Skip to main content

Singapura

Pesta tanglung Sentosa: Penganjur belum putuskan untuk kembalikan wang; peserta akan disuruh buat pilihan

Terdapat maklumat berbeza diberikan mengenai pengembalian wang bagi pesta tanglung yang diadakan di Sentosa baru-baru ini, di mana ramai anggap ia satu kekecewaan bagi ramai peserta kerana pihak penganjur tidak dapat mencapai kata sepakat.

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Terdapat maklumat berbeza diberikan mengenai pengembalian wang bagi pesta tanglung yang diadakan di Sentosa baru-baru ini, di mana ramai anggap ia satu kekecewaan bagi ramai peserta kerana pihak penganjur tidak dapat mencapai kata sepakat.

Sebaliknya, syarikat itu akan mengumpul maklum balas peserta mengenai pilihan yang mereka.

Pesta itu yang berlangsung pada 21 Februari lalu, mendapat publisiti negatif.

Ini walaupun ia disebut-sebutkan sebagai acara di mana tanglung dengan lilin yang dinyalakan akan dilepaskan ke langit malam.

Namun pada hari acara, para peserta sebaliknya diberikan lilin bercahayakan LED dan diberi pilihan untuk mengikat tanglung masing-masing ke pagar penghadang.

Ini kerana Asian Couture and Boutique, iaitu syarikat yang menganjur acara itu, gagal mematuhi garis panduan keselamatan kebakaran.

Pada Selasa (27 Feb), salah seorang pengarahnya, Shiermie Bautista memuat naik petikan skrin pada laman akaun Facebook beliau yang menyatakan bahawa pihaknya tidak akan memulangkan bayaran kepada para peserta dan mereka sebaliknya boleh menggunakan tiket-tiket acara itu bagi edisi kedua acara, yang akan berlangsung "sekitar minggu pertama April".

Namun, apabila bercakap kepada Mediacorp pada Rabu, seorang lagi pengarah syarikat iaitu Steven Lau berkata pihak pengarah masih "mengadakan rundingan intensif" dan terdapat pendapat berbeza dalam kalangan mereka sama ada untuk memulangkan bayaran atau tidak.

Menurutnya, syarikat itu kini memutuskan untuk menghasilkan borang bagi mengumpul pandangan para peserta dan borang itu akan "mengandungi beberapa pilihan" untuk mereka.

Encik Lau berkata antara pilihannya termasuk pemulangan separuh wang dan peluang untuk menghadiri acara seterusnya pada harga yang akan dipotong daripada jumlah yang dibayar untuk acara pada 21 Februari lalu.

"Pemulangan wang sepenuhnya tidak dapat dilakukan kerana kita tidak tahu berapa banyak jumlah yang dibayar oleh sesetengah peserta kerana ada yang mendapat tiket itu pada potongan harga 50 peratus," jelasnya.

Borang itu dijangka diserahkan kepada para peserta mulai 4 Mac dan "satu keputusan lebih konkrit" mengenai sama ada untuk mengembalikan wang pembeli akan dibuat selepas mengumpul maklum balas.

Dalam respons kepada pertanyaan Mediacorp, Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) mengesahkan bahawa Asian Couture and Boutique sudah menghubunginya dan memohon untuk mengadakan acara serupa sekali lagi.

SDC menambah: "Kami mengulangi peri pentingnya memohon semua lesen dan permit yang diperlukan, dan mematuhi semua peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa sebelum mereka menghubungi kami mengenai penganjuran acara di sesuatu tempat."
Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita