Skip to main content

Singapura

Peter Seah lepaskan jawatan Pengerusi NWC atas 'sebab peribadi', Hsieh Fu Hua penggantinya

Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) Peter Seah meminta untuk melepaskan jawatannya atas "sebab peribadi", menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Peter Seah lepaskan jawatan Pengerusi NWC atas 'sebab peribadi', Hsieh Fu Hua penggantinya

Mantan Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) Peter Seah (kiri) akan digantikan oleh Hsieh Fu Hua (kanan). (Gambar: Maktab Seni LASALLE; WWF-Singapore)

Diterbitkan : 19 Aug 2026 11:36AM
SINGAPURA: Pengerusi Majlis Gaji Kebangsaan (NWC) Peter Seah meminta untuk melepaskan jawatannya atas "sebab peribadi", menurut Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada Rabu (19 Ogos).

Kementerian tersebut memutuskan untuk menerima permintaan itu "selepas melakukan pertimbangan", menurut MOM dalam satu kenyataan media.

Beliau akan digantikan oleh Encik Hsieh Fu Hua, yang menyertai NWC pada 7 Ogos sebagai Timbalan Pengerusi.

Encik Seah, 79 tahun, menjadi Pengerusi NWC sejak 2015. Majlis tersebut merupakan sebuah badan tiga pihak yang merangka garis panduan gaji.

Encik Seah juga adalah Pengerusi DBS Bank, Singapore Airlines (SIA) dan Maktab Seni LASALLE. Beliau menjadi anggota Majlis Penasihat Presiden sejak 2021.

Mediacorp sudah menghubungi pertubuhan-pertubuhan tersebut untuk bertanya sama ada beliau akan terus memegang jawatan-jawatan berkenaan.

Pemerintah merakamkan penghargaan mendalam kepada beliau atas khidmat baktinya selama bertahun-tahun sebagai Pengerusi NWC.

"Di bawah kepimpinannya yang kukuh, NWC berjaya mengharungi beberapa tempoh paling mencabar dalam sejarah ekonomi Singapura, termasuk pandemik COVID-19," menurut MOM.

"Kepimpinannya memainkan peranan penting dalam membina dan mengekalkan kata sepakat tiga pihak yang menjadi asas kepada dasar gaji Singapura sepanjang tempoh perkhidmatan beliau, sekali gus memberikan sokongan penting kepada para pekerja dan pembangunan ekonomi Singapura yang berterusan."

Encik Hsieh, 75 tahun, ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Nasional Singapura (NUS) dan memegang jawatan dalam beberapa pertubuhan lain, termasuk sebagai Timbalan Pengerusi CapitaLand Investment dan anggota lembaga pengarah dana kekayaan negara GIC.

Beliau sebelum ini merupakan Presiden Majlis Khidmat Sosial Kebangsaan (NCSS), Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Singapura (SGX) dan Presiden Temasek Holdings.

"Pengalamannya dalam menyatukan pelbagai pihak berkepentingan dan membina kata sepakat akan membawa manfaat dalam menerajui perbincangan tiga pihak NWC yang akan datang berhubung isu gaji," menurut MOM.

NWC dijadual bersidang pada Rabu untuk merangka garis panduan gaji tahunan bagi tempoh 1 Disember 2026 hingga 30 November 2027.

MOM sebelum ini menyatakan majlis tersebut menyasarkan untuk mengeluarkan garis panduan berkenaan, yang turut merangkumi pertumbuhan gaji progresif bagi pekerja bergaji rendah, menjelang akhir Oktober.
Sumber : CNA/AZ/az
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita