Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Warisan Singapura 2019 tampilkan mural dan pemasangan seni di Kampong Gelam

Sejajar dengan edisi khas memperingati 200 Tahun Singapura, Pesta Warisan Singapura 2019 (SHF 2019) memaparkan karya seni di sekitar kawasan Kampong Gelam yang dihasilkan tiga artis muda berbakat besar iaitu Zul Othman, Muhammad Sufian dan Hilmi Johandi.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sejajar dengan edisi khas memperingati 200 Tahun Singapura, Pesta Warisan Singapura 2019 (SHF 2019) memaparkan karya seni di sekitar kawasan Kampong Gelam yang dihasilkan tiga artis muda berbakat besar iaitu Zul Othman, Muhammad Sufian dan Hilmi Johandi.

Mereka dipilih Lembaga Warisan Negara (NHB) kerana kebolehan mereka untuk menggambarkan sosio-budaya dan warisan masyarakat Melayu Singapura dalam bentuk yang kreatif dan bermakna.

Menurut Pengurus Program Taman Warisan Melayu Encik Jamal Mohamad, hasil-hasil seni sedemikan dapat menarik perhatian dan mendekatkan lagi generasi muda kepada sejarah Kampong Gelam.
Encik Jamal berkata: "Matlamat Taman Warisan ialah untuk menyampaikan tentang sejarah Singapura terutama sekali sejarah Kampong Gelam.

Melalui pemasangan seni ini yang tidak konvensional, anak-anak muda dapat mengambil gambar dan pelajari tentang sejarah."

Kisah cinta tragis Wak cantuk pilihan Zul Othman

Encik Zul Othman, 39 tahun, atau lebih dikenali dengan nama samarannya Zero, terkenal dengan hasil-hasil seni visualnya yang diilhamkan daripada imej-imej diambil dari majalah dan naskah-naskah Melayu dari era 1950-an.

"Pengaruh saya ialah arwah yayi saya yang sering berlayar,"jelas beliau.

"Pulang dari pelayarannya itu dia sering membawa pulang bermacam-macam komik. Ini menjadi inspirasi dan rujukan buat saya."

Mural yang dihasilkannya di dinding Gedung Kuning memaparkan kisah cinta tragis Wak Cantuk seorang lelaki Bugis yang mengamuk apabila cintanya terhadap gadis yang bernama Samirah tidak berbalas.

Encik Zul Othman dengan muralnya 'Walls of Gedung Kuning'. (Gambar: BERITAmediacorp)

Dinding rumah kedai jadi kanvas mural Muhammad Sufian

Encik Muhammad Sufian, 38 tahun, atau lebih dikenali dengan nama TraseOne, pula menghasilkan muralnya di dinding sebuah bangunan rumah kedai dekat 12 Baghdad Street.

Muralnya memaparkan intan berlian yang berwarna-warni tersingkap di balik sebuah tabir.

Menurut Encik Sufian, mural tersebut adalah tanda simbol bagi melambangkan Kampung Intan, yang wujud pada suatu masa dahulu di tapak yang kini dikenali sebagai Baghdad Street.

Encik Muhammad Sufian di hadapan muralnya 'Bejeweled. An Homage to Kampung Intan'. (Gambar: BERITAmediacorp)

Encik Sufian berkata: "Saya berasa amat bangga diundang untuk berkarya dalam festival ini. Ini adalah satu detik yang bersejarah buat saya untuk melukis mural sebesar ini."

Dekonstruksi panggung Theatre Royal oleh Hilmi Johandi

Berbeza daripada karya mural yang dihasilkan Encik Zul dan Encik Sufian, Encik Hilmi, 32 tahun, pula menghasilkan sebuah seni pemasangan dekat Taman Warisan Melayu.

Menurut Encik Hilmi, arcanya itu diilhamkan daripada panggung persembahan yang sudah pudar dari landskap moden Singapura.

Menurutnya beliau tertarik dengan panggung-panggung pementasan bangsawan yang pernah wujud di kawasan Kampong Gelam suatu masa dulu.

Encik Hilmi Johandi dengan seni pemasangannya 'Statecraft'. (Gambar: BERITAmediacorp)

Justeru, sempena SHF 2019 beliau menciptakan sebuah dekonstruksi panggung Theatre Royal salah sebuah panggung yang terkenal dengan pementasan senia pada awal abad ke-20.

Pesta Warisan Singapura 2019 membuka tirainya di kawasan Kampong Gelam hari ini dengan pelbagai persembahan tradisional Melayu.

Orang ramai diajak hadir untuk menikmati pelbagai persembahan seperti Rentak Budaya 2019-'Akulah Melayu' dan persembahan muzik Melayu tradisional oleh kumpulan Oudists Singapore yang diterajui Encik Azrin Abdullah pada hari Sabtu (16 Mac).

Semua persembahan adalah percuma. 

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan