Skip to main content

Singapura

Piala Dunia buka tirai, peminat giat buru jersi

Bahang demam Piala Dunia semakin ‘membara’ dengan ramai orang di sana sini kelihatan menyarung jersi negara-negara yang sedang beraksi di Rusia.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bahang demam Piala Dunia semakin ‘membara’ dengan ramai orang di sana sini kelihatan menyarung jersi negara-negara yang sedang beraksi di Rusia.

Tambahan pula, pasukan-pasukan kegemaran mereka mempunyai dua jenis jersi – Home dan Away – maka itu para peminat yang harus membuat pilihan, rambang matalah jadinya!

Dalam edisi Piala Dunia ke-21 ini, sebanyak 32 pasukan merebut gelaran juara bagi pertandingan berprestij itu dan setiap pasukan menampilkan jersi unik lagi tersendiri.

Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi mereka? Jersi pasukan manakah yang popular dalam kalangan peminat tempatan?

Premier Football dan Weston Corporation, dua peruncit yang tidak asing dalam kalangan penggemar bola sepak di Singapura berkongsi dengan BERITAMediacorp tentang penjualan jersi Piala Dunia di sini.

JERSI PASUKAN HEBAT LARIS DIJUAL

Meskipun acara di Rusia itu hanya membuka tirainya pada minggu lalu (14 Jun), jersi-jersi sudah mula dijual sejak hujung tahun 2017 lagi.

Manakan tidak, para pelanggan sejak awal lagi sudahpun membuat permintaan dan juga tempahan bagi jersi pilihan mereka, menurut para jurujual.

“Biasanya mereka membeli seminggu dua sebelum pertandingan bermula. Tapi kali ini ramai yang membeli lebih awal untuk mengelakkan dari kehabisan stok,” kata pengurus cawangan Premier Football di Suntec City, Encik Zulfarid Mohammad Zin.

Jurujual yang berusia 34 tahun itu turut mendedahkan bahawa stok yang paling laris dijual adalah jersi pasukan Jerman.

Jersi Away pasukan Jerman.

Hal yang demikian memang sudah dijangkakan memandangkan Jerman adalah juara bertahan, menurut Encik Abdul Hamid yang sudah 20 tahun berkhidmat dengan Weston Corporation.

“Pelanggan sekarang semua tertarik dengan pasukan-pasukan besar. Mereka tidak mencari (jersi) pasukan yang lebih rendah, melainkan ada pemain negara tersebut yang disokong,” kata beliau sambil merujuk kepada pemain Mesir Mohamed Salah.

FAKTOR LAIN TURUT DIAMBIL KIRA

Namun, sesetengah pelanggan membuat pilihan bukan hanya berdasarkan kedudukan sesebuah pasukan dalam ranking FIFA tetapi juga mengambil kira faktor lain.

“Saya sudah membuat kajian di internet tentang teknologi, reka bentuk yang mana yang sesuai. Dari situlah, saya akhirnya memilih Jerman,” kata Encik Zuwairi Haron, pelanggan setia kedai di Pusat Beli-Belah Queensway itu.

Encik Muhammad Fadhli Zakaria pula memilih jersi Belgium selain Jerman disebabkan jersinya yang berlainan.

“Saya ada dua pilihan untuk jersi yang mungkin saya beli. Satu adalah jersi Jerman dan yang lagi satu adalah Belgium…terdapat perbezaan sedikit, lambang pasukan di bahagian tengah dan saya suka cara ia ditempatkan,” kata penyokong berusia 23 tahun itu.

Selain itu, menurut Encik Hamid, ada pula yang membeli jersi pasukan ‘underdog’ gara-gara dianggap eksklusif kerana hanya beberapa helai saja yang dijual di sini seperti pasukan Nigeria.

TIDAK KIRA HARGA

Yang jelas, harga jersi bukan merupakan faktor utama.

Premier Football biasanya memotong harga jersi sebanyak 30 peratus selepas sesebuah pasukan itu tersingkir atau sesudah Piala Dunia berakhir tetapi pelanggan lebih mementingkan faktor masa. Mereka mahu menyarung jersi pasukan pilihan, sedang Piala Dunia berlangsung, maka harga yang lebih mahal tidak menjadi isu.

“Sebetulnya, saya tidak kira harganya… Piala Dunia sedang berlangsung. Saya mahu ada sesuatu untuk dipakai apabila sedang menonton perlawanan, bukan hanya pakaian biasa saja,” kata Encik Marc Jarrod Lee, 20 tahun.

Malah, pelancong seperti warga Australia, Encik Linden, 24 tahun juga berpandangan serupa selain tertarik dengan pilihan jersi yang ditawarkan.

“Saya rasa di sini, terutama di kedai ini, terdapat lebih banyak pilihan berbanding di negara saya. Ia juga lebih mudah kerana saya sedang bercuti di sini dan Piala Dunia hampir menjelang,” kata beliau.

Hakikatnya, para peminat bola sepak sanggup berbelanja besar bagi meraikan temasya yang diadakan setiap empat tahun itu.

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita