini mencerminkan perubahan sikap terhadap perkahwinan dan keibubapaan.
Bagaimanapun tinjauan itu turut mendapati, sebahagian besar responden sebenarnya berhasrat mempunyai keluarga sendiri.
Hampir tujuh daripada 10 responden bujang menjangkakan diri mereka berkahwin pada masa akan datang dan mempunyai anak.
Dalam aspek lain, tinjauan IPS itu juga mendapati lebih 50 peratus orang muda antara 21 hingga 34 tahun berasa cemas untuk berbual dengan orang lain secara bersemuka, dan sebaliknya lebih suka berkomunikasi secara online.
Dapatan itu menunjukkan, golongan muda lebih berkemungkinan mengalami pemencilan sosial dan menyendiri - bukan suatu isu di kalangan warga emas sahaja.
Dalam soal pekerjaan pula, hampir 60 peratus golongan muda dalam lingkungan usia tersebut melihat perlu membuat berbilang pertukaran kerjaya sepanjang hayat mereka.
Keinginan tersebut pula berkurangan bagi glongan usia 35 tahun ke atas.
Menurut IPS, dapatan-dapatan tinjauan tersebut menunjukkan betapa para penggubal dasar perlu menghuraikan pelbagai keprihatinan golongan belia ini dan melengkapkan mereka dengan lebih baik lagi untuk masa depan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.