Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pihak pendakwa sifatkan Mohd Razif Radi sebagai penipu, beri keterangan tidak konsisten

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak pendakwa sifatkan Mohd Razif Radi sebagai penipu, beri keterangan tidak konsisten

Mohd Razif Radi (kanan) bersama peguam bela (Gambar: Nurhelmy Hakim)

SINGAPURA: Dalam menggulung pemeriksaan balas bagi pihak pendakwa, Timbalan Pendakwa Raya (DPP), Hidayat Amir menyimpulkan yang tertuduh, Mohd Razif Radi adalah seorang penipu.

Ini setelah dua hari DPP Hidayat mengajukan beberapa soalan kepada Razif dan jawapan yang diberikannya bercanggah dengan keterangannya sendiri serta para saksi.

“Dari tahun 2004 hingga 2020, anda bertopengkan diri sebagai seorang guru agama, meskipun anda bukan. Anda menjalankan ajaran sesat untuk keuntungan diri sendiri. Anda mengatakan berjudi dibenarkan dalam Islam untuk meraih kekayaan menerusi para pengikut anda. Anda tidak ada sumber wang, jadi anda menggunakan wang pengikut anda,” kata Encik Hidayat.

“Anda mengamalkan ajaran sesat dengan menyeru roh ‘Mbah’ supaya para pengikut anda akan memuliakan anda. Anda menyasar para pengikut wanita kerana anda ingin rasa istimewa. Terutamanya, golongan wanita yang berpendidikan. Anda ingin menunggang kejayaan mereka. Anda menggunakan roh ‘Mbah’ untuk meyakinkan mereka bahawa nikah batin dibenarkan, dan anda melayan mereka sebagai 'isteri batin',” tambah beliau.

Razif, 67 tahun menafikan dakwaan itu.

Dalam hujahnya di hadapan Hakim Daerah, Shaiffudin Saruwan hari ini (7 Nov), Encik Hidayat berkata kepada Razif dengan tegas, “Anda memporak-perandakan keluarga-keluarga menerusi ajaran sesat anda. Anda merosakkan perkahwinan. Daripada mula pemeriksaan balas, anda telah menunjukkan yang anda adalah seorang penipu, yang terus-menerus membohong.”

“Anda, tidak kurang daripada seorang penipu agama,” tegas Encik Hidayat.
KETERANGAN RAZIF TIDAK KONSISTEN

Dalam sesi pemeriksaan balas, Razif juga dilihat gagap apabila memberikan jawapan kepada beberapa soalan.

Misalnya apabila ditanya tentang sepucuk surat yang ditulis seorang saksi pembela.

Surat itu dan cara ia ditulis menandakan bahawa dia adalah isteri kepada Razif.

Razif menjelaskan kepada mahkamah: “Saya kenal dia selama 20 tahun. Saya anggap dia sebagai adik saya. Saya tidak ada sebab mengapa dia menulis surat itu. Ia hanya tanggapan dia, bukan saya.”

Razif juga mengatakan bahawa dia ada bersemuka dengan saksi pembela itu disebabkan surat tersebut.

Encik Hidayat bertanya pula: “Kalau awak sudah mengenalinya selama 20 tahun dan bersemuka dengannya, apa pula reaksinya?”

Razif menjawab: “Dia sebenarnya suka menulis cerita. Jadi dia hanya mereka cerita.”

Dalam satu lagi surat yang digunakan sebagai bahan bukti di mahkamah, ia menandakan bahawa saksi pembela itu dianggap sebagai salah satu daripada empat 'isteri batin' Razif.

Semasa pemeriksaan balas, Razif juga memberi keterangan yang tidak konsisten mengenai dirinya yang berbual dengan loghat Indonesia.

Pada Isnin (4 Nov), Razif menerangkan kepada peguam bela, Encik Simon Tan, bahawa orang mungkin rasa bahawa dirinya dimasuki roh ‘Mbah’ kerana dia berbual dengan loghat Indonesia.

Namun, apabila ditanya oleh Encik Hidayat pada Khamis (7 Nov), Razif mengatakan dia tidak pernah berbual dengan loghat Indonesia.

BERI KETERANGAN TIDAK KONSISTEN

Razif juga didapati memberi keterangan tidak konsisten tentang perjudian serta perihal melamar seorang saksi pendakwa untuk berkahwin secara ‘nikah batin’.

Razif mengatakan bahawa dia tidak tahu bahawa 'nikah batin' tidak dibenarkan dalam Islam.

Sesi pemeriksaan balas menjadi lebih tegang apabila Encik Hidayat menegur Razif kerana selalu mengubah keterangan.

Razif berkata: “Ini kali pertama saya pergi ke mahkamah. Saya rasa gementar.”

Perbicaraan akan diteruskan pada Jumaat (8 Nov) dengan pemeriksaan balas oleh pihak pembela pula terhadap Razif.

Selepas itu, peguam bela dijangka akan mula memanggil saksi-saksinya untuk tampil memberikan keterangan.
Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan