Skip to main content

Singapura

Philip Yeo lepas jawatan sebagai pengarah CDL pada akhir Julai

Encik Philip Yeo akan bersara daripada jawatannnya sebagai pengarah di City Developments Limited (CDL) pada 31 Julai, menurut pemfailan bursa syarikat itu pada Selasa (15 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Philip Yeo lepas jawatan sebagai pengarah CDL pada akhir Julai

Encik Philip Yeo akan melepaskan jawatannya sebagai pengarah di City Developments Limited (CDL) pada 31 Julai 2025. (Gambar fail: CDL, AFP/Roslan Rahman)

SINGAPURA: Encik Philip Yeo akan bersara daripada jawatannnya sebagai pengarah di City Developments Limited (CDL) pada 31 Julai, menurut pemfailan bursa syarikat itu pada Selasa (15 Jul).

Encik Yeo, 78 tahun, sudah berkhidmat dalam lembaga pengarah CDL, salah satu syarikat hartanah terbesar di Singapura, selama 16 tahun. Beliau merupakan pengarah bukan bebas bukan eksekutif di syarikat tersebut.

Berdasarkan pemfailan CDL, tiada perbezaan pendapat yang belum diselesaikan antara Encik Yeo dan lembaga pengarah CDL berhubung perkara-perkara penting.

Notis persaraan Encik Yeo dibuat beberapa bulan selepas pertikaian lembaga pengarah serta tindakan undang-undang antara pengerusi eksekutif CDL, Encik Kwek Leng Beng, dan anak beliau, Sherman Kwek, yang merupakan ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat tersebut.

Pada Februari, Encik Kwek Leng Beng menuduh anaknya cuba melancarkan "rampasan kuasa" dalam lembaga pengarah dan memfailkan saman terhadapnya atas dakwaan pelanggaran tadbir urus, selepas Encik Sherman Kwek cuba melantik pengarah bebas baharu tanpa kelulusan penuh lembaga syarikat tersebut.

Encik Yeo mengambil pihak Encik Kwek Leng Beng dalam pertikaian itu dan secara terbuka mengkritik Encik Sherman Kwek selepas beliau menamakan Dr Catherine Wu, kenalan rapat ayahnya,. sebagai punca perselisihan tersebut.

Bagaimanapun, Encik Kwek Leng Beng kemudian menarik balik saman terhadap anaknya dua minggu selepas memfailkannya, dengan menyatakan bahawa semua ahli lembaga bersetuju untuk "mengetepikan perbezaan" demi "kepentingan lebih besar" CDL dan pihak berkepentingannya.

Namun, semasa mesyuarat agung tahunan CDL pada April lalu, Encik Yeo menyatakan bahawa beliau "amat kecewa" dengan tindakan beberapa ahli lembaga yang tetap meneruskan pelantikan pengarah baharu awal tahun ini, dan menyifatkan tindakan mereka sebagai "amat tidak wajar", menurut laporan Bloomberg.

Saham CDL ditutup rendah 0.2 peratus pada S$5.57 sebelum pengumuman tersebut dibuat.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita