Skip to main content

Singapura

Pihak berkuasa pertimbang 'langkah lanjut' susuli 'keterangan rekaan' pelawak Sammy Obeid

Pihak berkuasa sedang mempertimbangkan "langkah-langkah lanjut" selepas pelawak Amerika, Sammy Obeid, memberikan "keterangan rekaan" mengenai rancangan persembahan yang dibatalkan di Singapura, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, pada Ahad (31 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Pihak berkuasa pertimbang 'langkah lanjut' susuli 'keterangan rekaan' pelawak Sammy Obeid

Pelawak Amerika Sammy Obeid dan petikan skrin catatan Instagaram beliau pada 27 Ogos 2025 yang mengumumkan acaranya dibatalkan. (Gambar fail: Laman Encik Sammy Obeid dan Instagram/@sammyobeid)

Diterbitkan : 01 Sep 2025 07:22AM Dikemas Kini : 01 Sep 2025 07:23AM
SINGAPURA: Pihak berkuasa sedang mempertimbangkan "langkah-langkah lanjut" selepas pelawak Amerika, Sammy Obeid, memberikan "keterangan rekaan" mengenai rancangan persembahan yang dibatalkan di Singapura, kata Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Edwin Tong, pada Ahad (31 Ogos).

Bercakap kepada media semasa melawat Pusat Masyarakat Siglap South, Encik Tong berkata beliau "mengalu-alukan peluang" untuk menjelaskan perkara sebenar.

"Encik Obeid memberikan keterangan yang sama sekali rekaan tentang apa yang berlaku antara beliau dengan Penguasa Pembangunan Media Infokom (IMDA)," kata Encik Tong.

"Kami memandang perkara ini dengan serius, dan kami sedang meneliti langkah-langkah lanjut yang mungkin perlu diambil selepas ini."

Pada Rabu, Encik Obeid mendakwa di Instagram bahawa skripnya ditolak dua kali dan beliau disuruh menghapuskan rujukan kepada konflik di Gaza, antara lain. Catatan beliau sejak itu mendapat lebih 49,000 tanda suka dan dikongsi lebih 6,000.

Beliau mendakwa skrip pertamanya ditolak selepas "berminggu-minggu" menunggu, walaupun beliau "berhati-hati" dengan hanya merujuk Palestin beberapa kali dan menyebut Israel sekali.

Menurutnya, beliau kemudian disuruh membuang semua sebutan tentang Palestin dan Israel, serta dua "seruan untuk bertindak". Beliau berkata beliau "menurut sepenuhnya" dan membuat suntingan tersebut.

Encik Obeid menambah bahawa skrip keduanya juga ditolak, dan mendakwa bahawa walaupun beliau bersedia untuk menyemak semula, beliau diberitahu bahawa masa tidak mencukupi untuk penghantaran semula.

Encik Tong berkata pada Ahad bahawa IMDA tidak meminta sebarang suntingan pada skrip dan tidak berkomunikasi dengan Encik Obeid mengenainya – satu perkara yang beliau tambah dan disahkan oleh ejen pelawak itu.

Beliau juga menolak dakwaan Encik Obeid sebagai tidak benar dan berkata beliau tidak dapat menjelaskan mengapa pelawak itu memilih untuk memberikan keterangan palsu.

Permohonan Encik Obeid ditolak kerana dihantar lewat, kata Encik Tong, mengulangi penjelasan yang dibuat oleh IMDA pada Khamis.

"Fakta adalah jelas, dan apa yang berlaku juga jelas. Peraturan menyatakan bahawa permohonan lesen perlu dihantar 40 hari kerja kepada IMDA sebelum persembahan diadakan," kata Encik Tong.

"Dalam kes ini, beliau memohon pada 15 Ogos untuk persembahan pada 31 Ogos. Itu kira-kira 30 hari lewat."

IMDA pada Khamis juga menyatakan beberapa dakwaan oleh Encik Obeid tentang pembatalan itu adalah "tidak tepat".

Ia menambah bahawa wakil tempatan acara itu – pemohon lesen yang berpengalaman – dimaklumkan melalui e-mel pada 19 Ogos bahawa permohonan yang lewat tidak dapat diproses. Ini diulangi pada 25 Ogos melalui panggilan dan secara bertulis.

"Pihak penganjur sudah memaklumkan kepada IMDA bahawa beliau tidak menyedari pelawak itu akan membuat dakwaan sedemikian dan mempunyai e-mel serta rakaman yang menunjukkan beliau berulang kali mengingatkan pelawak itu bahawa permohonan itu lewat dan tiada suntingan skrip diperlukan," kata seorang jurucakap IMDA pada Ahad.

"Beliau menambah keputusan itu berdasarkan sepenuhnya pada isu masa dan tidak dapat menghubungi beliau sejak catatannya (di media sosial)," tambah jurucakap itu.
Sumber : CNA/NK/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita