Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Peta interaktif ini papar lokasi penjaja, kedai kejiranan untuk tebus baucar CDC

Anggaran Waktu Membaca:
Peta interaktif ini papar lokasi penjaja, kedai kejiranan untuk tebus baucar CDC

Pelanggan di Pusat Penjaja Maxwell pada 1 Sep 2021. (Gambar: Hanidah Amin)

SINGAPURA: Sebuah peta interaktif yang menunjukkan kesemua pegerai pusat penjaja dan kedai kejiranan yang menerima penebusan baucar CDC kini disediakan di laman web CDC Vouchers Merchants Go Where. 

Peta tersebut turut menggabungkan maklumat dan data peta daripada OneMap Penguasa Tanah Singapura (SLA) untuk menawarkan "pemandangan geografi secara intuitif" tentang taburan dan lokasi kedai kejiranan dan juga pusat penjaja merata Singapura. 

Ini selain daripada fungsi carian berdasarkan poskod dan nama jalan yang sudahpun disediakan setakat ini, menurut kelima-lima Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) dalam satu kenyataan media bersama dengan Persatuan Rakyat (PA) hari ini (9 Jan). 

"Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan CDC untuk menawarkan pengalaman yang selesa dan menyenangkan untuk para penduduk dan juga para penjaja dan pekedai dalam Skim Baucar CDC secara digital ini," menurut kenyataan bersama itu.

Para penduduk boleh melihat senarai gerai penjaja dan kedai kawasan kejiranan pilihan mereka. Mereka hanya perlu menekan "Lihat semua pekedai di peta" untuk mengakses peta interaktif itu. 

Skim yang mengagihkan baucar digital bernilai S$130 juta kepada semua keluarga rakyat Singapura itu dilancarkan pada 13 Disember tahun lalu. Ia adalah sebahagian daripada Pakej Bantuan Keluarga Tambahan bernilai S$900 juta yang diumumkan dalam Belanjawan 2021. 

LEBIH 1 JUTA KELUARGA SUDAH TEBUS BAUCAR CDC 

Lebih sejuta keluarga rakyat Singapura sudah menebus baucar CDC mereka yang bernilai S$100 pada bulan pertama sejak ia dilancarkan, menurut kenyataan media tersebut. 

Jumlah penjaja dan pekedai juga semakin bertambah, dengan lebih 12,500 kedai dan gerai menyertainya sejauh ini. 

Lebih 90 peratus daripada perniagaan-perniagaan berkenaan sudah berurus niaga menggunakan baucar CDC tersebut, dedah Pengerusi Jawatankuasa Datuk Bandar Low Yen Ling.

"Kelima-lima CDC, bersama dengan rakan-rakan agensi kami, sedang mempertingkatkan pengalaman pengguna bagi Skim Baucar CDC sebelum tiba musim perayaan kerana jumlah penduduk yang menerima dan menebus baucar CDC mereka akan meningkat," kata Cik Low. 

Cik Low turut mengatakan bahawa pihak berkuasa "sangat berbesar hati" dengan sokongan para penduduk terhadap para penjaja dan kedai-kedai kejiranan, dengan lebih S$28 juta baucar CDC sudah ditebus setakat ini. 

Bagi para penduduk yang "kurang celik digital" dan memerlukan bantuan untuk menebus dan menggunakan baucar mereka, serta penjaja dan pekedai yang tidak pasti dengan cara untuk menggunakan aplikasi Redeem SG Merchant, mereka boleh mendapatkan bantuan di kelab-kelab masyarakat, Jawatankuasa Penduduk dan juga pusat-pusat Rangkaian Penduduk. 

"Duta-duta CDC dan sukarelawan akar umbi sudah bersiap sedia untuk menghulurkan bantuan secara peribadi," menurut kenyataan media itu lagi. 

Para penjaja dan pekedai yang berminat boleh melungsuri laman web Baucar CDC untuk mendaftar, dan Duta CDC akan menghubungi mereka dalam masa dua minggu. 

Para penduduk boleh menebus dan menggunakan baucar digital CDC selewat-lewatnya sebelum 31 Disember 2022. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan