Skip to main content

Singapura

Pesta Tanglung Sentosa: Tiada bayaran balik diberi tetapi tiket sah untuk acara yang dijadualkan semula

Anggaran Waktu Membaca:
Pesta Tanglung Sentosa: Tiada bayaran balik diberi tetapi tiket sah untuk acara yang dijadualkan semula

Gambar: huynhthi0303/TikTok, laman Eventbrite

SINGAPURA: Tiada bayaran balik akan diberikan kepada para pengunjung pesta tanglung di Sentosa. Acara tersebut sebelum ini menyebabkan ramai kecewa apabila penyalaan lilin yang sangat dinanti-nantikan di acara itu dibatalkan pada saat-saat akhir.

Salah satu daripada penganjur acara di sebalik Pesta Tanglung Singapura menyatakan pada Selasa (27 Feb) bahawa penjualan tiket itu muktamad dan tidak boleh dikembalikan.

"Tiket sah untuk kemasukan pada waktu acara yang dijadualkan semula itu sekitar minggu pertama April," kata Shiermie Bautista dari Asian Couture and Boutique dalam satu catatan Facebook.

"Bagi mereka yang tidak dapat menghadiri acara seterusnya, anda boleh menjual semula tiket anda di TicketSwap."

Acara yang mendapat perhatian ramai itu, yang diadakan di Palawan Green pada Rabu (21 Feb), berharga S$50 setiap seorang tidak termasuk yuran tempahan.

Para peserta dijanjikan dengan penyalaan lilin dalam tanglung yang berwarna-warni. Tanglung-tanglung itu dikatakan akan berlegar di udara selama lima hingga 10 minit sedang ia ditambat pada tanah dengan tali sepanjang 60 meter.

Namun, ramai pemegang tiket menyuarakan rasa kecewa dan marah setelah menyedari bahawa "keadaan yang tidak dijangka" mengubah rancangan tersebut, dengan para peserta sebaliknya diberikan lilin LED. Mereka juga disediakan dengan pena untuk menulis ucapan mereka pada tanglung-tanglung itu sebelum mengikatnya pada penambat.

Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) kemudian mendedahkan bahawa pihak penganjur acara itu tidak dapat memperolehi lesen serta kelulusan yang diperlukan untuk memenuhi syarat-syarat keselamatan yang diwajibkan.

Acara tersebut dianjurkan oleh pihak ketiga, Asian Couture & Boutique, yang menyewa tempat tersebut, jelas seorang jurucakap SDC minggu lalu.

Dia juga mengarahkan para pemegang tiket supaya menghubungi pihak penganjur bagi mendapatkan bayaran balik: Steven Lau di talian 9455 5212 dan Shiermie Bautista menerusi emel shiermie85 [at] gmail.com dan talian 84248725.

Seorang wakil penganjur acara juga berkata pada 22 Feb bahawa perbincangan mengenai bayaran balik sedang berterusan, dan kemas kini akan diberikan dalam masa dua minggu.

Mediacorp sudahpun menghubungi SDC, SCDF, Pasukan Polis Singapura dan Persatuan Pengguna Singapura (CASE) untuk mengulas mengenai isu tersebut.

Menjawab pertanyaan Mediacorp minggu lalu, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan bahawa pihak penganjur tidak mematuhi garis panduan keselamatan kebakaran yang ditetapkan meskipun syarat-syarat itu sudah diulangi "beberapa kali" menjelang acara itu.

Jurucakap SCDF mengatakan bahawa tanglung mesti ditambat pada tanah setiap masa apabila dinyalakan. Marsyal keselamatan mesti berada di lokasi untuk mengawasi acara dan khususnya, mengelakkan tanglung daripada dilepaskan jika ia tidak ditambat.

Marsyal keselamatan juga mesti dilengkapi dengan alat pemadam api.

Penganjur acara menjalankan percubaan pada 19 Februari. Ini tidak memuaskan kerana "salah satu tanglung yang dinyalakan menyebabkan kebakaran kecil pada rumput tiruan", jelas jurucakap SCDF.

Selepas acara itu sedia untuk dimulakan sepenuhnya pada 21 Februari, SCDF menjalankan pemeriksaan di tapak tersebut dan mendapati pihak penganjur gagal mematuhi garis panduan yang ditetapkan.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita