Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta raikan bangsawan di Taman Warisan Melayu buat julung-julung kalinya

Buat julung-julung kalinya, sebuah pesta meraikan seni dan kumpulan bangsawan akan berlangsung di Taman Warisan Melayu (TWM).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Buat julung-julung kalinya, sebuah pesta meraikan seni dan kumpulan bangsawan akan berlangsung di Taman Warisan Melayu (TWM).

Menurut Penerbit Eksekutif Festival Bangsawan Singapura, pesta tersebut diharap akan dapat melindungi warisan negara daripada pupus serta meningkatkan kesedaran tentang seni bangsawan dalam kalangan anak-anak muda. 

Festival tersebut antara lain akan menampilkan pementasan lakonan dan tarian dalam bangsawan. 

SANG NILA UTAMA DIPENTASKAN DALAM BENTUK BANGSAWAN

Cerita rakyat terkenal tentang sejarah Singapura - Sang Nila Utama - dibentangkan dalam pementasan asli Bangsawan yang dianjurkan kumpulan Anggerik Temasek Bangsawan. 

Pementasan selama hampir dua jam itu menyelongkar keturunan, warisan dan pengembaraan Sang Nila Utama seperti yang dinyatakan dalam Hikayat Melayu - lebih daripada kandungan yang biasanya diceritakan kepada khalayak ramai. 

Penerbit Eksekutif Anggerik Temasek Bangsawan, Encik Noor Azhar Mohamed berkata: "Dalam pementasan Sang Nila Utama, kami menceritakan tentang keluarga Sang Nila Utama, tentang latar belakang Sang Nila Utama. Siapa itu Sang Sapurba, siapa itu Raja Suran dan sebagainya."

"Apabila kita menceritakan latar belakang dan kekeluargaan Sang Nila Utama dengan lebih mendalam lagi, kita sebagai rakyat Singapura dapat memahami apakah kesulitan dan cabaran yang beliau harus harungi sebelum beliau menemui pantai Temasek dan menamakannya Singapura."


Encik Mohamed Muhaimin Danish Mohamed Muslimin yang membawakan watak Sang Nila Utama sebenarnya baru berjinak-jinak dalam bidang lakonan bangsawan kurang tiga tahun yang lalu. 

Pelakon berusia 22 tahun itu lantas perlu melakukan banyak kajian untuk 'menghidupkan' watak Sang Nila Utama yang hidup sekitar lapan abad yang lalu. 

Encik Muhaimin berkata: "Sebagai Sang Nila Utama, saya perlu memaparkan rasa kebanggaan, tahap keyakinan itu sangat tinggi. Untuk saya, saya banyak bermain dengan imaginasi untuk kurangkan kesusahan memikirkan bagaimana kehidupannya waktu dahulu." 
 
"Saya juga masih baru dalam lakonan jadi ada banyak gerak-geri yang susah untuk saya lakukan," tambah Encik Muhaimin. 

Menerusi pementasan Sang Nila Utama, Encik Azhar berharap bahawa lebih ramai dalam kalangan masyarakat, terutama sekali golongan anak muda akan mencintai seni bangsawan, agar ia tidak pupus ditelan zaman. 

Encik Azhar berkata: "Cabaran yang kita hadapi adalah kita harus memberi keyakinan kepada anak muda bahawa bangsawan ini adalah satu seni yang masih relevan untuk hari ini. Ada yang menganggap bahasa bangsawan adalah kuno, lambat dan lembap."

"Di dalam produksi ini, kami mengetengahkan ramai pelakon muda termasuk kanak-kanak. Elemen-elemen bangsawan yang kami terapkan adalah bahasa, nada, lenggok, gerak-geri, semua elemen ini akan dilihat dalam pementasan kita. Saya berbesar hati yang anak-anak muda dapat memberikan penilaian amat tinggi apabila berlakon dalam pementasan ini," tambah Encik Azhar. 

Sekitar 40 individu yang menjayakan pementasan tersebut yang lebih daripada lakonan, turut menyelitkan aspek nyanyian dan tarian. 

Pementasan Sang Nila Utama diadakan daripada 5 hingga 9 Ogos di Auditorium Taman Warisan Melayu (TWM), sempena Festival Bangsawan Singapura.

Dalam pada itu, pementasan tersebut juga selari dengan sambutan Hari Kebangsaan pada bulan Ogos ini. 

Encik Azhar berkata: "Cerita Sang Nila Utama memang satu cerita yang paling sesuai untuk kita sajikan pada Hari Kebangsaan. Ini waktunya di mana nilai dan semangat kebangsaan kita amat tinggi dan kita ingin menyelaraskan semangat kerakyatan kita, kita cantumkan dengan kandungan cerita Sang Nila Utama, satu cerita rakyat yang bukan sahaja dikenali masyarakat Melayu tetapi masyarakat bukan Melayu dan masyarakat Singapura secara amnya."

Pengurus Program Taman Warisan Melayu Encik Jamal Mohamad pula berkata: "Kebelakangan ini kita ada melihat banyak persembahan yang berbentuk bangsawan, tetapi bukan bangsawan yang sebenarnya. Pada saya sekarang kelihatan seperti ada kebangkitan untuk minat kepada bangsawan. Jadi pada saya memang tepat masanya untuk adakan festival seperti ini jadi momentum berterusan dan peminat bangsawan semakin bertambah."

FESTIVAL BANGSAWAN DIANJURKAN BUAT PERTAMA KALI DI TWM

Pementasan Sang Nila Utama ini adalah sorotan utama bagi Festival Bangsawan Singapura yang berlangsung bermula Jumaat (5 Ogos) hingga 27 Ogos nanti. 

Encik Jamal berkata: "Kami memerhatikan bahawa populariti bangsawan semakin meningkat kebelakangan ini. Ini kali pertama festival ini dijayakan, tidak pernah ada di dalam sejarah ada festival seperti ini."

"Antara objektif Taman Warisan adalah untuk menjaga dan mempromosikan pelbagai kegiatan seni dan warisan Melayu tempatan dan juga semenanjung dan Indonesia. Dengan usaha seperti ini kami dapat memberikan para pengunjung peluang untuk mengenal dan mencintai lebih mendalam budaya tempatan," tambah Encik Jamal. 

Antara kegiatan lain yang dianjurkan semasa festival tersebut termasuklah pameran, forum dan bengkel mengenai kumpulan bangsawan, yang juga akan dijalankan di Auditorium TWM. 

Festival itu dianggarkan dapat menarik sehingga 50,000 pengunjung secara fizikal dan maya. 

Encik Azhar yang juga merupakan Penerbit Eksekutif festival tersebut berkata: "Diharapkan melalui festival ini, kami dapat memberikan suntikan keyakinan kepada kumpulan-kumpulan yang lain bahawa seni bangsawan tidak akan pupus dan belum lagi pupus. Ramai lagi rakyat Singapura yang memberikan sokongan kepada persembahan bangsawan."

"Persembahan bangsawan sangat menyeluruh dan boleh digunakan untuk mengajar anak-anak muda tentang pelbagai cabang ilmu seperti bahasa dan budaya. Apabila kita dapat menyatukan kumpulan-kumpulan bangsawan dalam festival ini, kita dapat mengetengahkan satu seni yang mereka kata kian pupus," tambah Encik Azhar. 

Pelbagai kumpulan seni akan membuat pertunjukan sepanjang Festival Bangsawan Singapura. 

Ini termasuk kumpulan seni tarian Sri Warisan yang akan akan mempersembahkan Bangsawan dalam Tarian, manakala kumpulan Variasi Performing Arts pula akan mementaskan kisah Engku Puteri kepada para pengunjung. 

Maklumat mengenai festival itu boleh didapati di Facebook Festival Bangsawan Singapura dan tiket-tiket boleh didapati di laman peatix.com.

Sumber : BERITA Mediacorp/hk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan