Pesta Taman S'pura kembali selepas 4 tahun; lokasi baru Orchard Road & Kebun Bunga S'pura

(Gambar: Singapore Garden Festival)
SINGAPURA: Pesta Taman Singapura kembali diadakan pada tahun ini, kali ini membawakan pertunjukan dan pameran bunga ke Kebun Bunga Singapura dan Orchard Road.
Acara itu, yang membuat kemunculannya semula selepas empat tahun ditiadakan, akan diadakan melalui beberapa wadah bagi "memastikan lebih ramai pengunjung dapat menikmatinya" di samping mengurangkan kesesakan, menurut Lembaga Taman Negara (NParks) pada Rabu (1 Jun).
Edisi kelapan pesta tersebut akan menyaksikan satu siri pertunjukan bunga dan hortikultur akan dibuka kepada orang ramai mulai 30 Julai.
Pesta tersebut akan berlangsung sehingga 7 Ogos di ION Orchard dan Ngee Ann City, manakala di Kebun Bunga Singapura pula, ia akan berlangsung sehingga 9 Ogos.
Tiada bayaran masuk dikenakan untuk menyaksikan acara dan pertunjukan sepanjang pesta tersebut.
Lokasi utama pesta tersebut di Orchard Road adalah ION Orchard dan Ngee Ann City Civic Plaza, menurut penganjur acara, NParks.
Acara-acara yang akan diadakan di Orchard Road termasuk peraduan taman pameran, peraduan gubahan bunga dan juga pertunjukan arca bunga.
Para pengunjung di ION Orchard akan disambut oleh dua arca bunga gergasi yang direka oleh pakar gubahan bunga tempatan Harijanto Setiawan dan John Lim.
Pusat beli-belah itu juga akan menganjurkan Pesta Bunga: Cabaran Menggubah Bunga di Besmen 4 dari 3 hingga 7 Ogos.
Peraduan itu, yang merupakan satu ciri baru kepada pesta tahun ini, akan menyaksikan penjual bunga, penggemar bunga dan penggubah bunga profesional berganding bahu untuk mencipta gubahan berdasarkan pelbagai tema.
Pameran di Kebun Bunga Singapura pula akan diadakan di Kebun Orkid Negara dan Taman Ekologi di Bukit Timah Core. Acara-acara di lokasi tersebut termasuk peraduan orkid, Pesta Warisan
Kebun Bunga Singapura dan Piala Pekebun Singapura.
"Para pengunjung boleh menjangkakan lebih 400 jenis orkid yang unik dan jarang ditemui, termasuk spesies yang tumbuh dalam persekitaran yang panas dan sejuk dan kacukan orkid yang terdapat di kawasan berbeza di seluruh dunia, yang dikemukakan untuk dipertandingkan oleh para pekebun profesional dan penggemar bunga," menurut NParks.
Konsert, lawatan berpandu, ceramah dan pameran juga akan disediakan sempena meraikan warisan Kebun Bunga Singapura.
Wadah online Shopee pula adalah rakan e-dagang rasmi pesta itu, dengan promosi eksklusif dan rangkaian produk yang lebih luas.
Ia juga akan menganjurkan sesi penstriman secara langsung dan unsur-unsur permainan untuk mendampingi lebih ramai orang awam, menurut NParks.
"Pandemik COVID-19 telah meningkatkan minat orang ramai terhadap kehijauan dan alam semula jadi, dan dengan Orchard Road turut dilibatkan sama,yang terletak berdekatan dengan Kebun Bunga Singapura, ia akan membolehkan kami untuk memikat lebih ramai pengunjung dan menjadikan pesta ini lebih mudah untuk dikunjungi ramai," kata Encik Dennis Lim, Pengarah Penyelaras Pesta, Acara dan Pameran NParks.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.