Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peti sejuk di Hutan Clementi tidak dibawa keluar akibat salah komunikasi antara agensi, dedah Sim Ann

Anggaran Waktu Membaca:
Peti sejuk di Hutan Clementi tidak dibawa keluar akibat salah komunikasi antara agensi, dedah Sim Ann

(Gambar: Facebook/Semenov Pavel Dmitrievich)

SINGAPURA: Sebuah peti sejuk yang dibuang di Hutan Clementi tidak dipindahkan oleh pihak berkuasa disebabkan oleh salah faham antara agensi-agensi pemerintah dan kes tersebut ditutup lebih awal.

Demikian menurut Menteri Negara Kanan Pembangunan Negara, Sim Ann pada Isnin (8 Mei).

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan di Parlimen mengenai insiden tersebut dan bagaimana pemerintah menangani kes-kes melibatkan sisa elektronik.

Mediacorp melaporkan bulan lalu bahawa sebuah peti sejuk yang dibuang di Hutan Clementi hanya dipindahkan pada 21 April, setahun selepas seorang pendaki menemuinya dan memaklumkan kepada pihak berkuasa melalui aplikasi OneService.

Aplikasi itu menjadi wadah untuk agensi-agensi pemerintah menerima dan bertindak balas terhadap maklum balas orang awam dan ia dimiliki oleh Pejabat Perkhidmatan Perbandaran (MSO).

Cik Sim memberitahu Parlimen bahawa Lembaga Taman Negara (NParks) pertama kali dimaklumkan tentang kes itu pada Mac 2022 melalui aplikasi OneService dan berusaha untuk mengatur supaya peti sejuk itu dibawa keluar dari hutan tersebut.

"Malangnya, disebabkan oleh salah faham antara agensi-agensi pemerintah, peti sejuk itu tidak dipindahkan dan kes itu ditutup lebih awal. Tiada tindakan susulan untuk memeriksa sama ada peti sejuk itu sudah dibawa keluar dari hutan tersebut.

"Apabila dimaklumkan buat kali kedua, NParks bekerjasama dengan Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk memindahkan peti sejuk itu pada 21 April 2023."

Cik Sim turut menarik perhatian bahawa pembuangan sisa elektrik dan sampah secara haram di kawasan awam adalah satu kesalahan di bawah Akta Kesihatan Awam Persekitaran.

Menjawab pertanyaan tentang pengajaran yang diperolehi daripada kes itu, Cik Sim berkata "kelemahan ketika berkomunikasi dan penyelarasan antara pelbagai agensi kadangkala berlaku".

"MSO sedang bekerjasama dengan agensi-agensi pihak berkepentingan untuk memperkukuhkan penyelarasan antara pelbagai agensi, dan ini termasuk NParks dan NEA," tambahnya.

Ia dilakukan dengan melatih para kakitangan supaya memastikan maklum balas yang melibatkan beberapa agensi dirujuk dengan betul melalui sistem pengurusan maklum balas berbilang agensi.

Menurut Cik Sim, agensi-agensi juga diminta untuk menutup kes mudah hanya apabila mana-mana kerja di lapangan sudah siap dijalankan.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan