Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peti surat 'bijak' diluaskan kepada penduduk lebih muda di blok Punggol

Tidak lama lagi, para penduduk daripada hampir 100 isi rumah di sebuah blok perumahan Punggol tidak memerlukan kunci mereka untuk mengeluarkan surat. Ini dibolehkan dengan pelancaran "peti surat bijak" di sana yang direka bentuk untuk memodenkan penghantaran surat termasuk bungkusan e-dagang.

Anggaran Waktu Membaca:
Peti surat 'bijak' diluaskan kepada penduduk lebih muda di blok Punggol

Cara mengirim surat menggunakan peti surat 'bijak' di Punggol. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Diterbitkan : 16 Jul 2021 05:58PM Dikemas Kini : 16 Jul 2021 06:03PM

SINGAPURA: Tidak lama lagi, para penduduk daripada hampir 100 isi rumah di sebuah blok perumahan Punggol tidak memerlukan kunci mereka untuk mengeluarkan surat. Ini dibolehkan dengan pelancaran "peti surat bijak" di sana yang direka bentuk untuk memodenkan penghantaran surat termasuk bungkusan e-dagang.

Singapore Post (SingPost) hari ini (16 Jul) mengumumkan bahawa peti surat yang dikenali sebagai PostPal itu akan disediakan di Blok 226B Sumang Lane mulai 26 Julai. Ia menyusuli ujian satu tahun yang dirintiskan di Blok 202 dan Blok 205 Clementi bermula dari Disember lalu.

Sebaik sahaja penduduk mendaftar bagi sistem baru itu, mereka boleh menggunakan aplikasi mudah alih SingPost untuk menerima makluman apabila surat atau bungkusan dihantarkan ke peti surat mereka. Makluman itu juga akan menyatakan jumlah barang yang diterima.

Penduduk kemudian boleh mengambil surat atau bungkusan mereka dengan mengimbas kod QR unik yang dihasilkan daripada aplikasi SingPost di tapak kiosk PostPal.

Peti surat 'bijak' di Punggol. (Gambar: Nuria Ling/TODAY)

Kiosk PostPal akan dilengkapi dengan mesen penguraian automatik yang boleh mengatur dan menyimpan surat atau bungkusan bagi setiap unit rumah individu. Langkah itu mengurangkan beban ke atas posmen untuk memasukkan surat satu persatu ke dalam peti surat mengikut cara tradisional.

Mulai hari ini, penduduk di blok berkenaan akan menerima risalah dalam peti surat mereka yang memberikan panduan langkah demi langkah tentang cara untuk mendaftar bagi PostPal serta bagaimana menggunakannya. Risalah itu juga akan mengandungi satu kod QR dengan tutorial online.

Dalam kenyataan medianya hari ini, SingPost menyatakan kiosk PostPal di Clementi menyaksikan kadar pendaftaran isi rumah melebihi 80 peratus di kedua-dua blok yang terlibat dalam perintisannya. Sebanyak 20,000 surat dan bungkusan sudahpun dikirimkan kepada para penduduk di sana.

Setelah menerima maklum balas daripada penduduk Clementi, Ketua Pos dan Bungkusan Domestik SingPost Neo Su Yin berkata syarikat itu membuat beberapa peningkatan kepada kiosk PostPal Punggol.

“Dahulu, kami mempunyai sebuah pintu yang bergerak ke atas dan ke bawah tetapi maklum balas penduduk adalah ia amat sukar untuk mengambil surat atau bungkusan mereka. Jadi kami sebaliknya sudahpun menukarkannya kepada pintu hayun (di Punggol)," menurut Cik Neo ketika bercakap kepada para wartawan di acara pelancaran PostPal di blok Punggol itu.

Beliau menambah syarikat itu juga menambah baik pengimbas kod QR di kiosk untuk membolehkan ia berfungsi lebih baik dengan telefon bijak yang berbeza.

Dengan penerimaan yang positif di Clementi - iaitu kawasan dengan lebih ramai penduduk warga tua - Cik Neo berkata SingPost ingin menyaksikan bagaimana golongan lebih muda dan lebih cekap teknologi di Punggol akan bertindak balas.

Encik Vincent Phang, Ketua Pegawai Eksekutif perkhidmatan pos dan Singapura SingPost, berkata penghantaran e-dagang lebih banyak berlaku di kawasan Punggol.

"Sebagai salah satu kawasan undi termuda serta paling cekap teknologi di Singapura, penduduk kami (Punggol) sering berbelanja online dan PostPal akan menjadi aset yang luar biasa bagi mereka, terutama pada masa ini ketika ramai yang masih bekerja dari rumah," katanya.

Apabila ditanya khidmat PostPal mungkin akan diluaskan di estet kejiranan mana lagi, Cik Neo enggan memberi jawapan tetapi berkata terdapat beberapa faktor yang perlu dipertimbangkan.

“Kami perlu menimbangkan profil penduduk dan kepadatan penduduk kawasan itu," jelas Cik Neo.

Beliau menambah SingPost sedang mengadakan perbincangan dengan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk menentukan lokasi-lokasi seterusnya.

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan