Skip to main content

Singapura

Pihak berkuasa 'amat prihatin' kes COVID-19 tersembunyi dalam masyarakat

Pihak berkuasa "amat prihatin" tentang kehadiran kes COVID-19 yang tersembunyi dalam masyarakat, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (3 Jun). 

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 03 Jun 2021 05:59PM Dikemas Kini : 04 Jun 2021 12:16AM

SINGAPURA: Pihak berkuasa "amat prihatin" tentang kehadiran kes COVID-19 yang tersembunyi dalam masyarakat, kata Menteri Kewangan Lawrence Wong pada Khamis (3 Jun). Beliau menarik perhatian penularan terbaru di MINDSville@Napiri, kemudahan bagi orang dewasa berkeperluan khas sebagai "satu peringatan yang jelas mengenai perkara ini".

Dalam satu video yang dimuat naik ke Facebook, Encik Wong berkata pasukan bertindak berbilang kementerian memantau keadaan dan sedang menimbangkan apakah langkah-langkah seterusnya yang harus diambil.

"Kami sedang berdepan dengan strain virus yang sangat berjangkit serta berupaya menular dengan lebih cepat daripada apa pernah kita hadapi sebelum ini dan menyebabkan kelompok besar tercetus dengan mudahnya," ujar beliau.

"Maka itu, kita benar-benar perlu mengambil langkah berjaga-jaga dan perlindungan dengan sangat serius."

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan pada Rabu malam bahawa 27 orang di MINDSville@Napiri diuji positif COVID-19.

Dalam video itu, Encik Wong menggesa orang ramai supaya "duduk di rumah seberapa boleh, bekerja dari rumah apabila anda boleh dan kurangkan kontak harian".

Mereka yang kurang sihat seharusnya berjumpa doktor dan mendapatkan ujian COVID-19 dengan segera, kata menteri Encik Wong. Beliau menambah Pemerintah akan terus meningkatkan ujian dan mempercepatkan program vaksinasinya.

"Apabila tiba giliran anda, sila buat tempahan untuk slot vaksinasi dan dapatkan vaksinasi anda secepat mungkin," ujarnya lagi.

"Sedang kadar vaksinasi kita terus meningkat, kami akan lebih yakin untuk membuka semula dan menyambung kegiatan dengan selamat."

Di bawah langkah-langkah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) yang berkuat kuasa sejak 16 Mei, duduk makan di cawangan makanan dan minuman (FB) tidak dibenarkan manakala perhimpunan dihadkan kepada dua orang sahaja. Bekerja dari rumah pula seharusnya pilihan tetap.

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita