Skip to main content

Singapura

Pesta Penulis SG kembali diadakan secara fizikal selepas dua tahun

Pesta Penulis Singapura (SWF) diadakan secara fizikal sepenuhnya selepas dua tahun.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pesta Penulis Singapura (SWF) diadakan secara fizikal sepenuhnya selepas dua tahun.

Lebih 200 program ditawarkan sepanjang tiga hujung minggu dari 4 hingga 20 November.

Buat julung-julung kalinya, pesta tersebut turut menampilkan Perkampungan Festival atau 'Festival Village' yang terletak di Daerah Sivik Singapura.

Orang ramai boleh menjangkakan pelbagai persembahan dan gerai-gerai makanan di daerah sekitar Panggung Victoria dan The Arts House.

SENI BERUPAYA MENYATUKAN MASYARAKAT

Pesta Penulis Singapura ke-25 mengambil tema 'If' atau 'Jika' yang diilhamkan daripada karya penyajak terkenal, Cyril Wong.

Menurut pengarah SWF 2022, Pooja Nansi, tema itu adalah mengenai ketidaktentuan yang dihadapi ramai orang dan seruan untuk meluahkan perbezaan pendapat masing-masing sekali gus mendakapi perubahan demi dunia yang lebih baik.

Berucap di majlis pembukaan SWF pada Jumaat (4 Nov), Presiden Halimah Yacob berkata, seni berupaya membangkitkan, menyatukan masyarakat serta mencerminkan warisan dan jati diri.

Beliau juga menarik perhatian kepada peranan penting SWF di peringkat tempatan, serantau dan antarabangsa sebagai titik pertemuan bagi perkongsian sastera.

Ini justeru dapat menggalakkan lebih persefahaman antara masyarakat.

SASTERAWAN WANITA MELAYU DIIKTIRAF DI SWF 2022

Seperti pesta sebelumnya, SWF turut memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh penulis yang menempa nama dalam dunia sastera.

Tahun ini, SWF memberi pengiktirafan kepada para sasterawan wanita Melayu.

Related article image
(Gambar ihsan: Arts House Limited)

Pesta itu juga adalah wadah pertama untuk mengiktiraf dan mempamerkan sumbangan sasterawan-sasterawan itu di peringkat kebangsaan.

Sumbangan sasterawan-sasterawan wanita seperti Profesor Madya Dr Hadijah Rahmat, Dr Sae'da Buang dan anggota gerakan penulis wanita, Kumpulan Bebas Melata dipaparkan dalam satu pameran percuma bertajuk 'Bukan Mungkin lagi, Mesti!' di The Arts House.

"Dalam perbincangan kami, kami dapati bahawa tiada tumpuan atau kajian secara nasional yang diberikan kepada penulis wanita Melayu Singapura. Oleh itu kami ingin membuka ruang dan memberikan tumpuan kepada mereka di pesta ini," kata Fezhah Maznan, Penerbit Pesta Penulis Singapura (SWF).

Orang ramai boleh mengunjungi pameran itu di The Arts House sehingga 20 November.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita