Peti surat dirosakkan: 5 remaja ditangkap berhubung kes curi di Choa Chu Kang
Lima remaja lelaki - kesemuanya berusia 18 tahun - ditangkap polis kerana disyaki terbabit dalam kes curi di Chua Chu Kang di mana peti surat di enam blok HDB dibuka secara paksa pada Jumaat (11 Sep).

(Gambar: SingPost, TODAY)
SINGAPURA: Lima remaja lelaki - kesemuanya berusia 18 tahun - ditangkap polis kerana disyaki terbabit dalam kes curi di Chua Chu Kang di mana peti surat di enam blok HDB dibuka secara paksa pada Jumaat (11 Sep).
Dalam kenyataan media yang dikeluarkan semalam, polis menyatakan bahawa pegawai dari Divisyen Polis Jurong sedang melakukan rondaan dekat Choa Chu Kang North 5 pada sekitar 3.00 pagi apabila mereka menemui lima budak lelaki itu "berkelakuan mencurigakan" di kolong Blok 707 Choa Chua Kang Street 53.
"Semasa pemeriksaan, para pegawai menemui sejumlah bungkusan dipercayai dicuri dari kotak surat, yang ada bersama mereka," menurut polis.
Kumpulan remaja tersebut dipercayai merosakkan enam set peti surat di sekitar Choa Chu Kang North 5 dan Choa Chu Kang Street 53.
Kelima-lima mereka kemudian ditangkap kerana mencuri dengan niat sama, kata polis. Siasatan sedang dijalankan.
Pada Jumaat petang, Singapore Post (SingPost) mengeluarkan kenyataan media yang menyatakan bahawa pintu utama enam set peti surat telah dibuka secara paksa. Ia terletak di Blok 706, 707 dan 708 di Choa Chu Kang Street 53 dan Blok 756, 757 dan 758 di Choa Chu Kang North 5.
Posmen perlu membuka pintu utama untuk memasukkan surat ke dalam setiap peti surat. Mekanisme kunci didapati telah diusik atau dirosakkan tetapi kemudian diperbaiki pada 7.00 pagi, selepas pegawai majlis bandaran melaporkan kejadian pada 5.30 pagi.
SingPost menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan polis berkenaan kes tersebut dan penduduk yang mengesyaki bahawa surat mereka telah diambil boleh menghubungi Pusat Polis Kejiranan NPC Choa Chu Kang di 1800 765 9999.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai perkara tersebut juga patut menghubungi polis.
Sekiranya didapati bersalah mencuri, remaja-remaja itu boleh dipenjara hingga tiga tahun atau didenda, atau kedua-duanya.
Bagi kesalahan merosakkan harta benda awam, mereka boleh dipenjara hingga tiga tahun dan didenda sehingga S$2,000.
Bagi kesalahan berulang merosakkan harta benda awam, mereka boleh dikenakan tiga hingga lapan kali sebatan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.