Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Petugas jagaan kesihatan awam bakal terima wang tunai hingga S$4,000 atas usaha lawan COVID-19

Para petugas jagaan kesihatan awam akan menerima anugerah wang tunai sehingga S$4,000 bagi mengiktiraf usaha mereka memerangi COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 05 Nov 2021 08:24PM Dikemas Kini : 05 Nov 2021 09:56PM

SINGAPURA: Para petugas jagaan kesihatan awam akan menerima anugerah wang tunai sehingga S$4,000 bagi mengiktiraf usaha mereka memerangi COVID-19.

Demikian diumumkan oleh Menteri Kesihatan Ong Ye Kung hari ini (5 Nov).

Anugerah itu juga akan dilanjutkan kepada pertubuhan-pertubuhan jagaan masyarakat yang menyediakan khidmat barisan hadapan seperti di rumah jagaan dan pusat dialisis.

Kemudahan-kemudahan sedemikian "meluaskan kapasiti mereka dan bekerja tanpa mengenal erti penat demi memastikan warga emas yang mudah dijangkiti tidak sampai dimasukkan ke hospital sekali gus mengosongkan katil-katil hospital," menurut Kementerian Kesihatan (MOH) dalam satu kenyataan media.

"Pertubuhan-pertubuhan ini penting dalam perang kita melawan COVID-19, selain institusi-institusi jagaan kesihatan awam," tambah kenyataan itu lagi.

Sekitar 100,000 kakitangan daripada pertubuhan-pertubuhan jagaan kesihatan yang layak akan menerima anugerah itu.

"Ia sebagai pengiktirafan kepada sumbangan dan dedikasi kakitangan khidmat jagaan kesihatan sepanjang perang (COVID-19) ini," menurut MOH.

Kementerian itu juga menyatakan ia akan melanjutkan geran S$10,000 kepada setiap Klinik Kesediaan Kesihatan Awam (PHPC) demi mengikiraf sumbangannya dalam usaha memerangi COVID-19.

Bercakap di Anugerah Kecemerlangan Perubatan Nasional hari ini, Encik Ong berkata anugerah wang tunai itu "tidak mencerminkan sepenuhnya sumbangan para petugas jagaan kesihatan kita, bahkan ia juga bukan perangsang utama seorang pekerja jagaan kesihatan".

"Namun, ia adalah perkara yang sewajarnya dilakukan oleh MOH untuk mengiktiraf sumbangan anda sepanjang tahun yang amat luar biasa ini," kata beliau.

Para petugas jagaan kesihatan awam akan menerima anugerah itu pada Disember manakala Klinik-klinik Kesediaan Jagaan Awam dan kakitangan jagaan masyarakat yang layak akan menerima wang tunai itu pada suku pertama 2022.

"Sistem jagaan kesihatan dan kakitangan jagaan kesihatan berdepan tekanan besar selepas 20 bulan memerangi pandemik COVID-19," tambah MOH.

"Meskipun berdepan gelombang penularan adalah proses yang diperlukan untuk hidup bersama COVID-19, jumlah kes tinggi menyebabkan permintaan tinggi bagi khidmat jagaan kesihatan dan beban kerja amat tinggi di hospital-hospital awam, termasuk unit jagaan rapi dan jabatan kecemasan," menurut MOH lagi.

"Sedang pelbagai sektor menyambung semula operasi penuh dan dengan masyarakat kembali melakukan kegiatan-kegiatan secara bertahap-tahap, sektor jagaan kesihatan terus berdepan dengan tekanan berat sebagai benteng pertahanan pertama." 

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan