Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pihak berkuasa Sepanyol temui nota penamaan calon CPF pada iPad wanita SG yang dibunuh di Sepanyol

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak berkuasa Sepanyol temui nota penamaan calon CPF pada iPad wanita SG yang dibunuh di Sepanyol

Wanita Singapura, Audrey Fang, 39 tahun, ditemui mati dengan 30 kesan tikaman, berdekatan tempat meletak kenderaan buat lori di Abanilla, Sepanyol pada 10 Apr 2024. (Gambar: Facebook/Fang Dirou)

SINGAPURA: Polis Sepanyol yang sedang menyiasat kes pembunuhan wanita Singapura di sana, dilaporkan sedang menyelidik satu nota penamaan calon Tabung Simpanan Pekerja (CPF) yang ditemui dalam iPad mangsa.

Menurut laporan oleh akhbar Sepanyol, La Verdad, pada Isnin (29 Apr), tertulis dalam nota itu bahawa Cik Audrey Fang sudah memutuskan untuk mencalonkan seorang individu yang tidak dikenali bagi simpanan CPF beliau kerana individu tersebut adalah "rakan lama yang boleh dipercayai".

Akhbar itu turut melaporkan bahawa pinjaman AS$50,000 (S$68,000) turut diberikan buat Cik Fang atas persahabatan mereka.

CPF adalah satu skim simpanan mandatori bagi jaminan sosial yang dibiayai hasil sumbangan para majikan dan pekerja.

Sekiranya seseorang meninggal dunia, simpanannya akan diberikan kepada sesiapa yang terdahulu sudah dicalonkan.

Jika tiada pencalonan dilakukan, tabungannya akan diserahkan kepada Pejabat Pemegang Amanah Awam untuk diagihkan kepada para anggota keluarga.

Nota penamaan calon CPF bertarikh 24 Mac itu ditemui Pengawal Awam Sepanyol pada iPad Cik Fang yang ditinggalkan di dalam bilik hotelnya.

Wanita berusia 39 tahun itu sedang bercuti secara solo di Sepanyol tetapi pada 9 April tidak dapat dihubungi sama sekali. Barang miliknya juga ditinggalkan di dalam hotel.

Pada keesokan harinya, mayat mangsa ditemui dengan 30 kesan tikaman, kira-kira 150km dari tempat penginapannya.

Mitchell Ong, seorang lelaki Singapura berusia 43 tahun, diberkas di Alicante pada 16 Apr berhubung kematian itu. Dia tampil di mahkamah pada 19 Apr dan ditahan.

KELUARGA MANGSA SEDANG PERIKSA JIKA SUSPEK PENERIMA CPF

Dilaporkan sebelum ini bahawa mungkin terdapat motif bersifat kewangan bagi pembunuhan Cik Fang, dengan media Sepanyol melaporkan bahawa mangsa memindahkan wang kepada individu ketiga yang tidak dikenali.

Keluarga Cik Fang memberitahu Mediacorp pada Sabtu (27 Apr) bahawa mereka bimbang Ong mungkin dicalonkan untuk menerima wang CPF mangsa.

Mereka mendapat tahu Cik Fang mempunyai dua polisi insurans pelaburan yang dijual pada 2015 oleh seorang ejen bernama Ong Cheong Yi, yang pihak keluarga diberitahu adalah nama Cina Mitchell Ong.

Keluarganya berkata mereka merancang untuk menghubungi pihak berkuasa untuk menentukan jika Ong dinamakan sebagai penerima bagi wang CPF ataupun polisi-polisi insurans Cik Fang.

Mereka juga akan cuba mengesahkan sama ada wang dipindahkan keluar daripada akaun banknya.

Menurut laporan La Verdad, keluarga mangsa turut mempersoalkan kesahihan nota yang ditemui pada iPad mangsa, memandangkan jumlah pinjaman yang tertulis adalah dalam mata wang dolar Amerika, dan bukan dolar Singapura.

Nota tersebut juga menggunakan perkataan "heya", tetapi Cik Fang biasanya bertutur dalam bahasa Mandarin.
Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan