Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Sukan di Anjung@WGS catat jumlah rekod PERSES dengan lebih 700 penyertaan

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pesta Sukan di Anjung@WGS mencatat jumlah rekod peserta yang pernah menyertai pertandingan oleh Persekutuan Sepak Takraw Singapura (PERSES), dengan lebih 700 penyertaan.

Dewan di Anjung@WGS itu juga bergema dengan sorakan para penyokong yang datang untuk menonton hari terakhir Pesta Sukan hari ini (24 Jul).

Secara keseluruhannya, Pesta Sukan berjaya menarik sekitar 2,500 orang ke Anjung@WGS sepanjang minggu ia diadakan.

KAGUM LIHAT PASUKAN WANITA BERAKSI DALAM GELANGGANG



Menariknya, ia juga menyaksikan para pemain wanita masuk gelanggang bagi merebut gelaran juara menerusi enam kategori termasuk Kategori Terbuka.

Bagi salah seorang pengurus pasukan sepak takraw Ragalista ST, Encik Hasrin, beliau melahirkan rasa gembira melihat ramai pemain muda dan peserta wanita di acara tersebut.


"Saya pun kagum (melihat) pasukan-pasukan wanita, budak perempuan di bawah umur 16 dan 14, yang ramai juga," kongsi Encik Hasrin kepada BERITAmediacorp.

"Kalau dibandingkan dengan dahulu, dahulu susah untuk mendapat pemain wanita. Sekarang Alhamdulillah. Itu menunjukkan satu kemajuan.

Pandangan yang sama turut dikongsi salah seorang penonton Pesta Sukan itu, Encik Mohd Russyan, yang juga merupakan seorang bekas pemain sepak takraw.



"Pertama kali, pada hari ini pula (ada) pertandingan anak-anak perempuan jadi selalunya sepak takraw ini pertandingan lelaki. Jadi pada hari ini, saya rasa amat gembiralah dapat di sini dengan keadaan dan suasana yang terbuka," menurut Encik Russyan, 62 tahun.

Beliau juga menghadiri acara itu dua hari berturut-turut kerana rindu untuk menonton perlawanan sepak takraw secara langsung.

GEMENTAR MAIN DI KHALAYAK RAMAI, TAPI SERONOK

Bagi pemain Meiling ST Ace, Nurul Ilyana pula, pengalaman beraksi di tempat terbuka sebegini membuatnya berasa lebih gementar.

Walau bagaimanapun, dia tetap teruja dan ia merupakan satu pengalaman yang menyeronokkan bagi remaja berusia 19 tahun ini, lebih-lebih lagi selepas beliau dan pasukan mara ke pusingan suku akhir.

"Untuk saya, rasa tertekan sedikit. Ia ruang terbuka jadi orang luar boleh menyaksikan juga. Jadi gementar sebab untuk saya, saya sebenarnya tidak main posisi biasa saya," ujar Ilyana yang bermain dalam posisi penyerang atau 'striker' kali ini.

SAMBUTAN PENYERTAAN PECAH REKOD PERSES



Tanpa dijangka pihak penganjur, sambutan yang diterima amat menggalakkan dengan lebih 700 penyertaan.

Ini, menurut PERSES, pertama kali mereka menerima sambutan sebegini bagi sesebuah pertandingan.

"Penganjuran sebegini diharap dapat dibuat sebanyak mungkin, lebih-lebih lagi di peringkat bawah 14, 16 dan 18. Peringkat 'Masters' dan peringkat 'Terbuka', memang selalu kami anjurkan tetapi peringkat bawah ini adalah untuk mendapatkan lapisan pemain untuk meningkat ke atas sehingga sampai ke peringkat kanan," kongsi Encik Mohd Nasri Haron.


Selain itu, Encik Nasri turut menambah bahawa Pesta Sukan sebegini dapat menyatukan masyarakat dalam kesempatan berinteraksi dalam menyokong pasukan kegemaran masing-masing.

Pada masa akan datang, beliau berharap pihak penganjur boleh pertimbangkan untuk juga membuka kategori bagi pemain bawah 14 tahun.

"Kita dapat lihat jikalau mereka di bawah umur 14, ibu bapa, saudara-mara, kawan-kawan sekolah semua akan hadir. Jadi secara automatiknya, ia menarik minat masyarakat kita bersama," terang Encik Nasri.

Turut hadir hari ini (24 Jul) untuk menyampaikan Piala kepada para pemenang ialah Setiausaha Parlimen Kanan Kesihatan merangkap Undang-undang, Rahayu Mahzam.

"Ini adalah satu permulaan, diharapkan ini akan terus memberikan rangsangan kepada pihak penganjur dan juga badan-badan masyarakat untuk menggunakan ruang ini untuk menyatukan masyarakat kepada sesuatu yang sama-sama kita boleh minati dan nikmati," kongsi Cik Rahayu.

"Kita perlu teruskan semangat ini agar kita dapat melihat ruang ini sentiasa digunakan, ruang ini sentiasa dipenuhi dengan orang ramai, memeriahkan keadaan dan juga membawa balik semangat kepada Geylang Serai.

Ini menurutnya perlu usaha semua, termasuk pihak penganjur mengadakan ruang serta badan-badan Melayu/Islam dan golongan yang bersukan untuk ikut serta dan sama-sama memeriahkan acara sebegini.



Kategori Terbuka Wanita dimenangi oleh Kembangan Chai Chee CSN A manakala Nee Soon South A dan Ragalista ST pula menjuarai kategori U-14 dan U-16.

Pesta Sukan dianjurkan oleh Wisma Geylang Serai dengan kerjasama PERSES dan Active SG.

Ia juga merupakan antara program yang dianjurkan sempena pembukaan rasmi Anjung@WGS baru-baru ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan