Philip Jeyaretnam dilantik pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi
Beliau diterima jadi peguam pada 1988 dan menjadi peguam kanan pada 2003 pada usia 38 tahun iaitu antara peguam termuda untuk menerima pelantikan berkenaan.
Encik Philip Jeyaretnam dilantik pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi. (Gambar: Philip Jeyaretnam)
SINGAPURA: Encik Philip Jeyaretnam dilantik sebagai pesuruhjaya kehakiman Mahkamah Tinggi, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) hari ini (7 Dis) dengan penggal tugasnya bagi tempoh satu tahun bermula 4 Januari tahun depan.
Encik Jeyaretnam dilantik oleh Presiden Halimah Yacob atas nasihat Perdana Menteri Lee Hsien Loong.
"Pelibatan Encik Jeyaretnam dalam bidang timbang tara dan litigasi tertumpu kepada undang-undang komersil dan binaan," tambah PMO dalam satu kenyataan media.
"Beliau dikenali ramai sebagai pakar dalam bidang timbang tara, undang-undang binaan dan litigasi dalam semua penerbitan guaman utama."
Menurut laman Mahkamah Tinggi, seorang pesuruhjaya kehakiman "dilantik untuk memudahkan pelaksanaan urusan dalam Mahkamah Tinggi" dan "mempunyai kuasa seorang Hakim".
Pesuruhjaya kehakiman dilantik bagi tempoh yang ditetapkan presiden.
Encik Jeyaretnam mengikuti pengajian undang-undang di Universiti Cambridge dan tamat pengajiannya dengan kepujian kelas pertama pada 1986.
Beliau diterima jadi peguam pada 1988 dan menjadi peguam kanan pada 2003 pada usia 38 tahun iaitu antara peguam termuda untuk menerima pelantikan berkenaan.
Encik Jeyaretnam adalah anak kepada tokoh politik pembangkang mendiang Encik Joshua Benjamin Jeyaretnam dan adik kepada Setiausaha Agung Parti Reform Encik Kenneth Jeyaretnam. Beliau juga pernah menulis beberapa buku.
Dengan pelantikan Encik Jeyaretnam itu, Mahkamah Tinggi kini mempunyai 25 hakim termasuk hakim besar dan empat hakim rayuan, enam pesuruhjaya kehakiman, empat hakim kanan dan 17 hakim antarabangsa.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.