'Petanda pemulihan memberangsangkan' bagi sektor pelancongan S'pura
SINGAPURA: Prestasi sektor pelancongan Singapura mencecah paras terendah yang baru pada 2021, namun terdapat "tanda-tanda pemulihan yang memberangsangkan" di tengah-tengah pelancaran Laluan Penumpang Sudah Divaksin (VTL) dan permintaan wisata dalam negeri yang kukuh.
Demikian menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB) hari ini (25 Jan).
Pada 2021, sekitar 330,000 pelawat melakukan lawatan ke Singapura, dengan pendapatan wisata dianggarkan S$1.9 bilion, lebih rendah berbanding 2.7 juta pelawat dan S$4.8 bilion yang dijana pada 2020.
Ia juga hanya "sebahagian kecil" daripada 19 juta pelawat dan S$27.7 bilion yang dijana sebelum pandemik COVID-19 melanda pada 2019.
Sungguhpun demikian, STB menarik perhatian kepada pertumbuhan yang diraih pada tiga suku terakhir 2021 berbanding tempoh yang sama setahun lalu.
"Pelancaran pelbagai aturan perjalanan, seperti VTL, menggalak kepulangan pelawat antarabangsa secara bertahap-tahap.
Permintaan dalam negeri juga kukuh, dengan sektor pelancongan berubah wajah untuk mewujudkan pengalaman-pengalaman baru dan inovatif bagi para penduduk tempatan," tambah STB.
Encik Keith Tan, Ketua Eksekutif STB, mengatakan bahawa walaupun ia akan mengambil masa untuk jumlah pelawat kembali ke paras sebelum pandemik, pihaknya berasa optimis setelah menyaksikan daya bingkas perniagaan-perniagaan pariwisata dalam mengubah perniagaan masing-masing dan membangunkan produk-produk baru.
"Kita harus menjangkakan kegenjotan dan cabaran walaupun industri pelancongan pulih dengan perlahan. Sungguhpun demikian, saya yakin industri pelancongan sudah belajar daripada pengalaman dan sedang bersiap sedia untuk merebut peluang apabila tiba masanya kelak."
PERTUMBUHAN TIGA SUKU TERAKHIR 2021
STB menarik perhatian bahawa ketibaan pelawat melonjak sebanyak 221 peratus pada tiga suku terakhir 2021 berbanding tempoh yang sama pada 2020.
Pendapatan wisata bagi suku kedua dan ketiga 2021 juga naik hampir seganda berbanding tempoh yang sama pada 2020.
Daripada pelawat antarabangsa yang tiba di Singapura antara Januari hingga Disember tahun lalu, China (88,000), India (54,000) dan Indonesia (33,000) adalah tiga penyumbang utama.
Pada sembilan bulan pertama 2021, pendapatan wisata mencecah S$1.2 bilion, dengan para pelawat dari China, Indonesia dan India masing-masing menyumbang S$432 juta, S$127 juta dan S$58 juta.
Bagi wisata dalam negeri pula, kira-kira 1.9 juta penduduk Singapura menggunakan sekurang-kurangnya sekali Baucar Teroka Semula Singapura, sekali gus menjana S$300 juta melalui tebusan baucar - dengan S$120 juta daripadanya merupakan bayaran yang ditanggung sendiri bagi tempahan-tempahan yang dibuat.
HOTEL DAN ACARA MICE
Beberapa hotel baru dengan konsep gaya hidup yang unik dibuka di Singapura pada 2021, manakala yang lain pula memperkenalkan pengalaman 'staycation' yang lain daripada yang lain, menurut STB.
Secara keseluruhannya, industri perhotelan mencatatkan kadar penginapan sebanyak 56.2 peratus secara purata. Kadar ini 1.1 peratusan mata lebih rendah berbanding setahun sebelum itu ketika prestasi pelancongan pada dua bulan pertama 2020 adalah kukuh.
Penyambungan acara-acara Mesyuarat, Insentif, Persidangan dan Pameran (MICE) turut kembali meningkat dengan rancak pada 2021. Singapura menjadi tuan rumah kepada lebih 200 acara MICE dengan hampir 50,000 tetamu dari dalam dan luar negeri.
Ini termasuk acara-acara perintis untuk menguji protokol-protokol baru, seperti Forum Ekonomi Baru Bloomberg.
"STB akan terus menjadi tuan rumah kepada acara-acara besar MICE pada 2022 dan menjangkaui tahun ini, termasuk beberapa acara yang akan diadakan dalam masa beberapa tahun akan datang," katanya, sambil menyebut contoh-contoh seperti FIND - Pameran Seni Bina Asia dari 2022 hingga 2024 dan Gastech 2023.
Bagi acara hiburan dan gaya hidup pula, lembaga berkanun itu menambah bahawa ia akan "memperluaskan kepelbagaian dan skala" acara sedemikian pada 2022 "untuk memenuhi permintaan tempatan dan memastikan Singapura kekal menarik kepada pelawat antarabangsa".
KUNJUNGAN, DAYA TARIKAN DAN KAPAL PESIARAN
Industri wisata dalam negeri "memperlihatkan prestasi yang baik" pada 2021, menurut STB, dengan hampir 320,000 peserta tempatan dan "pertumbuhan yang kukuh dari bulan ke bulan sepanjang sebahagian besar tahun lalu".
Lebih banyak daya tarikan dilancarkan, seperti Muzium Aiskrim dan SkyHelix Sentosa, manakala para pemain sedia ada menyuntik kesegaran pada daya tarikan masing-masing atau memperkenalkan konsep-konsep baru. Ini termasuk Muzium Haw Par Villa ataupun galeri realiti maya yang baru di Muzium ArtScience.
"Terdapat juga siri daya tarikan baru yang sedang diusahakan. Misalnya, Jewel-rassic Quest, iaitu daya tarikan baru di Canopy Park dan Shiseido Forest Valley, yang dijadual akan dilancarkan pada 2022."
Bagi industri kapal pesiaran pula, ia mencatatkan kebangkitan yang kukuh selepas pakej-pakej "cruises-to-nowhere" dilancarkan pada lewat 2020, dengan lebih 400,000 penumpang tempatan menyertai hampir 300 pelayaran, menurut STB.
"Dengan pelaksanaan program pentauliahan CruiseSafe oleh STB dan sokongan padu daripada kedua-dua Dream Cruises dan Royal Caribbean International, tiada kelompok COVID-19 dikesan di kedua-dua kapal pesiaran tersebut setakat ini."
MASA HADAPAN
Pada masa akan datang, STB akan terus "memperhebatkan usahanya" bagi pasaran-pasaran utama dan menggalak wisata ke Singapura.
Sebagai contoh, STB sedang bekerjasama dengan syarikat penerbangan Singapore Airlines dan Changi Airport Group untuk kempen “Welcome Back to Singapore” untuk merangsang keyakinan pelawat berwisata di negara ini.
Kempen tersebut sudahpun dilancarkan di Jerman dan India, dan akan dilancarkan secara berperingkat di lebih banyak pasaran termasuk Australia, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Korea Selatan.
Kemampanan juga akan terus menjadi tumpuan utama STB, dengan lembaga berkanun itu bekerja rapat dengan Persatuan Hotel Singapura (SHA) untuk mencarta hala tuju yang mampan dengan strategi-strategi dan matlamat bakal ditetapkan bagi industri tersebut, yang akan dilancarkan pada lewat tahun ini.
Untuk menyokong usaha Singapura menjadi hab kesejahteraan yang unggul, STB juga sudah melakar pelan lima tahun yang mengenal pasti strategi-strategi utama dan inisiatif-inisiatif untuk membangunkan lagi khidmat sedemikian di sini.
Satu pesta kesejahteraan akan diadakan pada Jun 2022 buat julung-julung kalinya sebagai sebahagian daripada rancangan tersebut.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.