Skip to main content

Singapura

Pihak berkuasa siasat kes budak dirakam campak kucing dari tingkat 22 blok HDB

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak berkuasa siasat kes budak dirakam campak kucing dari tingkat 22 blok HDB

(Gambar: Feline Facebook)

Diterbitkan : 16 Dec 2022 03:53PM Dikemas Kini : 16 Dec 2022 03:55PM
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang menyiasat kejadian di mana seorang budak lelaki dirakam kamera CCTV mencampak seekor kucing dari sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB).

Video yang dimuat naik ke Facebook pada Khamis (15 Dis) menunjukkan seorang budak lelaki mengekori kucing keluar dari lif, sebelum mengangkat dan membuangnya dari belebas. Satu bunyi kuat kedengaran beberapa saat kemudian. 

Menurut catatan di Facebook itu kucing tersebut  dibuang dari tingkat 22 di Blok 186 Boon Lay Avenue. 

Jurucakap polis mengesahkan dengan Mediacorp bahawa laporan polis telah difailkan berhubung kejadian itu, manakala Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) - kelompok di bawah Lembaga Taman Negara menyatakan siasatan terhadap kes itu sedang dijalankan.

Pengarah kumpulan di AVS, Cik Jessica Kwok meminta orang ramai agar "tidak membuat spekulasi mengenai kes itu dan membiarkan siasatan dijalankan".

Cik Aarthi Sankar, pengarah eksekutif Persatuan Pencegahan Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) Singapura, berkata kucing itu mati akibat kecederaan yang dialami. Sambil menyebut tindakan budak lelaki itu sebagai "amat membimbangkan", Cik Sankar berkata SPCA telah melawat keluarga budak itu untuk siasatan lanjut.

"SPCA akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kes itu dan pada masa yang sama menasihati kanak-kanak tersebut."

Penduduk Boon Lay, Chua Mui Mui dan Umi Solikati, yang merupakan penjaga kucing bernama Panther itu, memberitahu Mediacorp bahawa ia dijaga dalam masyarakat selama lebih 15 tahun.

Cik Chua, 47 tahun, dan Cik Umi, 39 tahun, dimaklumkan tentang kejadian itu oleh pemilik kedai yang pelanggannya berkongsi rakaman CCTV dengan beliau.

Mereka kemudian memaklumkan Persatuan Kebajikan Kucing (CWS) dan memfailkan laporan polis apabila melihat budak lelaki itu di kolong blok Blok 186 Boon Lay Avenue, di mana video itu dirakamkan.

Kedua-dua penjaga itu menambah: "Kami sangat sedih dan marah tentang kematian kucing itu. Ia sangat disayangi dan dijaga oleh ramai orang. Ia tidak sepatutnya mati dengan cara begini."

Pesalah kali pertama yang ditangkap mendera haiwan boleh didakwa di mahkamah di bawah Akta Haiwan dan Burung dan mereka yang disabitkan kesalahan boleh dipenjara sehingga 18 bulan, didenda sehingga S$15,000, atau kedua-duanya.

Meskipun kes dera haiwan oleh kanak-kanak tidak biasa berlaku seperti kes penderaan dan pengabaian lain, kejadian tersebut membuktikan peri pentingnya untuk mengajar kanak-kanak bersifat empati dan rasa sayang dari usia muda lagi, kata Cik Aarthi Sankar.  
 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita