Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pihak pengurusan The Hillside tuntut ganti rugi setelah kereta Gojek terjerumus ke dalam kolam renang kondo

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Seorang pemandu Gojek yang memandu kereta jenis SUV (kenderaan utiliti lasak) terjerumus ke dalam sebuah kolam renang kondominium di Upper Bukit Timah Road.

Dalam kejadian itu, seorang penumpang turut berada di dalam kenderaan tersebut.

Pihak pengurusan kondo tersebut kini sedang mendapatkan nasihat guaman berhubung kerosakan harta benda.

Menurut pihak pengurusan kondo pada Jumaat (3 Mac), pemandu itu mendakwa bekerja di bawah syarikat Gojek dan kenyataannya itu telah disahkan oleh pihak Gojek semasa dihubungi Mediacorp.

Pada sekitar 9.00 malam pada Selasa (28 Feb), sebuah kereta Honda Vezel berwarna putih dilihat memasuki kolam renang kondo The Hillside dalam keadaan hujan lebat, dengan roda depan dan sebahagian bonetnya tenggelam manakala sebahagian besar casisnya berada di tepi kolam.

Menurut pihak pengurusan kondo, kedua-dua pemandu dan penumpang tidak kelihatan cedera dalam kejadian itu.

Gambar serta video insiden tersebut kemudian disebarkan di wadah TikTok dan Facebook. Warga net rata-rata mempersoalkan kebolehan pemandu, dengan sesetengah daripada mereka berseloroh sambil mengatakan bahawa pemandu tersebut mungkin mahu mencuci keretanya.

Dalam kenyataannya kepada pihak media pada Jumaat, pihak pengurusan kondo menyatakan bahawa pemandu berkenaan, yang merupakan seorang lelaki yang sudah berumur, sedang membawa seorang penumpang wanita warga emas apabila kereta tersebut terjerumus ke dalam kolam renang tersebut.

"Kami sedang mendapatkan nasihat guaman untuk menuntut ganti rugi yang disebabkan oleh kereta itu dan kami juga akan menulis kepada Gojek untuk mengesahkan sama ada pemandu itu benar-benar pemandu Gojek dan akan memaklumkan syarikat itu mengenai tuntutan kami," menurut pihak pengurusan kondo tersebut.
Sumber : Today/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan