Skip to main content

Singapura

Pihak berkuasa SG, Britain berjaya tumpas rangkaian dadah rentas sempadan

Pihak berkuasa Singapura dan Britain berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan dan merampas lebih 900 kilogram ganja yang dalam perjalanan ke Britain, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura pada Isnin (27 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Apr 2026 02:15PM Dikemas Kini : 08 May 2026 01:59PM
  • Pihak berkuasa Singapura dan Britain bekerjasama melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan yang menyasarkan Britain.
  • Lebih 900 kilogram ganja dirampas dalam dua operasi berasingan di Singapura dan Britain pada Januari dan Februari.
  • Operasi melibatkan CNB, HOIO, Pasukan Sempadan Britain dan WM ROCU, serta membawa kepada penangkapan tujuh individu dan pendakwaan seorang suspek di Britain.
  • Kerjasama ini menutup jurang yang sering dieksploitasi kumpulan jenayah, dengan perkongsian maklumat risikan dan tindakan penguatkuasaan yang diselaraskan.
Dijana oleh AI
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura dan Britain berjaya melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan dan merampas lebih 900 kilogram ganja yang dalam perjalanan ke Britain, menurut Biro Narkotik Pusat (CNB) Singapura pada Isnin (27 Apr).

Rampasan pertama sebanyak 509 kilogram ganja dikesan di Stesen Pengimbasan Pasir Panjang pada 3 Januari lalu, dengan siasatan CNB mendapati dadah itu sedang melakukan transit di Singapura dalam perjalanan ke Britain.

Menyusuli pengesanannya, CNB melancarkan operasi rentas sempadan bersama Operasi Antarabangsa Pejabat Kementerian Dalam Negeri Britain (HOIO), Pasukan Sempadan Britain dan Unit Jenayah Terancang Serantau West Midlands (WW ROCU).

Pihak berkuasa Britain pada 25 Februari lalu berjaya merampas penghantaran kedua berisi 412 kilogram ganja dalam satu lagi kontena menuju ke Britain, hasil perkongsian maklumat risikan dan tindakan penguatkuasaan yang diselaraskan.

Melalui kerjasama antara agensi, rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan itu dapat dilumpuhkan, sekali gus menghalang pengedaran sejumlah besar dadah di Britain, menurut CNB.

HOIO, Pasukan Sempadan Britain dan WM ROCU kemudian melancarkan sebuah operasi di Britain, yang membawa kepada lebih banyak rampasan ganja serta penangkapan tujuh orang individu.

Seorang individu sudah didakwa di Britain atas kesalahan berkaitan dadah dan pihak berkuasa sedang menjejaki petunjuk lanjut untuk mengenal pasti individu lain yang terlibat.

“Melalui kerjasama antarabangsa yang rapat dan perkongsian maklumat risikan, kami bersama rakan penguat kuasa undang-undang di Britain memberi tamparan hebat kepada rangkaian pengedaran dadah rentas sempadan,” kata Timbalan Pengarah Operasi CNB, Penolong Pesuruhjaya Aaron Tang.

“Kerjasama kami dengan agensi penguat kuasa antarabangsa memastikan tiada tempat selamat bagi mereka yang mengedarkan bahan berbahaya ini.”

Pengurus Rantau Asia Pasifik HOIO, Bryan McNeill berkata, “Britain berterima kasih kepada rakan kami di Singapura kerana membantu melumpuhkan rangkaian pengedaran dadah yang menyasarkan Britain.”

“Melalui perkongsian maklumat risikan pada masa nyata, penyelarasan sempadan yang lebih kukuh dan matlamat bersama, kerjasama ini merapatkan jurang yang sekian lama dieksploitasikan oleh kumpulan jenayah terancang.”
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita