Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pilih makanan rendah kolesterol melalui platform pasaraya online

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu inisiatif diperkenalkan oleh Yayasan Jantung Singapura (SHF) dengan kerjasama Pasar Raya Shopee untuk mendidik pengguna supaya memilih makanan yang rendah atau bebas kolesterol.

Dari 17 September hingga 12 Oktober, para pengguna Pasaraya Shopee boleh membeli-belah daripada senarai yang disediakan oleh pakar diet SHF.


Petikan skrin dari aplikasi Shopee

Makanan dalam senarai itu mempunyai kadar kolesterol yang rendah dan dapat membantu individu membuat pilihan yang lebih bijak untuk memperbaiki profil kolesterol darah mereka.

"Itu juga cara untuk mencegah penyakit kolesterolkan? Kadang-kadang kita tak tahu, kita membeli dengan sembarangan jadi kalau ada aplikasi sebegitu yang menunjukkan dan menasihatkan kita (makanan) ini lebih baik, kita (pun) boleh pilih. Jadi baguslah," kata Cik Fatimah Ismail, seorang penghidap kolesterol tinggi.

Cara pemakanan yang lebih sihat itu antara skim pencegah umum yang digalakkan oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) dan SHF bagi penyakit kardiovaskular.

Kadar kolesterol tinggi dalam darah adalah antara faktor risiko utama penyakit tersebut.

Selain itu, senaman dan gaya hidup sihat juga disarankan bagi mengurangkan risiko penyakit itu.

39 PERATUS PENDUDUK MELAYU HIDAP KOLESTEROL TINGGI

Seramai 39.2 peratus penduduk Melayu di Singapura didapati menghidap kolesterol tinggi dalam darah. Bilangan penduduk wanita Melayu yang menghidap penyakit ini pula paling tinggi berbanding kaum Cina dan India, menurut Tinjauan Kesihatan Penduduk Nasional 2020.

Sementera itu, kadar kolesterol tinggi dalam kalangan penduduk Singapura juga meningkat secara keseluruhan dalam tempoh 10 tahun iaitu daripada 25.2 peratus pada 2010 kepada 39.1 peratus pada 2020.


Cik Fatimah, yang juga mengalami denyutan jantung tidak tetap 'Atrial Fibrillation' (AF), memastikan beliau menjalani pemeriksaan doktor setiap enam bulan.

"Memang waktu saya mendapat tahu saya sakit, saya rasa takut dan bimbang sebab saya takut nanti sebab ini, mendapat penyakit lain, dengan sampingan-sampinganya. Jadi sedihlah waktu itu," kongsi Cik Fatimah kepada BERITAmediacorp.

"Tetapi anak-anak dan suami banyak memberi sokongan dan memberi nasihat. Jadi kita pun rasa positif dan tak begitu takut sangat," tambah beliau.

BIASAKAN PEMAKANAN SIHAT

Menurut Cik Fatimah, yang berusia 75 tahun, banyak juga perubahan dari segi gaya hidup yang perlu diterapkan.

Ini terutama sekali cara pemakanannya.

"Saya harus kurangkan makanan yang berminyak. Jadi dahulu saya suka makanan goreng, makanan berlemak yang macam biasa. Masakan Melayukan banyak menggunakan santan tetapi sekarang saya suka makanan sup," kata Cik Fatimah.

Makanan yang menggunakan sos-sos seperti kicap dan cili turut dikurangkan memandangkan ia mengandungi banyak garam.



Walaubagaimanapun, Cik Fatimah akui bahawa perubahan itu agak mencabar pada mulanya kerana rasa yang tidak begitu "sedap".

"Saya sudah biasa makan (makanan yang) ada sambal belacan, ada sambal tumis dan sambal kicap. Jadi kadang-kadang kita perlu kurang makan sebegini," ujar Cik Fatimah.

"Kita rasa macam tak sedap dan tak enak. Macam dah biasa, tetapi lama kelamaan, (saya) sudah boleh terima," tambah beliau.

KEMATIAN AKIBAT PENYAKIT KARDIOVASKULAR

Menurut statistik, 30 peratus daripada kesemua kematian di Singapura setiap tahun adalah akibat penyakit kardiovaskular.

"Mempunyai diet yang sihat bermakna makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran yang diharapkan membentuk setengah daripada apa yang kita makan," nasihat ahli lembaga SHF dan pakar kardiologi, Dr Mak Koon Hou.


(Gambar: Singapore Heart Foundation)

Daging tanpa atau kurang lemak dan kacang juga boleh dimakan untuk dapatkan protein bagi diet, selain bijrin penuh, menurutnya lagi.

"Untuk senaman, ia perlu dibuat bergantung kepada individu - berapa usianya, bagaimana aktifnya seseorang itu atau sama ada seorang itu ada masalah sakit pinggul, sakit sendi atau sakit belakang, Jadi keseluruhannya, kita perlu ada gaya hidup sihat," kongsi Dr Mak.

TANGGAPAN SALAH TENTANG KOLESTEROL TINGGI DAN PENYAKIT JANTUNG

Namun, ada juga tanggapan yang salah dalam kalangan para penduduk, terutama sekali dengan lebih banyak sumber informasi dan bahan-bahan di Internet.

"Ada orang yang beranggapan bahawa kolesterol tinggi itu satu penipuan dari segi hubungannya bersama penyakit jantung. Namun, seperti yang lain juga, ini adalah salah satu faktor risiko untuk penyakit jantung," ujar Dr Mak.



Beliau bagaimanapun menambah bahawa meskipun seseorang itu ada kolesterol tinggi, tidak semestinya mereka akan mendapat penyakit jantung.

"Mempunyai kadar kolesterol tinggi akan mempengaruhi atau meningkatkan kemungkinan seseorang itu mendapat penyakit jantung atau angin ahmar. Tetapi ia tidak bermakna dengan kolesterol tinggi, anda akan mendapatnya," kata Dr Mak.

Lantaran itu, Dr Mak menasihati orang ramai supaya mengurangkan kolesterol agar dapat mengurangkan risiko menghidapi masalah-masalah penyakit itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan