Peta baru MRT dilancar; Laluan Circle tumpuan utama
Peta sistem MRT yang baru lagi segar dilancarkan pada Rabu (11 Dis), menampilkan Laluan Circle sebagai titik utama dan beberapa mercu tanda paling dikenali di Singapura.

(Gambar: LTA)
SINGAPURA: Peta sistem MRT yang baru lagi segar dilancarkan pada Rabu (11 Dis), menampilkan Laluan Circle sebagai titik utama dan beberapa mercu tanda paling dikenali di Singapura.
"Apabila melihat peta baru itu, dengan sendirinya, Laluan Circle akan berfungsi sebagai titik utama untuk membantu penumpang sedar di mana mereka berada dan merancang perjalanan," menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).
Buat julung-julung kalinya, peta MRT itu merangkumi mercu-mercu tanda terkenal dan laluan air supaya penumpang boleh mengenal pasti stesen berhampiran.
Kod respons cepat (QR) pada peta pula menghubungkan pengguna kepada kalkulator tambang online dan peta yang boleh dimuat turun dalam empat bahasa rasmi Singapura sebagai rujukan.
Proses mereka bentuk semula peta tersebut bermula pada 2015, menurut LTA. Ia mendapatkan maklum balas daripada anggota awam dan menguji prototaip bersama pereka peta di forum-forum antarabangsa.
Di samping peta baru, papan-papan tanda transit di stesen MRT - bermula dengan Laluan Thomson-East Coast (TEL) yang baru - akan dinaik taraf menggunakan fon lebih besar, ikon baru, perbandingan warna lebih tajam dan reka bentuk baru.
Misalnya, kesemua papan tanda keluar akan berwarna kuning untuk menjadikannya lebih menonjol. Ia juga akan dilabelkan dengan nombor dan bukan lagi dengan huruf.
Tanda-tanda arah juga akan direka bentuk semula menggunakan ikon yang lebih besar dan dikurangkan perkataan.
Papan tanda arah keluar di stesen-stesen kereta api juga akan memberi maklumat seperti perhentian bas manakala peta mengenai kawasan sekeliling merangkumi maklumat baru mengenai jarak berjalan kaki ke mercu-mercu tanda berdekatan.
LTA menambah reka bentuk semula peta tersebut dibuat ketika laluan-laluan kereta api baru ditambah ke rangkaian pengangkutan Singapura.
Laluan pertama TEL dijangka dibuka menjelang hujung Januari depan, meliputi tiga stesen di bahagian utara Singapura - Woodlands North, Woodlands dan Woodlands South.
Peta tersebut sudahpun dipasang di ketiga-tiga stesen baru itu dan akan dipasangkan secara bertahap-tahap di kesemua stesen MRT serta LRT.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.