Pihak berkuasa S'pura sita 12.7 tan sisik tenggiling; rampasan kedua dalam seminggu
Lima hari selepas pihak berkuasa mencatat rekod rampasan terbesar sisik tenggiling, satu lagi kiriman haram bahan itu berjaya disita.
SINGAPURA: Lima hari selepas pihak berkuasa mencatat rekod rampasan terbesar sisik tenggiling, satu lagi kiriman haram bahan itu berjaya disita.
Rampasan kedua membabitkan sisik tenggiling itu dikesan pada Isnin (8 Apr) dalam sebuah kontena berukuran 40 kaki yang dalam perjalanan dari Nigeria ke Vietnam. Demikian menurut Lembaga Taman Negara (NParks), Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) dan Kastam Singapura dalam satu kenyataan media pada Rabu.
Kontena itu didaftarkan sebagai membawa biji kasia, tetapi apabila diperiksa, 12.7 tan sisik tenggiling yang bernilai sekitar AS$39 juta (S$52 juta) ditemui, menurut pihak berkuasa.
Sisik tenggiling itu dibungkus dalam 474 beg dan dipercayai daripada hampir 21,000 tenggiling dari dua jenis yang terancam pupus yakni 'giant ground' dan 'white-bellied tree'.
Apabila digabungkan dengan hampir 13 tan sisik tenggiling yang disita minggu lalu, jumlah keseluruhan yang disita pada 3 Apr dan 8 Apr adalah satu rekod sebanyak 25.6 tan.
Pada 2015 dan 2016, Singapura membuat dua rampasan sisik tenggiling, seberat 440 kilogram.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.