Skip to main content

Singapura

Petinju SG Sham Rahman diminta beri keterangan polis kerana sandang bendera Palestin dalam gelanggang tinju

Anggaran Waktu Membaca:
Petinju SG Sham Rahman diminta beri keterangan polis kerana sandang bendera Palestin dalam gelanggang tinju

Petinju, Sham Rahman, diminta beri keterangan polis kerana sandang bendera Palestin dalam gelanggang tinju. (Gambar: @shamrahman7/Instagram)

SINGAPURA: Seorang petinju Singapura yang dikenali sebagai Sham Rahman, mendakwa dirinya diminta memberikan keterangan di Balai Polis Bedok gara-gara menyandang bendera Palestin dalam satu pertarungan tinju pada Sabtu (28 Okt).

Insiden ini dikongsi Encik Sham menerusi satu video yang dimuat naik ke Instagram pada Isnin (30 Okt).

"Saya baru saja keluar dari Balai Polis Bedok untuk memberikan keterangan mengenai (apa yang berlaku) pada 28 Oktober. Saya menyandang bendera Palestin semasa (acara) 'walkout' pertarungan tinju," cerita Encik Sham dalam video tersebut.

Termaktub dalam Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949 Singapura bahawa tiada individu boleh mempamerkan sebarang lambang negara lain di tempat awam mahupun di mana-mana sekolah.

Ada beberapa pengecualian tetapi apa yang dilakukan Encik Sham boleh dianggap sebagai satu kesalahan.

Jika seseorang didapati bersalah, dia boleh didenda sehingga S$500 dan/atau dipenjara sehingga enam bulan.
Sungguhpun demikian, Encik Sham tidak dikenakan sebarang tindakan penguatkuasaan sejauh ini.

"Tidak ada apa-apa yang serius kerana saya tidak menghasut kebencian atau pengganasan mahupun sebarang tindakan keganasan," ujarnya sambil menambah bahawa tujuan beliau berkongsi pengalamannya adalah sekadar untuk "mendidik orang ramai", selain "tidak mahu ada orang lain ikut apa yang telah saya lakukan".

"Saya ingin anda tahu bahawa ia satu kesalahan untuk memperagakan bendera negara lain di Singapura, dan juga kerana situasi (konflik Israel-Hamas) yang sedang berlaku sekarang ini sangat tegang," terang Encik Sham.

Encik Sham, yang juga merupakan seorang usahawan, juga percaya bahawa beliau diminta ke balai polis kerana tindakannya boleh membangkitkan rasa marah sesetengah pihak.

"Mereka (polis) hanya sangat prihatin, tindakan sebegini boleh membangkitkan rasa marah dan benci, di mana ada yang mungkin akan mula membantah atau pergi ke luar kedutaan mana-mana negara, untuk mengadakan bantahan," jelasnya.

"Pemerintah Singapura nampaknya sangat prihatin soal keselamatan dan keharmonian Singapura. Mereka mahu memastikan semuanya aman."

Intinya, tambah Encik Sham, rakyat Singapura bebas untuk meningkatkan kesedaran tentang apa yang sedang berlaku di Timur Tengah dan meminta orang ramai untuk menghulurkan sumbangan.

Namun mengibarkan bendera negara lain tetap satu kesalahan.

"Ya, tentunya niat kita adalah untuk menunjukkan perpaduan tetapi kita berada di Singapura. Ada undang-undang di sini dan kita harus mematuhinya," ulas Encik Sham lagi.
Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita