Pihak berkuasa terus pantau keadaan COVID-19 sebelum buat keputusan laksanakan 'circuit breaker'
Pihak berkuasa sedang terus memantau keadaan COVID-19 di Singapura sebelum membuat keputusan sama ada perlu melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan yang kedua atau "circuit breaker", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (16 Mei).

Menteri Kesihatan Ong Ye Kung berucap di sidang media pasukan bertindak berbilang kementerian COVID-19 pada 16 Mei 2021. (Gambar: MCI)
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang terus memantau keadaan COVID-19 di Singapura sebelum membuat keputusan sama ada perlu melaksanakan langkah pemutus rantaian jangkitan yang kedua atau "circuit breaker", kata Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (16 Mei).
Encik Ong berkata demikian sebagai menjawap pertanyaan Mediacorp mengenai responsnya untuk mengembalikan langkah pemutus rantaian jangkitan sedang kes dalam masyarakat meningkat.
Hari ini, Singapura melaporkan 38 kes baru dalam masyarakat, iaitu jumlah kes jangkitan harian paling tinggi sejak 14 April tahun lalu. Sebanyak 18 daripada kes tersebut tidak berkait kes sebelumnya.
Encik Ong berkata masa ini "adalah waktu yang sukar" untuk menjawab soalan berkenaan sedang trajektori peningkatan kes dalam hari-hari mendatang masih lagi belum diketahui.
"Anda boleh melihat jumlah kes semakin meningkat dan sama ada trajektorinya akan terus meningkat atau mendatar - iaitu sesuatu yang berlaku pada Tahun Baru Cina tahun ini, di mana kami melihat jumlah kes naik, kemudian mendatar dan lesap - ke mana arah tujunya, kami hanya kan dapat tahu dalam hari-hari mendatang.
"Oleh itu, buat masa ini, saya hanya boleh katakan bahawa kami perlu memantau keadaan dan membuat keputusan selepas itu."
Encik Ong berkata beliau bukan mahu mengelak soalan tersebut tetapi pihak berkuasa "sejujurnya memerlukan jawapan bagi beberapa soalan dulu."
Pertama, langkah lebih ketat, termasuk had dua orang bagi semua perhimpunan sosial dan larangan makan di premis bagi semua kedai makanan dan minuman baru dilaksanakan hari ini.
Langkah-langkah lebih ketat itu yang akan berkuat kuasa sehingga 13 Jun, menghindar orang ramai daripada "sekitaran berisiko paling tinggi" iaitu ruang tertutup yang sesak di mana mereka boleh membuka pelitup.
"Dengan itu, saya rasa kami akan mendapatkan hasil," kata Encik Ong sambil menambah bahawa langkah tersebut juga akan membawa kesan tidak langsung iaitu mengurangkan kegiatan secara amnya sedang orang ramai kurang keluar rumah.
Malah, pengumuman bagi semua sekolah rendah dan menengah serta maktab rendah dan Institut Millennia akan beralih ke pembelajaran sepenuhnya di rumah (HBL) mulai Rabu ini (19 Mei) akan "turut mengurangkan lagi kegiatan," kata beliau.
"Kami yakin akan terdapat kesan dan saya rasa kami hanya akan tahu dalam hari-hari mendatang," tambah beliau.
Bidang-bidang lain yang sedang dipantau pihak berkuasa adalah langkah terbaru untuk memadankan ujian pantas antigen (ART) dengan ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) bagi individu yang mungkin menunjukkan gejala COVID-19 dan mendapatkan rawatan.
Langkah tersebut sudahpun dilaksanakan untuk mempercepatkan pengesanan kes COVID-19, dedah Kementerian Kesihatan Jumaat lalu (14 Mei).
Encik Ong berkata dalam hari-hari mendatang, pihak berkuasa akan memantau sama ada langkah terbaru itu akan membantu "mengesan kes-kes dengan lebih cepat lagi".
Akhir sekali, MOH terus mengkaji sejauh mana teruknya penyakit itu dalam kalangan mereka yang dijangkiti selepas mendapat suntikan vaksin ataupun mereka yang dijangkiti seseorang yang sudahpun diberi suntikan vaksin.
"Buat masa ini, kami boleh mengongsi bahawa bagi 76 individu yang diberi sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin sewaktu penularan kali ini, tiada yang memerlukan ICU. Tetapi kami perlu membuat kajian data lebih mendalam lagi," kata beliau.
"Dan sekiranya perlu melaksanakan langkah-langkah lebih ketat, seperti yang dikatakan (Menteri Kewangan Lawrence Wong) dalam sidang media (Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian) yang lalu, kami akan melakukannya. Dan jika langkah itu melibatkan tempoh pemutus rantaian jangkitan dilaksanakan, kami akan katakan sedemikian."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.