Skip to main content

Singapura

Pihak berkuasa siasat amah dipercayai dera anjing hingga mati

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Siasatan sedang dijalankan selepas seorang wanita dilihat beberapa kali memukul kepala seekor anjing dan membiarkan haiwan tersebut diikat dan tergantung dari bahagian susur balkoni.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Perkhidmatan Haiwan dan Veterinar (AVS) pada Selasa (27 Feb) menyatakan pihaknya "sudah menerima maklum balas" pada 25 Januari mengenai kes yang dipercayai kekejaman terhadap haiwan yang berlaku di sebuah unit kediaman.

Persatuan Mencegah Kekejaman Terhadap Haiwan (SPCA) menerusi catatan Facebook dan Instagram menyatakan pihaknya dimaklumkan kepada kes melibatkan penderaan seekor anjing peliharaan oleh seorang amah.

Dua gambar menunjukkan pembantu rumah itu memukul anjing tersebut di balkoni sebuah apartmen, manakala satu lagi gambar menunjukkan anjing itu diikat dan dibiarkan tegantung dari susur di balkoni tersebut. Anjing itu mati pada 22 Januari.

Pemilik anjing itu, yang enggan didedahkan namanya, memberitahu Mediacorp haiwan tersebut sudah dipelihara selama sembilan tahun.

Satu catatan oleh Derrick Tan, presiden badan kebajikan Voice for Animals, menunjukkan rakaman CCTV seorang wanita memukul seekor anjing.

Dalam satu video, beliau dilihat memukul anjing tersebut dengan tangannya dan menekan haiwan itu pada bahagian lehernya. Sedang anjing itu bergelut, dia menggunakan apa yang dilihat sebagai beberapa kadbod yang disatukan untuk memukul anjing berkenaan sebanyak dua kali.

Dalam satu lagi video, dia dilihat menggunakan kadbod tersebut untuk memukul kepala anjing itu sedang haiwan berkenaan diikat pada paip. Anjing itu juga diikat dan dibiarkan tergantung dari susur di balkoni.

Pemilik anjing itu memberitahu Mediacorp sebelum pembantu rumah itu bekerja dengannya, beliau sudah memasang CCTV di rumah untuk memantau anjing peliharaannya itu.

"Disebabkab kami tiada pembantu, kami pasang CCTV di rumah untuk pantau anjing. Kami perlu pantau anjing ketika kami sibuk bekerja di luar," tambah beliau.

Menurut SPCA, pemilik anjing itu diberitahu oleh teman wanita beliau bahawa anjing peliharaannya mati ketika teman wanita itu sedang tidur. Maklumat itu disampaikan kepada teman wanita pemilik anjing berkenaan oleh pembantu rumah itu.

Disebabkan keprihatinan terhadap kerosakan pada tempurung kepala anjing itu, beliau meneliti rakaman CCTV dan melihat pembantu rumahnya memukul anjing berkenaan.

Amah itu baru bekerja dengan mereka sekitar tiga hingga empat minggu, menurut pemilik.

"SPCA segera menghubungi pihak berkuasa dan menasihatkan pemilik supaya membuat aduan polis terhadap pembantu rumah selain membuat aduan kepada AVS," menurut SPCA.

AVS menegaskan bahawa pihaknya tidak bertolak ansur sama sekali terhadap layanan buruk ke atas haiwan peliharaan dan pesalah kali pertama mendera haiwan boleh didakwa di bawah Akta Haiwan dan Burung, dan boleh dikenakan denda sehingga S$15,000, dipenjara sehingga 18 bulan atau kedua-duanya sekali.
 
Sumber : CNA/NK/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita