Petisyen dilancar usul Dr Faishal kembali berkhidmat
Petisyen yang merayu agar peletakan jawatan Dr Faishal Ibrahim ditolak untuk mengekalkan beliau dalam jawatan politik. (Gambar: Petikan skrin laman Petitions.com)
Ini menyusuli peletakan jawatan Dr Faishal pada awal hari itu berikutan pendedahan mengenai interaksi online beliau dengan seorang wanita.
Dalam kenyataan Perdana Menteri Lawrence Wong pada Isnin (20 Jul), beliau berkata bahawa mantan AP itu "mengakui bahawa tingkah lakunya tidak memenuhi piawai integriti" yang diharapkan daripada seorang pemegang jawatan politik dan Anggota Parlimen (AP).
Setakat pukul 12.25 tengah hari Selasa (21 Jul), lebih 200 individu sudah menandatangani bagi menyokong usulan petisyen tersebut.
Dalam petisyen itu, individu yang menubuhkannya, Pengarah We Groom Leaders Encik Ridjal Noor menulis bahawa beliau berharap "pemerintah akan mengekalkan beliau (Dr Faishal) dalam jawatan menteri serta sebagai Anggota Parlimen, agar beliau dapat terus berkhidmat kepada rakyat Singapura".
Petisyen berkenaan juga menyifatkan sumbangan Dr Faishal sebagai "amat penting kerana Singapura memerlukan pemimpin berpengalaman, berwibawa dan memahami realiti yang dihadapi rakyat, serta mampu terus berkhidmat tanpa gangguan".
Petisyen seumpama ini mungkin belum pernah dilancarkan sejauh ini.
Dalam petisyen itu, ia juga menyatakan kesan peletakan jawatan tersebut "bukan sekadar menjejas kesinambungan politik, malah turut mengakibatkan kehilangan hubungan, pengalaman dan usaha berterusan yang menjadi sandaran penduduk".
"Ramai rakyat Singapura melihat Prof Madya Faishal Ibrahim sebagai seorang pemimpin yang baik, yang telah menunjukkan komitmen, mudah didampingi dan mengambil pendekatan serius terhadap khidmat awam.
"Dalam keadaan rakyat menginginkan kestabilan, kepercayaan dan kepimpinan yang jelas, kehilangan seseorang yang telah membina kepercayaan itu dan masih mampu menyumbang akan menjadi satu kerugian besar," kata Encik Ridjal dalam petisyen tersebut.
Petisyen berkenaan sekali gus merayu agar peletakan jawatan Dr Faishal ditolak untuk mengekalkan beliau dalam jawatan politik bagi "mencerminkan penghargaan terhadap khidmat awam, keyakinan terhadap kepimpinan yang telah terbukti, serta komitmen untuk mengekalkan menteri yang berwibawa agar mereka dapat terus menyumbang kepada negara".
MAKLUM BALAS PENANDATANGAN PETISYEN
Seorang individu yang menandatangani petisyen itu, Encik Syukri Azman berkata beliau "sejujurnya tidak tahu" sama ada petisyen itu akan mengubah keadaan.
Namun, saya "tidak percaya penghargaan hanya wajar diberikan selepas seseorang itu tiada lagi (dalam perkhidmatan politik).
"Dua puluh tahun berkhidmat kepada negara wajar dihargai, dan saya percaya ramai antara kita mengiktiraf segala usaha yang telah dicurahkan oleh Dr Faishal untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Seorang lagi penandatangan petisyen, Khairul Rizqi menyifatkan peletakan jawatan Dr Faishal sebagai "kehilangan besar" kepada masyarakat.
"Saya menandatangani petisyen ini kerana saya percaya beliau merupakan seorang menteri yang baik. Semua orang melakukan kesilapan, namun pada pandangan saya, kesilapan ini bukanlah sesuatu yang sehingga memerlukan beliau disingkirkan daripada jawatan.
"Pada ketika ramai ahli politik pernah tersilap dalam kata-kata atau cara mereka berkomunikasi, kes beliau yang telah disiasat dan didapati tidak melakukan sebarang kesalahan jenayah menunjukkan beliau sepatutnya diberi peluang untuk terus berkhidmat sebagai menteri.
"Namun, kehilangan seorang lagi menteri yang baik akibat satu insiden terpencil seperti ini merupakan satu kerugian besar kepada masyarakat," kata beliau.
Seorang penandatangan dari luar negara, Mazimran Yusoff, juga berkata bahawa beliau "tidak pernah melihat seorang menteri yang meletak jawatan menerima begitu banyak penghargaan".
JASA BAKTI DR FAISHAL DIKENANG
Secara berasingan, sumbangan dan jasa bakti Dr Faishal kepada rakyat Singapura dan masyarakat Melayu/Islam dikenang tokoh-tokoh seperti mantan presiden Puan Halimah Yacob.
Dalam catatannya di laman Facebook, Puan Halimah menyifatkan Dr Faishal sebagai seorang "yang rendah diri, mesra dan rajin bekerja, serta sentiasa turun padang".
"Sepanjang setahun lalu, sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, beliau bekerja keras untuk mendekati masyarakat Melayu/Islam dan, terus terang, beliau berada di merata tempat dalam usahanya untuk bertemu sendiri dengan masyarakat, meyakinkan mereka bahawa beliau mendengar pandangan mereka dan sedang berusaha menangani kebimbangan yang dibangkitkan.
Sehubungan itu, pensyarah di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) Walid Abdullah, yang menulis dalam catatannya di laman Facebook, juga menggambarkan Dr Faishal sebagai seseorang yang mempunyai "sifat baik hati dan rendah diri".
Beliau juga berkata Dr Faishal memikul tanggungjawab sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam ketika "hubungan antara pemerintah dengan masyarakat berada dalam keadaan sukar".
Prof Walid berkata sepanjang kira-kira setahun lalu, Dr Faishal turut "berusaha mendekati seramai mungkin pihak".
"Saya sendiri beberapa kali berdepan pertukaran pandangan yang tegang dengannya, namun beliau sentiasa bersikap terbuka untuk mendengar, walaupun kata-kata saya mungkin tidak begitu baik.
"Apabila keadaan kembali reda, saya berharap orang ramai akan mengenang dua dekad khidmat awam beliau, dan bagaimana tempoh setahun beliau sebagai menteri memainkan peranan penting dalam memulihkan sebahagian daripada kepercayaan yang telah hilang"," kata Prof Walid.
Berkongsi sentimen serupa, aktivis sosial Rahayu Mohamad berkongsi dalam catatannya di Facebook bahawa masyarakat "sememangnya mengharapkan standard integriti yang tinggi daripada mereka yang memegang jawatan awam".
Namun beliau memberi pandangan bahawa "kita juga harus bertanya sama ada terdapat cara yang adil dan seimbang untuk membezakan antara perbuatan jenayah, penyalahgunaan kuasa, pelanggaran etika dan kelemahan peribadi.
Awal dari itu, Encik Zaqy Mohamad yang akan mengambil alih peranan sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam akur bahawa
"ramai dalam kalangan masyarakat Islam berasa kecewa dan sedih" selepas Dr Faishal berundur daripada arena politik.
Namun, beliau berkata dalam sidang media pada Isnin (20 Jul) bahawa beliau mahu meyakinkan masyarakat bahawa beliau "akan terus mendampingi mereka dan memahami dengan lebih baik keperluan masyarakat Islam.”
Pada masa yang sama, Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) Desmond Lee juga mendedahkan pada Isnin bahawa tiada pilihan raya kecil akan diadakan di GRC Marine Parade-Braddell Heights walaupun Dr Faishal sudah meletak jawatan.
Menurut beliau, bagi kawasan undi Kembangan yang pernah diselia oleh Dr Faishal, pihak parti akan membuat aturan tambahan untuk memperkukuh pasukan di sana.
LAPORAN BERKAITAN:
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.