Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Phoon Chiu Yoke soal balas pegawai keselamatan yang lihat rakaman dirinya tanpa pelitup muka

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Wanita yang dikenali sebagai 'badge lady' kerana melanggar undang-undang memakai pelitup sewaktu pandemik COVID-19 pada Rabu (24 Mei) menyoal balas pegawai keselamatan yang melihatnya tanpa pelitup muka.

Phoon Chiu Yoke, 55 tahun, menyoal pegawai keselamatan ION Orchard yang memberi keterangan kepada pihak pendakwaan, mengatakan beliau melihat Phoon menuruni tangga bergerak tanpa memakai pelitup muka pada 16 Ogos 2022.

Dia bertanya kepada pegawai itu bagaimana beliau tahu bahawa dia tidak makan ubat atau 'lozenge' memandangkan pegawai berkenaan mendekatinya dari belakang.

Dia juga bertanya sama ada terdapat sebarang papan tanda yang dipaparkan dalam pusat beli-belah itu yang menyuruh pengunjung memakai pelitup muka, menyebabkan pegawai itu tidak dapat berkata-kata kerana beliau berkata beliau tidak ingat.

Phoon mempertikaikan empat pertuduhan kerana gagal memakai pellitup muka di Orchard Road, di ION Orchard dan kerana gagal menghadiri siasatan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Ia tidak lagi wajib dari segi undang-undang untuk memakai pelitup muka di kebanyakan tempat namun pada waktu kesalahan Phoon, memakai pelitup muka masih diwajibkan.

PEGAWAI KESELAMATAN DISOAL

Pihak pendakwa memanggil dua pegawai keselamatan untuk disoal pada pagi Rabu, dengan kebanyakan masa dihabiskan untuk memainkan rakaman video Phoon berjalan di beberapa kawasan ION Orchard tanpa memakai pelitup muka.

Seorang pegawai memberi keterangan sewaktu beliau bertugas pada 16 Ogos 2022, beliau melihat Phoon turun dari tingkat tiga ke tingkat dua pusat itu tanpa memakai pelitup muka.

Oleh kerana memastikan pengunjung memakai pelitup muka juga merupakan tugasnya, pegawai itu dengan segara menghampiri Phoon.

"Saya kenal dia dari media sosial, Facebook dan juga dari suratkhabar," kata pegawai itu sewaktu ditanya pendakwa sama ada beliau pernah melihat Phoon.

Beliau berkata apabila beliau memberitahu Phoon supaya memakai pelitup muka, Phoon hanya "berpaling tanpa memberi sebarang respons". Beliau kemudian memaklumkan pusat operasinya.

Selepas itu, beliau melihat Phoon meletakkan apa yang kelihatan seperti gelung di telinganya.

PHOON MENYOAL PEGAWAI

Phoon, yang kelihatan biasa dengan prosedur mahkamah selepas beberapa kali tampil, meminta pihak pendakwaan supaya memainkan semula beberapa rakaman.

"Saksi, saya ingin tahu apa sebenarnya yang anda beritahu saya semasa anda menghampiri saya," katanya kepada pegawai keselamatan.

"Bolehkah anda memakai pelitup muka anda," jawab pegawai itu.

"Saya ingin tahu - adakah terdapat papan tanda di ION Orchard yang memaklumkan kepada semua pengunjung supaya memakai pelitup muka?" tanya Phoon.

"Pada masa itu terdapat protokol pemerintah-"

"Soalan saya ialah - adakah terdapat papan tanda di ION Orchard yang saya perlu memakai pelitup muka?" tanya Phoon.

Pegawai itu berkata beliau tidak ingat.

"Soalan kedua saya ialah - adakah saya makan, minum atau makan ubat?" dia bertanya. Pegawai itu berkata tidak.

"Awak mendekati saya dari belakang. Bagaimana awak tahu saya tidak makan ubat atau mengunyah sesuatu dalam mulut saya?" tanya Phoon.

"Kerana anda melihat saya dan saya tidak melihat anda makan apa-apa," kata pegawai itu.

Phoon menunjukkan garis masa pada rakaman videonya di pusat membeli-belah tersebut.

"Pada 12:02:30 anda mendekati saya. Pada 12:03:09, saya memakai pelitup muka, jadi antara 12:02:30 dan 12:03:09, ia adalah kira-kira 39 saat, jadi bagi anda ia adalah penting bahawa jika pengunjung tidak memakai pelitup muka selama 39 saat itu adalah satu kesalahan besar dan oleh itu saya perlu meninggalkan ION Orchard?" soal Phoon.

Dia mendakwa sudah memakai pelitup selepas 39 saat.

"Ya kami perlu menasihati anda, dan menolak kemasukan anda," kata pegawai itu. Jelasnya, tugasnya memerlukan beliau menasihati pengunjung terlebih dahulu, kemudian menasihati kali kedua sebelum tidak membenarkan mereka masuk.

Phoon turut menyoal pegawai keselamatan kedua di ION Orchard yang mengeluarkan rakaman CCTV untuk pegawai penyiasat.

Dia bertanya kepada pegawai itu bagaimana beliau tahu rakaman itu tidak disunting kerana beliau tidak melindungi rakaman itu. Dia bertanya sama ada pegawai itu sudah membandingkan rakaman yang dimuat turun "saat demi saat" dengan rakaman asal.

Dia juga mencabar beberapa klip, sambil mengatakan ia menunjukkan dirinya dari belakang dan tidak jelas bahawa itu adalah dirinya.

Perbicaraan masih diteruskan.

Jika sabit kesalahan gagal memakai pelitup muka apabila diperlukan, Phoon boleh dipenjara sehingga setahun, didenda sehingga S$20,000 atau kedua-duanya sebagai pesalah berulang. Denda adalah sama bagi kesalahan berulang kerana tidak mematuhi arahan pegawai semasa siasatan di bawah Akta Penyakit Berjangkit.

Phoon dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada September 2021 atas satu kesalahan berasingan berkaitan pelitup muka, selepas dikenali disebabkan penampilannya di mahkamah.
Sumber : CNA/HY/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan