Piala Hyundai ASEAN: Penyokong SG ‘serbu’ OTH tonton beramai-ramai pasukan Singa lawan Thailand
Anggaran Waktu Membaca:
Sekitar 500 penyokong memenuhi OTH bagi menyokong pasukan Lions. (Gambar: Fazirah Azman)
SINGAPURA: Bahang perlawanan antara Singapura dengan Thailand bukan sahaja dirasakan di Stadium Jalan Besar, malah turut membara di Hab Tampines Kita (OTH) pada Sabtu (15 Ogos).
Sekitar 500 para penyokong Lions berkumpul di sana untuk menyaksikan aksi tersebut secara beramai-ramai sambil memberi sokongan kepada pasukan Singapura.
Ada yang datang lebih awal untuk mendapatkan tempat duduk, termasuk seorang penyokong, Nik Mansor, yang berkata beliau tiba pada sebelah siang.
"Dapat tiga tempat duduk saja. Itulah, mesti datang siang, tak boleh lambatlah," seloroh Encik Mansor.
"Saya rasa sungguh gembiralah. Tidak sabar untuk tunggu. Ramai penyokong yang datang. Kalau ingin mengatakan saya ghairah, memang ghairah," ujarnya lagi.
TIDAK DAPAT TIKET, TETAP TURUN BERI SOKONGAN
Bagi sebahagian penyokong pula, OTH menjadi pilihan selepas mereka tidak berjaya mendapatkan tiket untuk menyaksikan perlawanan di Stadium Jalan Besar.
Seorang lagi penyokong Talib Muhd Tahir, yang hadir bersama keluarganya berkata beliau sudah beratur lebih sejam untuk mendapatkan tiket.
"Saya betul-betul gembira dapat berada di sini. Tapi pada masa yang sama, saya pun sedih sebab sudah beratur lebih satu jam tetapi tak dapat tiket,” cerita Encik Talib.
"Walau macam mana pun, saya tetap gembira dapat berada di sini bersama keluarga. Sebenarnya, kami sekeluarga memang nak pergi, tapi tak dapat tiket. Jadi, kami tengok dari sini sajalah sekeluarga," tambahnya.
Beliau berharap Singapura dapat mencatatkan kemenangan 2-0 setelah menyaksikan perlawanan Singapura menentang Indonesia pada minggu sebelumnya.
"Suara masih hilang lagi ni. Jadi harap-harap di sini boleh pekik lagi sekali," kata Encik Talib.
Suasana di OTH turut dimeriahkan penyokong daripada pelbagai peringkat usia, termasuk keluarga dan kumpulan rakan, dengan ramai menyarung jersi Singapura serta pakaian berwarna merah dan putih.
Ada juga yang tiba lebih awal untuk menjamu selera atau membeli kudapan sebelum perlawanan bermula, manakala sebahagian yang lain membawa makanan sendiri.
DATANG DARI KALLANG UNTUK SOKONG SINGAPURA
Ada juga penyokong yang sanggup datang dari kawasan lain untuk menikmati suasana menonton perlawanan beramai-ramai.
Antara mereka adalah sepasang suami isteri, Johari Arwea dan Siti Sa’diah.
Mereka yang menetap di Kallang telah ke OTH untuk menunjukkan sokongan kepada Lions.
"Sebenarnya kami sangat ghairah. Saya dengan suami daripada Kallang datang sini untuk menyokong Singapura beramai-ramai di sini," kongsi Cik Sa’diah.
Beliau berharap Singapura dapat melangkah ke peringkat akhir meskipun mengakui Thailand bukan pesaing yang mudah untuk ditewaskan.
LIONS BERDEPAN THAILAND
Tumpuan kini terarah kepada prestasi Lions apabila berdepan Thailand.
Singapura mara ke separuh akhir Piala Hyundai ASEAN tanpa kalah di peringkat kumpulan, selepas mencatatkan dua kemenangan dan dua keputusan seri.
Thailand pula memenangi kesemua empat perlawanannya di peringkat kumpulan, dengan pihak lawan gagal menjaringkan sebarang gol.
Singapura belum pernah menewaskan Thailand dalam 10 pertemuan terakhir kedua-dua pasukan, dengan kemenangan terakhir Lions dicatatkan di Stadium Jalan Besar pada 2012.
Perlawanan pada Sabtu merupakan aksi pertama separuh akhir antara kedua-dua pasukan, sebelum Singapura bertandang ke Bangkok bagi perlawanan kedua pada 18 Ogos.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.