Skip to main content

Singapura

Phoon Chiu Yoke didakwa sekali lagi tidak pakai pelitup, tuduh pendakwa 'pendendam'

Anggaran Waktu Membaca:
Phoon Chiu Yoke didakwa sekali lagi tidak pakai pelitup, tuduh pendakwa 'pendendam'

Gambar: Nuria Ling/TODAY

Diterbitkan : 11 Aug 2023 04:38PM Dikemas Kini : 12 Aug 2023 12:13AM
SINGAPURA: Wanita yang menjadi terkenal semasa pandemik COVID-19 kerana enggan memakai pelitup disabit kesalahan sekali lagi termasuk tidka memakai pelitup di Orchard Road.

Phoon Chiu Yoke, 55 tahun, didapati bersalah atas empat tuduhan pada Jumaat (11 Ogos) kerana gagal memakai pelitup dan menghadirkan diri bagi siasatan oleh Lembaga Pelancongan Singapura (STB), selepas hakim mendapati pendakwa telah membuktikan kesnya.
 
Ini adalah kali kedua Phoon didapati bersalah kerana tidak memakai pelitup. Dia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 16 minggu pada September 2021 dalah satu kes berasingan.
 
Ketika menyampaikan hujah penutupnya, Phoon mempersoalkan kesahihan dirinya didakwa.

"Masihkah ada keperluan untuk memakai pelitup hari ini? Tidak," katanya.

Phoon berkata mahkamah sudah meluangkan 12 hari mendengar kes tersebut walhal pelitup tidak lagi diwajibkan di bawah undang-undang.

Dia kemudian mempersoalkan atas dasar apa dia didakwa.

"Soalan saya ialah - apakah tujuan dan motif pendakwa mengemukakan perkara ini ke mahkamah dan menghabiskan masa 12 hari? Ia kelihatan seperti satu tindakan dendam," kata Phoon yang mewakili dirinya sendiri sepanjang perbicaraan tersebut.
Mengenai tuduhan gagal menghadirkan diri bagi siasatan STB, Phoon berkata dia adalah warganegara yang tinggal di Singapura selama lebih 50 tahun.

"Sesiapa sahaja pasti tahu bahawa STB tidak mempunyai kuasa penguatkuasaan," dakwanya. "Mereka tidak mempunyai kuasa sepina. Mereka tidak mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana warganegara untuk hadir di pejabat mereka untuk disoal siasat melainkan saya sedang menemu duga untuk pekerjaan."

Menurutnya dia telah membuat laporan polis kerana merasakan pegawai STB adalah penyamar dan dia perlu mempertahankan diri dan memaklumkan kepada polis.

Phoon juga mendakwa pegawai penyiasat telah melakukan penghinaan terhadap mahkamah dengan mengekalkan pasportnya "tanpa sebab".

Mengenai keadaan sekarang yang tidak memerlukan pelitup dipakai, pihak pendakwa berkata ia merupakan kesalahan ketika Phoon tidak memakai pelitup.

Hakim Tan menolak hujah Phoon di mana dia mendakwa dirinya tidak sepatutnya didakwa, kerana pelitup tidak lagi diwajibkan dipakai di khalayak awam.

Hakim menangguhkan penetapann hukuman kepada September.

Sebagai pesalah berulang, Phoon boleh dihukum penjara sehingga setahun, didenda tidak lebih S$20,000, atau kedua-duanya sekali kerana tidak memakai pelitup ketika ia diwajibkan.
 
Sumber : Today/AE/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita