Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Piawaian amalan pekerjaan yang adil jadi undang-undang di bawah Kertas Putih

Anggaran Waktu Membaca:
 Piawaian amalan pekerjaan yang adil jadi undang-undang di bawah Kertas Putih

Gambar: AFP/Roslan Rahman

Diterbitkan : 28 Mar 2022 10:07PM Dikemas Kini : 28 Mar 2022 10:11PM

SINGAPURA: Garis Panduan Tiga Pihak bagi Amalan Pekerjaan Adil harus termaktub dalam undang-undang. Demikian disyorkan Pemerintah dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura pada Isnin (28 Mac).

“Ini memberi isyarat kuat bahawa kita tidak menerima sebarang bentuk diskriminasi, termasuk terhadap wanita,” kata Menteri Negara Tenaga Manusia Gan Siow Huang.

“Sebagai contoh, sebuah syarikat yang ingin mengambil pekerja baru harus melihat pada mutu seperti pengalaman orang itu, keupayaannya untuk menjalankan tugas dan bukannya melihat sama ada orang itu lelaki atau wanita.”

Selain amalan pekerjaan yang buruk, Jawatankuasa Tiga Pihak mengenai Amalan Tempat Kerja Adil juga akan meneliti cadangan baru untuk membolehkan orang ramai melaporkan diskriminasi di tempat kerja yang mereka saksikan atau mengalami sendiri, tambahnya.

Majikan juga perlu menyediakan prosedur untuk menangani aduan atau laporan mengenai diskriminasi, menurut Kertas Putih tersebut. Mereka juga perlu melindungi pengadu dan melarang sebarang tindak balas.

Satu set garis panduan tiga pihak mengenai aturan kerja fleksibel akan disediakan menjelang 2024. Di bawah garis panduan itu, majikan harus mempertimbangkan permintaan daripada pekerja "secara adil dan betul", kata Cik Gan.

“Aturan kerja fleksibel akan menjadi kebiasaan di tempat kerja masa depan dan ini membolehkan lebih ramai wanita, terutamanya mereka yang mempunyai tanggungjawab menjaga keluarga, untuk terus bekerja atau kembali bekerja.”

Dengan menawarkan aturan sedemikian, majikan juga boleh majikan memanfaatkan kumpulan berbakat yang lebih besar seperti warga emas, tambahnya.

Pemerintah berhasrat untuk mewujudkan norma tempat kerja bagi permintaan aturan kerja yang fleksibel, sambil mengekalkan keutamaan majikan untuk menerima atau menolak permintaan berdasarkan keperluan perniagaan mereka, menurut Kertas Putih itu.

LEBIH BANYAK WANITA GALAS PERANAN KEPIMPINAN

Perwakilan saksama wanita dalam jawatan kepimpinan juga boleh membantu mengatasi stereotaip jantina sedia ada, menurut Pemerintah dalam Kertas Putih itu.

Justeru, Peraturan Penyenaraian Bursa Singapura dan Panduan Amalan bagi Kod Tadbir Urus Korporat disemak untuk meningkatkan kepelbagaian dalam anggota lembaga, termasuk kepelbagaian jantina, dalam syarikat yang tersenarai.

"Ini adalah langkah penting untuk mendapatkan komitmen syarikat yang tersenarai untuk melantik lebih ramai wanita dalam lembaga pengarah," menurut Kertas Putih itu.

Wanita di Singapura sudah mencapai "kemajuan besar" di tempat kerja, kata Cik Gan. Lebih tujuh daripada 10 wanita mempunyai pekerjaan hari ini, berbanding lima dalam 10 wanita pada tahun-tahun 1990-an.

Tenaga kerja Singapura juga ditawarkan pelbagai program dan perkhidmatan untuk membantu pencari kerja dan meningkatkan kemahiran seperti program penukaran kerjaya, katanya.

Kementerian Tenaga Kerja dan Tenaga Kerja Singapura (WSG) akan meneroka kerjasama dengan lebih banyak pertubuhan untuk melengkapi perkhidmatan ini dan mendekati golongan wanita yang ingin kembali bekerja selepas meninggalkan pasran pekerjaan buat tempoh yang lama.

"Secara keseluruhannya, kami berharap dapat memperkasakan lebih ramai wanita yang ingin kembali bekerja atau kekal bekerja untuk dapat meneruskan kerjaya mereka dan mencapai potensi mereka sepenuhnya."

Sumber : CNA/KF/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan