Skip to main content

Singapura

Petugas pusat panggilan M'sia dipenjara; serahkan butiran pelanggan Singtel kepada pihak ketiga

Seorang ketua pasukan di sebuah pusat panggilan di Malaysia yang mengendalikan bantuan teknikal bagi pelanggan Singtel, membantu seorang bekas rakan kerja mendapatkan maklumat dari lebih 1,000 akaun perniagaan milik syarikat pemiutang berlesen.

Anggaran Waktu Membaca:
Petugas pusat panggilan M'sia dipenjara; serahkan butiran pelanggan Singtel kepada pihak ketiga

(Gambar: Reuters)

Diterbitkan : 18 Mar 2021 08:42PM Dikemas Kini : 18 Mar 2021 08:43PM

SINGAPURA: Seorang ketua pasukan di sebuah pusat panggilan di Malaysia yang mengendalikan bantuan teknikal bagi pelanggan Singtel, membantu seorang bekas rakan kerja mendapatkan maklumat dari lebih 1,000 akaun perniagaan milik syarikat pemiutang berlesen.

Maklumat itu yang termasuk bil, nama syarikat dan nombor telefon, kemudian digunakan oleh penjual data untuk menjalankan kegiatan tailong.

Warga Syria Mohamad Maher Muhaffel, 32 tahun, dijatuhi hukuman penjara selama 12 minggu pada Khamis (18 Mac) setelah mengaku bersalah atas empat tuduhan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer. 12 lagi tuduhan diambil kira dalam menentukan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Maher mula bekerja sebagai pegawai penjagaan pelanggan pada 2013 bagi syarikat bantuan teknikal Sudong, anak syarikat Singtel yang terletak di Pusat Panggilan Klang di Selangor, Malaysia.

Dia menjadi ketua pasukan pada 2015, dengan 16 pegawai penjagaan pelanggan di bawah pimpinannya. Dia juga mempunyai akses kepada sistem IT syarikat. Ini termasuk sistem arkib bil yang mengandungi butiran bil pelanggan Singtel.

Maher bekerja dengan tertuduh bersama Adnan Ahmed Siddiqui, warga Pakistan berusia 32 tahun, sehingga sekitar Julai 2018 apabila Adnan meninggalkan syarikat itu.

Pada sekitar Disember 2017, Adnan memberitahu Maher bahawa dia telah mendapatkan bil pelanggan dan menyerahkannya kepada pihak ketiga bagi tujuan penjualan mereka dan meminta Maher supaya membantu meneruskan perbuatannya itu.

Maher bersetuju dan terus berhubungan dengan Adnan meskipun setelah dia meninggalkan syarikat itu. Adnan akan menyerahkan nama syarikat, nombor akaun Singtel dan nombor telefon talian tetap kepada Maher menerusi Facebook, WhatsApp atau emel dan Maher akan mendapatkan maklumat bil pelanggan yang diminta Adnan.

Adnan kemudian akan menyerahkan maklumat itu kepada pihak ketiga, dan menerima bayaran RM1,000 (S$326) hingga RM1,200 (S$391) setiap bulan menerusi kiriman Western Union.

Pada November 2018, polis menerima maklumat bahawa sekumpulan penjual data telah menjual butiran kenyataan panggilan meliputi talian tetap dan telefon bimbit milik syarikat pemiutang berlesen kepada tailong.

Siasatan mendedahkan bahawa butiran panggilan itu berasal dari Singtel dan diedarkan serta digunakan oleh penjual data untuk menjalankan perniagaan tailong. Maher dan Adnan dikenal pasti sebagai suspek.

Polis Malaysia memberkas Maher pada Julai 2019 dan menyerahkannya kepada Singapura setelah satu waran tangkapan dikeluarkan terhadapnya.

Bagi setiap tuduhan akses komputer tanpa izin, dia boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun, didenda sehingga S$5,000, atau kedua-duanya sekali.

Adnan dikenakan hukuman penjara selama dua bulan dan 14 minggu pada Ogos tahun lalu.

Singtel sebelum ini memberitahu Mediacorp bahawa ia memberi kerjasama dalam siasatan pihak berkuasa dan tiada data peribadi lain yang terjejas sejauh mana yang mereka ketahui.

"Sebaik sahaja kami dimaklumkan akan hal ini... kami segera mengambil tindakan untuk menyekat akses kepada data pelanggan dan memperketatkan langkah keselamatan.

"Kami juga memaklumkannya kepada semua pelanggan perusahaan yang terjejas," kata seorang jurucakap. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita