Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pil rawat COVID-19 'sangat menggalakkan' tapi lebih data diperlukan bagi teliti manfaatnya: MOH

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang meneliti kajian dan data tentang pil antivirus yang boleh diberi preskripsi dan diambil di rumah bagi mengelakkan berlaku kematian atau jangkitan teruk COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kementerian Kesihatan (MOH) sedang meneliti kajian dan data tentang pil antivirus yang boleh diberi preskripsi dan diambil di rumah bagi mengelakkan berlaku kematian atau jangkitan teruk COVID-19. Laporan mengenai pil-pil sedemikian setakat ini nampaknya "sangat menggalakkan", kata Profesor Madya Kenneth Mak.

Pengarah khidmat perubatan di Kementerian Kesihatan (MOH) itu pada Isnin (8 Nov) menjawab soalan oleh Mediacorp berhubung sama ada Pemerintah mempunyai rancangan untuk membeli ubat antivirus sedemikian bagi kegunaan di sini.

Profesor Madya Mak berkata di satu sidang media oleh pasukan bertindak kebangsaan COVID-19 di sini: "Kami sedang mempertimbangkannya dengan serius, namun sebahagian besar daripada laporan mengenainya diterbitkan oleh media.

"Kami sedang mencari rencana sebenar, penerbitan atau kajian yang dilakukan menggunakan ubat-ubatan baru itu, serta data yang syarikat-syarikat serahkan kepada pengawal selia kesihatan supaya kami boleh menilai keberkesanan ubat-ubatan itu secara lebih objektif."

Pada minggu lalu, gergasi farmaseutikal Pfizer mengumumkan bahawa ubat antivirus eksperimen COVID-19 terbukti dapat mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital atau kematian sebanyak 89 peratus bagi golongan dewasa.

Ubat Pfizer, yang merupakan sebahagian daripada kategori ubat dikenali sebagai perencat protease, direka untuk menghalang sejenis enzim yang diperlukan oleh koronavirus untuk membolehkannya berganda.

Hasil keputusan itu didapati lebih baik berbanding keputusan yang dicatatkan oleh ubat antivirus molnupravir, yang dihasilkan oleh syarikat farmaseutikal MSD, yang didapati boleh mengurangkan risiko dimasukkan ke hospital atau kematian sekitar 50 peratus bagi pesakit dengan jangkitan COVID-19 yang ringan hingga sederhana.

Boleh dibeli daripada sebuah kedai farmasi dan diambil di rumah, ubat itu dijangka boleh diakses oleh lebih ramai individu berbanding rawatan seperti antibodi monoklonal, yang lazimnya diberikan secara intravena di sebuah hospital atau klinik.

Profesor Madya Mak berkata ubat antivirus sedemikian tentu sekali adalah "senjata penting" bagi mana-mana negara dalam perjuangan mereka menentang pandemik COVID-19.

"Tentu sekali, berdasarkan laporan media, ia kelihatan sangat menggalakkan, jika anda berkata tentang ubat yang mempunyai keberkesanan 85-90 peratus dalam mengurangkan kes kematian atau jangkitan teruk.

"Ia tentu sekali adalah senjata penting dalam sumber-sumber perubatan di mana-mana negara dalam usaha memerangi COVID-19."

Namun, Pemerintah Singapura akan menunggu bagi lebih banyak butiran supaya ia boleh menilai sama ada untuk mendapatkan ubat-ubatan itu bagi Singapura, katanya.

Pada minggu lalu, Britain merupakan negara pertama yang meluluskan penggunaan ubat molnupiravir sebagai rawatan mudah digunakan yang dapat membantu meredakan pandemik.

MSD turut mengumumkan pada minggu lalu bahawa ia memeterai perjanjian dengan Singapura untuk membekalkan ubat itu sebaik sahaja ia diluluskan.

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan