Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pesta Penulis SG 2023 anjurkan lebih 200 program dengan tema 'Plot Twist'

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Pesta Penulis Singapura (SWF) kembali lagi dengan sehingga 200 program ditawarkan bermula 17 November ini.

Antaranya termasuk bengkel menulis seni kata dikir barat.

Menerusi bengkel 'Dikir Jam' yang akan diadakan pada 19 November depan, para peserta boleh menyelami keindahan bait-bait lirik dikir barat dan dapat mengasah bakat mereka.

Buat julung-julung kalinya juga, ia menyaksikan kerjasama antara tiga kumpulan Dikir Barat tanah air iaitu 'Kelana Purba', 'Makyong Kedek' dan 'Andika Kencana'.

Para peserta akan dibimbing oleh penulis seni kata berpengalaman dari kumpulan-kumpulan dikir barat tersebut iaitu Mudzaffar Syah, Firdaus Fid Faisal dan Nurfaizal Ja’afar.

Setelah itu, hasil karya terpilih akan dipersembahkan oleh kumpulan- kumpulan dikir barat tersebut dalam satu persembahan istimewa pada 25 November kelak.

"Dari hari ini hingga ke hari persembahan tersebut, kami belum lagi ada isi sepenuhnya, kita harus menantikan apa yang diciptakan atau dihasilkan oleh peserta-peserta jadi apa yang kita boleh latihkan adalah rangka," kata Penyelaras Program Dikir Barat dan Ketua kumpulan Kelana Purba, Muhammad Hydil Jamil.

"Jangka masa untuk bengkel itu agak singkat jadi bagi mereka yang mengambil bahagian, pesertanya harus cuba untuk menghasilkan sesuatu karya dalam jangka masa yang singkat. Jadi dari situ, kita mengharapkan apa yang mereka dapat cungkil pada waktu itu cukup untuk diketengahkan dari segi persembahan kita nanti," tambahnya.

Membuatkan mereka lebih ghairah lagi, kesemua tiket bagi bengkel 'Dikir Jam' sudah habis terjual.

Usaha untuk menyertakan dikir barat dalam SWF tahun ini juga disambut baik para penggiat seni itu dan melihatnya sebagai satu peluang untuk memperluas jangkauan seni tersebut.

"SWF ini adalah satu acara kebangsaan yang dikenali atau diiktiraf. Penglibatan dikir barat dalam program ini atau pesta ini adalah satu pengiktirafan bagi seni ini. Jadi pentingnya untuk kami diberi ruang ini untuk cuba untuk memperluaskan lagi seni ini kepada mungkin kepada orang yang tidak pernah atau tidak pernah lihat atau pernah terlibat dalam seni dikir barat ini," ujar Encik Hydil.

Acara anjuran Arts House Limited itu akan berlangsung hingga 26 November dengan tema "Plot Twist'.

Selain bahasa Melayu, edisi ke-26 pesta itu juga akan menawarkan program-program dalam bahasa Tamil, Inggeris dan Mandarin.

1
(Ihsan: Arts House Limited)

PELBAGAI PROGRAM DALAM BAHASA MELAYU DIADAKAN

Antara program Bahasa Melayu yang disertakan dalam SWF 2023 adalah, 'Layar ke Teks' yang dikelolakan penulis, Jamal Ismail dan pendidik, Asnida Daud.

Program tersebut bakal membincangkan dan memberi gambaran lebih jelas cabaran dan pengalaman yang dilalui penduduk Kepulauan Selatan dalam karya terbaru Encik Jamal Ismail, 'Ombak Selatan'.

Sebuah sesi bercerita buat kanak-kanak berumur 2 tahun ke atas, 'Ally di Taman Haiwan' yang dijalankan oleh Norlin Samat turut diadakan.

Selain itu, persembahan 'Terapi Redari' oleh bakat-bakat muda, Nurjannah, Shahril Samri dan Syurga Jeffrey antara usaha Pengurus Program Bahasa Melayu SWF 2023, Encik Aqmal Noor, untuk melibatkan bakat-bakat muda dan baharu dalam SWF tahun ini.

"Program-program yang kita jalankan untuk tahun ini ataupun SWF sebelum ini memang untuk semua lapisan masyarakat. Jadi kita tidak mahu sesiapa rasa ini untuk golongan 'senior' sahaja untuk golongan muda sahaja jadi kita nak semua yang datang ada program mereka masing-masing," ujar Encik Aqmal.
Acara tersebut juga merupakan wadah untuk para penulis dan bakat baharu untuk meluaskan rangkaian dan mengembangkan bakat mereka.

"Pesta Penulis Singapura ini bagus untuk sesiapa sahaja yang sudah pun menghasilkan karya ataupun belum menghasilkan karya, supaya mereka dapat mengenali pengkarya-pengkarya di Singapura dan juga luar negara dan di situ mereka akan dapat berkongsi pengalaman.

"Jadi kita ingin menyemarakkan lagi semangat-semangat dan juga usaha untuk mengajak penulis-penulis baharu, penulis-penulis muda untuk bersama-sama menjayakan program Pesta Penulis Singapura ini," ujar Encik Aqmal.

Bermula 16 November ini, orang ramai boleh menjangkakan pelbagai persembahan dan gerai-gerai makanan di daerah sekitar Panggung Victoria dan The Arts House sempena SWF2023.
Sumber : BERITA Mediacorp/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan