Pihak berkuasa S'pura terus kerjasama dengan pasukan bertindak 1MDB M'sia
"Singapura giat berkongsi maklumat tentang pengaliran dana 1MDB sejak Mac 2015 dan Malaysia maklum akan perkara tersebut. Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini," menurut pihak berkuasa.
Papan tanda 1MDB di Kuala Lumpur. (Gambar fail: Olivia Harris/Reuters)
SINGAPURA: Pihak berkuasa Singapura bersetuju untuk terus bekerjasama dengan pasukan bertindak 1MDB Malaysia dan terus bertukar-tukar maklumat. Ini menyusuli mesyuarat "membina" antara kedua-dua pihak semalam (7 Jun).
Dalam satu kenyataan media hari ini (8 Jun), Pejabat Peguam Negara (AGC), Jabatan Ehwal Komersil (CAD) dan Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyatakan bahawa mesyuarat yang diadakan semalam dianjurkan atas undangan pihak berkuasa Singapura dan terdapat "pertukaran maklumat yang membina".
Pertemuan itu menyusuli mesyuarat sebelum ini dengan pasukan bertindak itu minggu lalu di Kuala Lumpur, demikian menurut kenyataan tersebut.
"Singapura giat berkongsi maklumat tentang pengaliran dana 1MDB sejak Mac 2015 dan Malaysia maklum akan perkara tersebut. Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan kerjasama ini," menurut pihak berkuasa.
Agensi-agensi itu turut menjelaskan bahawa Notis Merah INTERPOL bagi Low Taek Jho, yang dikenali ramai sebagai Jho Low dan Tan Kim Loong, yang juga dikenali sebagai Eric sudahpun dikeluarkan. Kedua-dua individu itu didakwa terbabit dalam skandal 1MDB.
"Agensi penguatkuasaan undang-undang dan kawal selia Singapura giat menyiasat kemungkinan kegiatan pengubahan wang haram dan kesalahan lain berhubung penyaluran dana 1MDB, bermula dari Mac 2015," dedah pihak berkuasa Singapura.
"Susulan kepada siasatan yang dijalankan, pihak berkuasa Singapura mengeluarkan waran tangkap pada April/Mei 2016 dan atas permintaan Singapura, INTERPOL mengeluarkan Notis Merah pada Oktober 2016 terhadap Low Taek Jho dan Tan Kim Loong, yang disyaki melakukan kesalahan di Singapura dan tidak dapat dikesan di sini. Kesemua anggota INTERPOL, termasuk Malaysia, maklum tentang Notis-Notis Merah itu apabila ia dikeluarkan."
Semalam (7 Jun) Menteri Ehwal Dalam Malaysia Muhyiddin Yassin meletakkan Low sebagai antara penjenayah utama yang terbabit dalam skandal tersebut. Satu waran tangkap terhadap Low kemudian dikeluarkan oleh Suruhanjaya Antirasuah Malaysia.
Pihak berkuasa Singapura selanjutnya menambah bahawa negara ini tidak akan membiarkan sistem kewangannya digunakan sebagai saluran yang membantu pengubahan wang haram.
Tindakan keras, seperti tuduhan jenayah dan sabitan bersalah serta hukuman denda kewangan yang tinggi, sudahpun dikenakan ke atas institusi kewangan dan para individu yang melanggar undang-undang Singapura, berhubung pengaliran dana yang berkaitan dengan 1MDB.
Siasatan lanjut ke atas beberapa individu lain yang disyaki terlibat dalam jenayah berhubung 1MDB di Singapura, sedang dijalankan, tambah kenyataan itu.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.