Pilihan di tangan mereka; pemandu teksi, kereta sewa privet nantikan hari tanpa pelitup

(Gambar fail: Ooi Boon Keong/Today)
SINGAPURA: Sesetengah pemandu teksi dan Grab menyambut pelonggaran pada peraturan pelitup mulai Isnin (29 Ogos), namun ada juga yang memberitahu Mediacorp bahawa mereka akan terus memakainya.
Bermula Isnin depan, penduduk di Singapura tidak lagi diwajibkan untuk memakai pelitup kecuali apabila berada di pengangkutan awam dan kemudahan jagaan kesihatan, umum Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Rabu (24 Ogos).
Pemakaian pelitup juga bergantung kepada pilihan individu ketika berada dalam mod pengangkutan persendirian seperti teksi, bas sekolah dan khidmat bas privet.
"Pemandu teksi itu boleh mencadang dan meminta tetapi tiada undang-undang yang mengkehendakinya. Ia tidak boleh dikuatkuasakan, tiada asas undang-undang bagi pemandu teksi untuk berkata anda perlu melakukannya (memakai pelitup). Ia adalah pilihan masing-masing," kata Encik Wong.
Menjawab pertanyaan Mediacorp, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) menyatakan ia menggalakkan pemandu dan para penumpang teksi serta pengendali kereta sewa privet supaya terus memakai pelitup, khususnya jika pemandu sedang membawa penumpang yang sakit.
GEMBIRA TIDAK PERLU PAKAI PELITUP
Segelintir pemandu merancang untuk mendakapi undang-undang yang dilonggarkan itu dan tidak memakai pelitup mulai Isnin (29 Ogos).
Seorang pemandu Grab berusia 53 tahun, yang ingin dikenali sebagai Mark, berkata beliau memakai pelitup sekarang semata-mata kerana ia diwajibkan. Beliau menanggalkan pelitup sebaik sahaja penumpang turun dari keretanya.
Memandangkan pemakaian pelitup kini tidak diwajibkan, Encik Mark merancang untuk tidak memakainya.
"Sebabnya adalah kerana saya sudah lengkap divaksin dan saya sudah dijangkiti COVID-19 pada Julai.
"Lagipun, sekarang, sekitar enam daripada 10 orang sama ada tidak memakai pelitup mereka dengan betul atau menurunkannya ke dagu. Saya sudah penat untuk memberitahu mereka supaya pakai pelitup," katanya kepada Mediacorp.
"Setelah saya dijangkiti COVID-19, saya tidak begitu kisah sangat, tetapi jika saya terdengar mereka batuk atau ada selesema, saya meminta mereka untuk memakai pelitup."
Setakat ini, para penumpang memahami apabila Encik Mark meminta mereka untuk memakai pelitup dengan betul. Namun, beliau yakin bahawa kebanyakan penumpang tidak akan memakai pelitup apabila berada di dalam kereta mulai minggu depan.
"Secara peribadi, saya gembira bahawa kita boleh membuat pilihan untuk tidak memakai pelitup mulai minggu depan," tambahnya.
"Tetapi Grab sudah memberikan satu pek pelitup. Jadi jika penumpang lupa untuk membawa pelitup mereka, saya akan menawarkan untuk memberikan mereka pelitup."
Grab memberitahu Mediacorp bahawa ia tidak mensyaratkan pemandu atau penumpang untuk memakai pelitup tetapi amat menggalakkan mereka supaya berbuat demikian sekiranya berasa tidak sihat.
Seorang lagi pemandu Grab yang pernah dijangkiti COVID-19 sebelum ini juga sependapat dengan Encik Mark. David Lee, 38 tahun, berkata beliau tidak akan memakai pelitup memandangkan ia tidak diwajibkan dalam kereta sewa privet.
Encik Lee memandu sekurang-kurangnya 12 jam sehari selama enam hari setiap minggu.
"Ia agak panas dan boleh menyesakkan nafas untuk memakai pelitup di dalam kereta serta di bawah cuaca yang terik," katanya.
"Tetapi saya akan terus membasmi kuman di dalam kereta setiap dua atau tiga jam."
Encik Lee juga tidak mengharapkan penumpangnya untuk memakai pelitup memandangkan beliau juga tidak akan memakainya. Namun, beliau berharap mereka akan terus mengamalkan tanggungjawab sosial dan memakai pelitup sekiranya batuk atau demam selesema, terutama sekali jika ia amat teruk.
"Sekiranya penumpang sakit dan enggan memakai pelitup, sebenarnya tiada apa-apa yang boleh kami lakukan kerana kami hanya akan tahu perkara itu sekitar lima minit setelah menjemput mereka," tambahnya.
"Mengiku garis panduan, kami tidak boleh menyuruh penumpang turun dari kenderaan sewenang-wenangnya, selain destinasi pilihan mereka, kecuali dalam kes-kes ancaman yang ekstrem," terangnya lanjut.
"Jadi bagi saya, dalam kes ini, saya akan memakai pelitup jika penumpang sakit dan enggan memakai pelitup."
AKAN TERUS PAKAI PELITUP
Tidak semua pemandu akan menanggalkan pelitup sewaktu bekerja walaupun mereka berlapang dada menerima sekiranya penumpang mereka tidak memakai pelitup.
Pemandu teksi, Soh Kai Lim, 62 tahun, memilih untuk terus memakai pelitup Walaupun beliau pernah dijangkiti COVID-19 dan sudah mendapatkan suntikan dos penggalak, isterinya belum dijangkiti COVID-19.
Bagi Encik Toh Swee Bin pula, yang sudah memandu teksi selama hampir sembilan tahun, memberitahu Mediacorp: "Saya masih akan terus memakai pelitup di dalam teksi saya. Saya sudah terbiasa memakai pelitup ke mana jua saya pergi, kecuali semasa waktu makan."
Pemandu teksi berusia 46 tahun itu akur bahawa beliau pernah membawa penumpang yang terlupa untuk pelitup mereka tetapi beliau "tiada masalah dengannya".
"Kerana saya rasa sudah tiba masanya Pemerintah melonggarkan langkah ini," ujarnya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.